Sabtu, 20 September 2014

Lantang bela nasib wanita

Oleh : Kusyi Hirdan
Sumber : Harian Metro - Majalah M
Tarikh : 19/09/2014


Lima hari penulis diberi peluang mengenali lelaki tinggi lampai ini. Dia bertindak sebagai penceramah pada satu kursus berkaitan gender dan keganasan terhadap wanita yang penulis hadiri.
Semangatnya tinggi dalam memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai keganasan terhadap wanita dan salah faham mengenai gender.
Disebabkan semangat dan kerja kerasnya itu, dia antara penerima Anugerah Respek Wanita daripada Perdana Menteri sempena Sambutan Hari Wanita Kebangsaan 2013 yang lalu. Anugerah ini diberikan kepada individu yang memberi sumbangan dalam pembangunan wanita. 

Dr Tengku Naufal Tengku Mansor, seorang peguam yang berasa terkesan setiap kali bergelumang dengan kes yang membabitkan wanita. Dia tidak dapat membiarkan segalanya berlalu begitu saja. Dia tahu seseorang perlu membantu dengan lebih mendalam.


Foto

Bukan sekadar menegur tetapi menasihat dan memberi ilmu secara berterusan. Siapa lagi kalau bukan dirinya, seorang anak, suami dan bapa. Pengalaman 17 tahun sebagai peguam tidak wajar dibiarkan begitu saja tanpa membuat sesuatu yang berguna untuk masyarakat.

Dia mahu golongan lelaki tahu apa sebenarnya suruhan agama dalam melayari kehidupan berkeluarga dalam rumah tangga. Wanita bukan hak mereka untuk diperlakukan sesuka hati. 

Ikuti temu bual bersamanya, baru-baru ini. 

Wartawan: Apabila berhadapan dengan salah guna gender dan keganasan terhadap wanita, mengapa anda kelihatan seolah-olah marah? 

Dr Tengku Naufal:
 Ada betulnya. Mungkin keadaan ini berlaku kerana bidang kerja saya dan ruang lingkupnya sering berhadapan dengan permasalahan yang berlaku pada wanita. 


Saya melihat ketidakadilan terhadap mereka, saya rasa kasihan. Apabila terjadi layanan yang salah terhadap wanita dan melihat ia bagaikan budaya biasa dalam masyarakat kita, itu yang menyentuh hati saya. Ia tidak sepatutnya berlaku. 

Sebenarnya budaya kita banyak yang baik tetapi keganasan terhadap wanita tetap berlaku. Itu yang membuatkan hati saya memendam marah. Bukan saja marah tetapi kecewa dan adakalanya rasa aib menjadi Melayu Islam. 

Ia memberi imej yang sangat buruk kepada bangsa dan agama, walhal itu bukan sepatutnya. Sifat kebinatangan manusia menjadi tabiat diterima. Kira-kira 1,400 tahun lalu, Rasulullah SWT datang kepada manusia untuk memuliakan wanita tetapi pada zaman ini mereka mengetepikan hak wanita. 

Saya juga perunding keluarga yang terbabit dalam sesi perbincangan dengan wanita dan selepas sekian lama, saya rasakan keadaan ini mesti dihentikan. 

Wartawan: Anda seorang lelaki dan keadaan ini bukan sesuatu yang biasa? 

Dr Tengku Naufal:
 Pada permulaannya memang apabila lelaki mendapat tahu saya terbabit dalam hal ini iaitu pem-belaan dan nasihat mengenai kesedaran gender dan memperkasakan wanita berhubung hak mereka, lelaki berasa saya terlalu ‘lantang’. 


Pada mereka ia bukanlah sesuatu yang elok kerana saya seakan-akan mengajar wanita untuk hidup sendiri dan tidak memerlukan lelaki. Itu persepsi awal mereka. 

