Isnin, 22 September 2014

Talak melalui SMS selepas bertengkar

Oleh : Dr. Abdul Salam Muhammad Shukri
Sumber : Harian Metro 
Ruangan : Fikrah Dr. Salam
Tarikh : 19/09/2014

Saya ingin tahu mengenai lafaz talak. Baru-baru ini, saya dan suami bertengkar hampir seminggu dan kami tidak bertemu sehingga saya menetap di rumah ibu.
Pada hari terakhir kami bertengkar, suami ada berkata: “Kalau nak bercerai, OK cerai la.” Ia dibuat melalui SMS dan mengatakan selesai semua. 
Pada malam itu, suami datang dan menyatakan lafaz berkenaan tidak sah. Kami berbaik semula dan bersama. 
Adakah betul lafaz itu tidak sah? Jika ia sah, perlukah kami ke pejabat agama atau mahkamah untuk rujuk semula?
Jika keadaan itu berulang lagi, adakah dikira sebagai talak yang kedua dan seterusnya talak yang ketiga? Mohon penjelasan Dr.
Niela 
Kuala Lumpur
 

Hukum talak melalui SMS sah dan jatuh talak apabila berlaku dengan syarat tertentu. Begitu juga sah untuk rujuk kembali melalui SMS dan cara lain apabila menepati syaratnya. 

Dalam menentukan kesahihan SMS yang dihantar perlu memenuhi rukun talak, iaitu (1) suami, (2) lafaz yang digunakan, (3) diqasadkan atau diniatkan kepada siapa talak itu, (4) isteri; dan (5) talak itu dijatuhkan dengan kekuasaan suami. 

Pada pandangan saya mesej melalui SMS ‘kalau nak bercerai, OK cerai la’ ada menunjukkan kepada tulisan yang berbentuk lafaz perceraian. 

Apa yang perlu diketahui ialah SMS itu datang daripada suami sendiri, mesej ditulis sendiri, suami meniatkan cerai kepada isteri, yang diceraikan ialah isteri dan ia dalam kekuasaan suami iaitu bukan dipaksa atau terpaksa. 

Apabila suami menafikan mesej itu dan mengatakan ia tidak sah, ia perlu dinilai berdasarkan syarat di atas. Suami perlu jujur dengan dirinya sendiri kerana hanya beliau yang benar-benar mengetahui kedudukan sebenar. 

Dalam menentukan sah atau tidak sesuatu talak, mahkamah syariah mempunyai bidang kuasa yang sebenar. Sekiranya diterima sebagai sah, maka sah perceraian dan begitu juga sebaliknya.

Bagaimanapun, ia juga boleh ditentukan dengan pengakuan suami dan suami perlu juga bersumpah. Seterusnya, rujuk berlaku apabila anda berdua berbaik semula dan bersama. 

Memandangkan puan mengatakan lafaz talak seperti di atas ada kemungkinan berulang, bilangan talak juga dikira dengan pengulangan berkenaan. 

Apabila berlaku sebanyak tiga kali, perceraian dikira ba’in dan untuk rujuk lagi secara biasa tidak dibolehkan lagi. 

Dalam hal ini mahkamah syariah adalah tempat rujukan bagi masalah anda berdua. 

Nasihat saya supaya anda berdua menjaga kedamaian rumah tangga sebaik mungkin agar perceraian tidak terjadi. 

Perceraian sepatutnya tidak dibuat mainan dalam kehidupan berumah tangga.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Talian NUR 15999

Hubungi Talian Nur (15999) oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Masyarakat untuk kes penderaan, kes keganasan rumahtangga, kes-kes domestik dan kebajikan yang lain termasuk penderaan wanita, pembantu rumah dan lain-lain.

Halaman