Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, dalam konteks itu, langkah untuk memperkasakan mahkamah syariah perlu dipergiatkan agar cubaan untuk mengheret isu-isu agama ke mahkamah sivil tidak berulang.

“Kita lihat sejak akhir-akhir ini ada usaha untuk mengheret isu-isu agama untuk dibawa ke mahkamah sivil yang sepatutnya hal-hal agama diselesaikan dan dibincangkan di mahkamah syariah.

“Kita juga berpandangan bahawa ada usaha pencerobohan terancang terhadap mahkamah syariah, namun kerajaan akan sentiasa mempertahankan dalam apa keadaan sekalipun demi kepenti­ngan mahkamah syariah termasuk produk-produk berkaitan Islam,” katanya.


Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Muzakarah Penasihat Syariah Kewa­ngan Islam 2014 di sini hari ini.

Dua hari lalu, Hakim Datuk Mohd. Hishamudin Mohd. Yunus yang mengetuai panel tiga hakim Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa Undang-Undang Syariah Negeri Sembilan yang memperuntukkan hukuman terhadap golongan lelaki Islam berpakaian wanita di tempat awam adalah melanggar Perlembagaan Persekutuan.

Berikutan itu, pelbagai pihak tampil menyatakan pandangan termasuk Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menyifatkan keputusan mahkamah tersebut itu sebagai mengejutkan dan luar biasa.

Bagaimanapun kata Muhyiddin, keputusan itu perlu dihormati dan terserah kepada Peguam Negara, majlis agama Islam dan jabatan agama Islam negeri untuk mengambil tindakan selanjutnya.