Namun begitu saya teruskan juga dan kemudian keadaan mula berubah. Mereka mula mengubah persepsi terutama apabila menyentuh aspek agama. Dalam Islam, apa yang sepatutnya menjadi hak wanita sangat jelas. Jadi dari situ, kepekaan lelaki menjadi lebih baik dan mereka sedar apa yang sepatutnya berlaku. 

Wartawan: Apabila kita melihat apa yang berlaku terhadap wanita di India dan Afrika membabitkan wanita dan kanak-kanak dirogol dengan kejam, tidakkah ia bagaikan suasana zaman jahiliah iaitu manusia bertindak seperti binatang? 

Dr Tengku Naufal:
 Keadaan ini sangat menyedihkan dan wajar dihentikan! Apa yang terjadi dalam sesebuah masyarakat, mereka seakan-akan reda dengan apa yang berlaku kerana sejak turun-temurun sudah ditanamkan dengan maklumat yang salah sama sekali iaitu wanita hak mutlak lelaki untuk melakukan apa saja. Baik sebagai anak atau isteri. Ingatlah, anda wanita bukan kepunyaan lelaki. Kesedaran inilah yang perlu ada. 


Sudah tiba masanya wanita perlu tegas dalam mempertahankan hak sebagai manusia. Tegas dan berhemah, bukan agresif. Bukan juga sombong kerana sombong akan menimbulkan lebih banyak kekeruhan. 

Wanita perlu memainkan peranan dalam membuat keputusan dan berpendirian. Gunakan pendekatan ketegasan dan pada masa sama, kreatif dan jangan hilang sifat kasih sayang. 

Dalam Islam, wanita perlu mendapatkan hak mereka menerusi landasan syarak. Islam sangat adil. 

Wartawan: Wujudnya pelacuran dan perkosaan kanak-kanak kerana ada permintaan. Apa yang harus kita lakukan terhadap perkara ini? 

Dr Tengku Naufal:
 Pada pendapat saya, aspek pelacuran kadangkala memperlihatkan masyarakat, polisi negara dan norma masyarakat sendiri tidak berlaku adil. Kesalahan lebih ditumpukan kepada pelacur, namun ada kajian menunjukkan majoriti mereka menjadi begitu kerana dipaksa, ditipu juga dijual lelaki. 


Sekali lagi wanita menjadi mangsa dan lelaki mengambil peluang membuat keuntungan menggunakan wanita dengan cara kejam. 

Tindakan yang lebih keras harus diambil terhadap pihak yang memungkinkan permintaan sentiasa ada iaitu mereka yang melanggan. Ambil tindakan sekeras-kerasnya. 

Wartawan: Di dunia moden ini, masih wujud masyarakat yang menyalahkan mangsa. Baik mangsa rogol, keganasan rumah tangga dan sumbang mahram. Ada kes suami merogol anak sendiri, si ibu menyalahkan anaknya pula. 

Dr Tengku Naufal:
 Keadaan ini perlukan kesedaran bahawa mangsa tidak bersalah. Ada yang menyalahkan mangsa rogol kerana aspek pakaiannya. 


Adakah salah berpakaian dia boleh dirogol? Walhal sebenarnya si lelaki yang gagal mengawal nafsu dan jahat. Salah tetap dia yang merogol, bukan mangsa. 

Ada kes si bapa bernafsu terhadap anak kecilnya yang memakai skirt. Anak itu masih kecil, jadi adakah kita juga me-nyalahkan si mangsa? 

Bagi kes keganasan rumah tangga, sumbang mahram, sekiranya berlaku pada orang terdekat kita, laporkan segera pada polis. Biar pelaku dihukum dan tidak mengulangi perbuatannya. 

Wartawan: Mengapakah wanita mudah tertekan? Sebenarnya ini ada kaitan dengan kemahuan masyarakat yang mahukan wanita serba boleh di mana saja sama ada di pejabat, rumah mahupun dalam komuniti. 

