Jumaat, 7 November 2014

Idah, rujuk tak boleh dipersenda

Bersama PROF. DR. NAJIBAH MOHD. ZIN
najibah@iium.edu.my

Sumber : Kosmo - Varia
Tarikh : 07/11/2014


Undang-undang di Malaysia mengambil pandangan mazhab Syafie dan menuntut rujuk dilafazkan. – Gambar hiasan


IDAH bermaksud tempoh menunggu atau suatu tempoh tertentu yang perlu diawasi oleh isteri yang telah diceraikan menerusi perceraian, pembatalan perkahwinan atau kematian suami.
Tujuan idah ialah untuk memastikan isteri tidak mengandung zuriat bekas suaminya sebelum dia boleh mengahwini lelaki lain seperti mana yang disebut dalam surah al-Baqarah ayat 228.
Perkara itu juga penting dalam menentukan nasib anak sekiranya isteri yang diceraikan hamil sebelum diceraikan suaminya atau kehamilan berlaku selepas perceraian.
Tempoh idah adalah bergantung kepada keadaan isteri semasa perceraian. Sekiranya dia dalam keadaan haid, tempoh idah adalah selepas tiga pusingan haid. Sekiranya dia dalam keadaan suci semasa diceraikan, idahnya adalah tiga bulan. Sekiranya dia dalam keadaan hamil, idahnya adalah sehingga kehamilannya tamat atau bayinya dilahirkan.
Dalam kes kematian suami, idahnya ialah empat bulan dan 10 hari berdasarkan kepada tuntutan al-Quran tanpa mengira sama ada hubungan kelamin telah berlaku atau tidak.

Sekiranya isteri yang kematian suami itu hamil, hukum yang sama akan diguna pakai iaitu setelah melahirkan anak. Idah tidak perlu sekiranya hubungan kelamin tidak pernah berlaku antara pasangan semasa tempoh perkahwinan. Kesemua hukum ini disebutkan dengan jelas dalam beberapa ayat al-Quran.
Tempoh idah bermula daripada tarikh talak dilafazkan atau setelah diputuskan oleh mahkamah bagi perceraian melalui perintah mahkamah. Pendaftaran perceraian selalunya dibuat sebulan selepas perceraian.
Rujuk pula bererti pasangan suami isteri bersetuju untuk meneruskan hubungan perkahwinan mereka. Ia hanya boleh bagi kes-kes perceraian melalui talak yang boleh dirujuk iaitu setelah jatuh talak satu atau dua.
Selepas talak ketiga, pasangan tidak boleh berbaik semula. Hak untuk merujuk isteri adalah hak suami dengan niat untuk meneruskan hubungan harmoni antara suami isteri. Sebagai bimbingan, al-Quran menyatakan:
“Dan apabila kamu menceraikan isteri-isteri kamu, lalu sampai (akhir) idahnya, maka tahanlah mereka dengan cara yang baik, atau ceraikanlah mereka dengan cara yang baik. Dan janganlah kamu tahan mereka dengan maksud jahat untuk menzalimi mereka. Barang siapa melakukan demikian, dia telah menzalimi dirinya sendiri. Dan janganlah kamu jadikan ayat-ayat Allah sebagai bahan ejekan.” (al-Baqarah:231).
Undang-undang Syariah menuntut persetujuan suami isteri untuk rujuk kembali dan ulama Syafie menegaskan supaya adanya tawaran serta penerimaan yang sah. Ulama Hanafi pula berpendapat hubungan kelamin memadai walaupun tiada kata-kata rujuk dilafazkan.
Mahzab
Sekiranya isteri yang kematian suami sedang hamil, tempoh idah adalah setelah melahirkan anak. – Gambar hiasan


Undang-undang di Malaysia mengambil pandangan mazhab Syafie dan menuntut rujuk dilafazkan. Jika tidak, penalti dikenakan di bawah undang-undang Syariah Malaysia sekiranya suami melakukan hubungan kelamin dengan isterinya semasa tempoh idah dan rujuk dalam bentuk persetubuhan tidak diterima pakai.
Tujuan peruntukan itu adalah untuk memberi hak yang lebih kepada isteri supaya beliau memberikan persetujuan secara jelas jika beliau setuju untuk berbaik semula. Bagaimanapun, kekeliruan dalam masyarakat berlaku apabila isteri beranggapan bahawa rujuk sudah berlaku hanya dengan persetubuhan suami isteri.
Walaupun secara umumnya persetujuan isteri adalah tidak penting untuk berlakunya rujuk, undang-undang Islam mengambil kira keadaan rujuk berlaku atas niat untuk menyebabkan kesusahan. Atas dasar itu, isteri boleh tidak bersetuju dan mahkamah boleh merujuk kedua-dua pihak kepada Jawatankuasa Pendamai yang dilantik oleh mahkamah.
Prosedur ini juga boleh mengelak daripada berlakunya salah guna kuasa oleh pihak suami sehingga lafaz cerai dan rujuk menjadi mainan mulut, dipermain-mainkan, dipersenda atau menjadi bahan lawak jenaka.
Pendekatan mahkamah Syariah di Malaysia ialah memakai pandangan mazhab Syafie yang memerlukan lafaz. Oleh itu, jika tiada saksi yang menyaksikan rujuk tersebut berlaku terutama rujuk dilakukan dengan perbuatan (setubuh), sudah pasti tiada saksi yang menyaksikannya.
Pendapat mahkamah bertepatan dalam mazhab Syafie yang memerlukan penyaksian ketika rujuk kerana ia memudahkan pihak-pihak apabila berlaku apa-apa pertikaian sama ada tentang rujuk itu atau perkara berbangkit daripadanya.
Atas dasar itu, tidak sah rujuk di sisi mazhab Syafie dengan perbuatan (setubuh), sama ada dengan niat ataupun tidak.
Perkara ini mestilah difahami oleh pasangan suami yang bercerai dan ingin merujuk kembali kerana ketidakfahaman boleh menyusahkan pihak wanita terutamanya jika berlaku hubungan kelamin masa idah dan jika wanita tersebut mengandung akibat daripada hubungan tersebut, ianya boleh memanjangkan tempoh idah.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Talian NUR 15999

Hubungi Talian Nur (15999) oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Masyarakat untuk kes penderaan, kes keganasan rumahtangga, kes-kes domestik dan kebajikan yang lain termasuk penderaan wanita, pembantu rumah dan lain-lain.

Halaman