Menteri Muda Pendidikan Awal Kanak-Kanak dan Pembangunan Keluarga negeri, Rosey Yunus berkata, memang berlaku pening­katan kes keganasan terhadap wanita dilaporkan, sekali gus memerlukan semua pihak memandang serius terhadap isu tersebut.

Beliau berkata, bagi menangani masalah itu, orang ramai terutama wanita harus ditingkatkan keseda­ran mereka agar berani tampil membuat laporan jika menjadi mangsa.

“Kerajaan negeri melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Biro Wanita sentiasa komited dalam usaha menangani isu keganasan wanita dengan memberi kesedaran kepada semua pihak termasuk lelaki agar menghormati hak wanita, manakala wanita pula dididik supaya berani tampil membuat laporan.

“Terdapat kes yang tidak dila­porkan kerana ada wanita masih bersabar dan malu melaporkan kejadian (menjadi mangsa keganasan) yang disifatkan mendedahkan cerita dalam ‘kelambu’,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan pada Majlis Sambutan Hari Wanita 2014 Peringkat Daerah Limbang di Dataran Jubli Emas, di sini semalam.

Yang turut hadir, Timbalan Re­siden (Sosial) Limbang, Hamidah Halpi; Pegawai Daerah Limbang yang juga Pengerusi Pengelola Program, Hamdiah Bakir dan Wali Kota Majlis Daerah Limbang, Kaunselor Sufian Mohat.

Mengulas lanjut, Rosey berkata, dalam kes melibatkan keganasan terhadap wanita, kebanyakan mangsa memilih untuk mengalah dan berbaik semula dengan pasangan kerana perasaan simpati yang tinggi terutama isteri terhadap suami.