Dr Tengku Naufal:
 Ya saya setuju sedangkan wanita perlu sedar mereka tidak perlu begitu. Contohnya dalam Islam, kerja memasak, mengemas dan hal rumah tangga yang lain sebenarnya tugas suami. Jika tidak mampu melakukannya, suami kena sediakan pembantu rumah buat keluarga, bukan semuanya diletakkan di bahu isteri. 


Tetapi dalam masyarakat kita dan di mana saja di dunia ini, wanita dan isteri yang melakukan semua kerja rumah sedangkan suami bersifat menyara keluarga. Wanita membuat pelbagai kerja rumah tangga, ada masa perlu bekerja pula menambah pendapatan keluarga. 

Wanita tidak akan tertekan sangat dengan segala tanggungjawab jika lelaki berkongsi tanggungjawab dalam hal rumah tangga. 

Sekiranya isteri pulang daripada kerja dan tidak larat memasak, jangan memarahi mereka kerana berasa ia tugas hakiki wanita. Ingatlah ia sebenarnya tugas suami. 

Budaya yang mengatakan tugas isteri perlu membuat semua kerja rumah hanyalah budaya yang diteruskan turun-temurun. 

Ibu mengajar anak lelaki mereka begini dan mendidik anak perempuan pula begitu. Sudah tiba masanya anak lelaki dididik menjadi lebih bertanggungjawab walaupun dalam hal yang membabitkan perkara yang dulu hanya diajar kepada anak perempuan. Ini supaya apabila mereka menjadi suami kelak, mereka tahu tanggungjawab sebenar mereka. 

Wartawan: Adakah anda melihat ada perubahan pada kepekaan masyarakat kita membabitkan hak wanita? 

Dr Tengku Naufal:
 Paling bermakna apabila saya melihat ada perubahan. Secara positif saya melihat kepekaan semakin meningkat biarpun keganasan rumah tangga masih berlaku, begitu juga kes rogol. 


Tetapi sudah ramai yang mengambil pendekatan membuat laporan pada pihak berwajib. Keberanian sudah ada. Dalam segala perubahan dan kesedaran yang hendak kita lakukan, kita mesti menggabungkan ketegasan, kreatif dan aspek kasih sayang. 


Profil 

Nama: Dr Tengku Naufal Tengku Mansor 
Usia: 43 tahun 
Keluarga: Bapa dua cahaya mata 

Pengalaman: 
• 17 tahun sebagai peguambela dan peguamcara mahkamah tinggi dan peguam syar’ie. 
• Pensyarah sambilan kursus undang-undang & etika perniagaan. 
• Perunding Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) dalam aspek Kepekaan Gender, Literasi Undang-Undang Untuk Wanita dan Seminar Menangani Keganasan Terhadap Wanita. 
• Perunding diiktiraf oleh HumaNext LLC, New York, Amerika Syarikat dalam bidang ‘Creativity & Innovation at Work’, ‘Applying Emotional Intelligence (EQ) at Work’ dan ‘Critical Conversations.’ Beliau mempunyai kemahiran dan pengalaman yang luas dalam Pengurusan Pembangunan Sumber Manusia dan Motivasi Diri produktif. 

Latarbelakang akademik: 
• Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang (LL.B) (Hons) daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia 
• Ijazah Sarjana Undang-Undang (LL.M) (Korporat & Perdagangan) daripada London School of Economics & Political Science (LSE), University of London 
• Ijazah Sarjana Sains Komunikasi Korporat, Universiti Putra Malaysia (UPM) 
• Ijazah Kedoktoran Pentadbiran Perniagaan (DBA) pengkhususan Pengurusan Perubahan Organisasi daripada University of South Australia (UniSA)

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Talian NUR 15999

Hubungi Talian Nur (15999) oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Masyarakat untuk kes penderaan, kes keganasan rumahtangga, kes-kes domestik dan kebajikan yang lain termasuk penderaan wanita, pembantu rumah dan lain-lain.

Halaman