Khamis, 4 September 2014

Isteri pelakon Ezany diberi notis amaran

Sumber : Utusan Malaysia - Mahkamah

PETALING JAYA 3 Sept. - Mahkamah Rendah Syariah Petaling dekat sini hari ini mengeluarkan dua notis amaran kehadiran terhadap isteri pelakon Ezany Nizariff setelah Lizda Nuryanti Abidin gagal hadir untuk sebutan kes penceraian dan nusyuz pasangan itu.

Hakim Syarie, Mohd. Nurulazhar Mohd. Tohar mengeluarkan notis amaran tersebut bagi kes permohonan cerai yang difailkan Lizda Nuryanti dan kes nusyuz yang dikemukakan oleh Ezany, 41.

Pada prosiding tersebut, Ezany juga tidak hadir tetapi diwakili peguam syarie, Fatiatun Nadiah Mat Radi namun tiada sesiapa yang hadir mewakili Lizda Nuryanti, 32.

Mahkamah kemudian menetapkan 8 Oktober ini untuk sebutan semula kes itu.

Ketika ditemui di luar mahkamah, Fatiatun Nadiah memberitahu, beliau hadir bagi pihak peguam syarie, Fakhrul Azman Abu Hassan yang dilantik mewakili Ezany.

Pada 4 Ogos lalu, Ezany atau nama sebenarnya Mohd. Zani @ Mohd. Zohri Mohd. Nizariff, tidak bersetuju terhadap permohonan cerai secara baik yang dimohon isterinya ketika sebutan kes cerai pasangan tersebut di Mahkamah Rendah Syariah di sini.

Ini kerana dia telah mengemukakan permohonan nusyuz terhadap isterinya di mahkamah sama pada 22 Julai lalu.

Permohonan nusyuz itu difailkan oleh pelakon tersebut mengikut Seksyen 60(2) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 setelah Lizda Nuryanti keluar daripada rumah kelamin mereka di Seri Kembangan pada 17 Julai lalu.

Selain kes penceraian dan nusyuz itu, Ezany telah memfailkan permohonan hadanah iaitu hak penjagaan sementara dan kekal ke atas dua anak mereka di Mahkamah Tinggi Syariah di sini pada 27 Ogos lalu.

Ezany dan Lizda Nuryanti berkahwin pada 1 Julai 2007 dan telah dikurniakan dua anak lelaki berusia tiga tahun dan 16 bulan.

Pada 17 Julai lalu, Ezany telah membuat laporan di Balai Polis Kinrara, Serdang setelah mendakwa isterinya dilarikan seorang lelaki.

Menurut Ezany , dia menyedari kehilangan isterinya setelah bangun daripada tidur kira-kira pukul 4.30 pagi untuk bersahur dan mendapati pintu utama rumahnya di Seri Kembangan, Selangor tidak berkunci.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Talian NUR 15999

Hubungi Talian Nur (15999) oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Masyarakat untuk kes penderaan, kes keganasan rumahtangga, kes-kes domestik dan kebajikan yang lain termasuk penderaan wanita, pembantu rumah dan lain-lain.

Halaman