Isnin, 1 September 2014

Cerai melalui talak taklik

Oleh : Prof Dr Najibah bt Mohd Zin
Sumber : Kosmo - Varia
Tarikh : 29/08/2014

Amalan ini tidak mempunyai sebarang rujukan dalam sumber utama undang-undang syariah tetapi telah digubal melalui ijtihad agar memberi lebih perlindungan kepada golongan wanita.

Hampir semua negeri di Malaysia mewajibkan seorang suami melakukan lafaz tersebut. 

Contoh lafaz taklik (bagi Wilayah Persekutuan) adalah seperti berikut:
"Bahawa adalah saya mengaku apabila tinggalkan isteri saya (nama) selama empat bulan hijrah berturut-turut atau lebih dengan sengaja atau paksaan dan saya atau wakil saya tidak memberi nafkah kepadanya selama masa yang tersebut pada hal dia taat kepada saya atau saya melakukan sebarang mudarat kepada tubuh badannya kemudian ia mengadu kepada Mahkamah Syariah dan memberi kepada Mahkamah Syariah yang menerima bagi pihak saya satu ringgit maka pada ketika itu tertalak ia dengan cara talak khuluk."


Syarat

Lafaz taklik ini berbeza dari satu negeri dengan negeri lain dari segi tempoh kesalahan dan alasan untuk cerai taklik. Beberapa negeri meletakkan perincian tentang kategori kerosakan antaranya meliputi kesan pada harta, mental dan kehormatan.

Oleh itu, sekiranya seorang isteri ingin memohon cerai taklik, adalah penting untuk memeriksa peruntukan taklik dalam sijil perkahwinan.

Tujuannya bagi memastikan syarat- syarat tersebut ada dan jika terdapat syarat yang telah dilanggar.

Antara kes yang biasa ditimbulkan di mahkamah ialah tidak pernah memberi nafkah zahir dan batin selama empat bulan walaupun isteri masih taat pada si suami dan sentiasa melakukan mudarat kepada harta isteri seperti mengambil barang kemas dan wang kepunyaannya tanpa kebenaran.

Dalam keadaan yang lain, mahkamah boleh mengesahkan telah berlaku perceraian talak secara kinayah antara plaintif dengan defendan jika talak yang dilafazkan secara taklik oleh plaintif di luar mahkamah secara lisan dan tanpa kebenaran mahkamah adalah sah menurut hukum syarak.

Perkataan seperti lafaz 'jika melakukan sedemikian, jatuh satu talak' dan sebagainya. Dalam hal ini, pihak suami atau isteri boleh membuat permohonan pengesahan cerai melalui talak seperti prosedur yang melibatkan perceraian melalui talak di luar mahkamah.

Talak taklik hanya jatuh sekiranya syarat-syarat itu dibuat oleh suami. Namun, undang-undang syariah hanya membenarkan isteri membuat tuntutan perceraian tersebut di Mahkamah Syariah seperti yang diperuntukkan dalam Undang-Undang Keluarga Islam di Malaysia jika taklik tersebut melanggar syarat-syarat yang ada dalam surat nikah.



Sebagai contoh, Undang-Undang Keluarga Islam 
memperuntukkan bahawa seorang perempuan yang bersuami boleh dan berhak mendapat perceraian menurut syarat-syarat surat perakuan taklik yang dibuat selepas berkahwin dan memohon pada mahkamah untuk menetapkan bahawa perceraian yang demikian telah berlaku.

Selepas pihak mahkamah menerima permohonan tersebut, perceraian tidak berlaku secara langsung tetapi perlu melalui beberapa proses di mahkamah.

Adalah penting agar pihak pemohon membawa bukti yang menyokong tuntutannya. Sebaik-baiknya membawa dua orang saksi lelaki atau seorang saksi lelaki dengan dua saksi wanita. Bukti ini dipanggil shahadah (keterangan saksi).

Bagi kes dera atau menyebabkan kecederaan, laporan polis atau perubatan sudah memadai. Ia dikenali sebagai bukti qarinah (bukti keadaan). Namun, bukti (bayyinah) dalam bentuk lain juga diterima sekiranya bukti-bukti di atas tiada.

Contohnya, kenyataan ibu pemohon, pembantu rumah, malah kenyataan anak-anak pemohon boleh digunakan. Pada kebanyakan situasi, tidak praktikal meminta bukti yang lebih kuat dalam isu pertelingkahan rumah tangga kerana ia lazim berlaku di tempat tertutup.

Bagi mensabitkan taklik, kehadiran suami tidak penting bagi menamatkan perkahwinan.

Bukti

Mahkamah akan menentukan setelah meneliti segala bukti yang dikemukakan pihak isteri.
Pasangan tidak boleh rujuk atau berbaik semula setelah bercerai. Namun mereka boleh berkahwin semula dengan akad baharu walaupun ia dilangsungkan semasa tempoh menunggu (edah).

Dari segi amalan, penting bagi isteri untuk mendapatkan alamat terakhir suami dan mengemukakan dokumen lengkap untuk tujuan permohonan.

Sekiranya kedudukan suami tidak diketahui, pihak isteri dinasihatkan agar memohon supaya penyerahan saman dilakukan melalui penyampaian ganti iaitu proses penyampai saman melalui iklan di akhbar-akhbar utama tempatan.

Hal ini penting demi memastikan bahawa mahkamah akan meneruskan perbicaraan walaupun pihak suami tidak hadir atau sengaja ingkar untuk hadir ke mahkamah.

Justeru, melalui proses ini, istilah gantung tidak bertali sudah tidak wujud kerana terdapat undang undang yang jelas tentang prosiding mahkamah.


Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Talian NUR 15999

Hubungi Talian Nur (15999) oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Masyarakat untuk kes penderaan, kes keganasan rumahtangga, kes-kes domestik dan kebajikan yang lain termasuk penderaan wanita, pembantu rumah dan lain-lain.

Halaman