Ahad, 28 September 2014

Aeril, Wawa didenda nikah tanpa kebenaran

Sumber : Utusan Malaysia - Mahkamah

PETALING JAYA 25 Sept. - Pelakon Aeril Zafrel yang mengaku bersalah di Mahkamah Rendah Syariah di sini hari ini atas tuduhan bernikah tanpa kebenaran dua tahun lalu, mengakui tidak pernah mengikuti kursus perkahwinan atau mengetahui prosedur sebelum melangsungkan pernikahan.

"Saya tidak tahu kena pergi pejabat agama untuk proses pernikahan dan tidak pernah pergi mana-mana kursus kahwin," ujarnya ketika ditanya Hakim Syarie, Saharuddin Selamat.

Bagaimanapun, Saharuddin menegaskan, alasan tersebut tidak sepatutnya ditimbulkan Aeril dalam suasana masyarakat sekarang yang mempunyai akses luas tentang maklumat.



"Budak sekolah pun boleh buka internet dan saya harap hukuman ini memberi pengajaran kepada kamu kerana kesalahan ini serius dan besar," katanya.

Dalam masa yang sama, Aeril memberitahu, dia dan isterinya, pelakon Wawa Zainal kemudian bernikah sekali lagi pada 4 Februari tahun lalu atas inisiatifnya sendiri setelah menyedari kesalahan yang dilakukan semasa pernikahan terdahulu.

Aeril atau nama sebenarnya, Suhairi Sunari, 26, didenda maksimum RM1,000 atau penjara dua bulan atas kesalahan melakukan pernikahan tersebut tanpa kebenaran Pendaftar Nikah Cerai dan Rujuk negeri Selangor, di rumah No. 2, Lorong 7A, Taman Datuk Harun di sini pada pukul 8 malam, 25 Februari 2012.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 40(2) Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (negeri Selangor) 2003 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM1,000 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya.

Wawa Zainal atau nama sebenarnya Nur Hawa Zainal Abidin, 22, yang mengaku bersalah atas tuduhan bersubahat melakukan upacara itu, didenda RM800 atau penjara 40 hari jika gagal membayar denda.

Bapa angkat Aeril, Wahap Raob, 71, yang bertindak sebagai saksi semasa pernikahan itu, dikenakan denda sama seperti Wawa manakala dua lagi tertuduh iaitu bapa Wawa, Zainal Abidin Sulong yang bertindak sebagai wali dan Salim Asari tidak hadir kerana berada di Sabah.

Mereka semua dituduh mengikut Seksyen 134 enakmen yang sama dalam kejadian di tempat, masa dan tarikh yang sama.

Pendakwaan dikendali Pendakwa Syarie, Khafizah Ahmat Khairi manakala semua tertuduh diwakili peguam syarie, Mohd. Noor Aizan Md. Idrus.

Sebelum itu, Mohd. Noor Aizan ketika mengemukakan rayuan sebelum hukuman dijatuhkan memohon mahkamah mengenakan hukuman denda sahaja terhadap semua anak guamnya dengan alasan kesalahan tersebut tidak serius kerana pernikahan itu sah setelah menepati rukun nikah dan hukum syarak.

Dalam pada itu, kedua-dua pelakon tersebut melarikan diri daripada pihak media yang menunggu mereka di pekarangan mahkamah kira-kira setengah jam setelah prosiding selesai walaupun pada awalnya mereka telah berjanji akan memberi kenyataan.

Aeril dan Wawa yang popular menerusi drama Cerita Cinta Kita yang disiarkan TV3, dikurniakan seorang cahaya mata, Ahmad Fakharuddin Attar yang kini berusia 15 bulan.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Talian NUR 15999

Hubungi Talian Nur (15999) oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Masyarakat untuk kes penderaan, kes keganasan rumahtangga, kes-kes domestik dan kebajikan yang lain termasuk penderaan wanita, pembantu rumah dan lain-lain.

Halaman