Jumaat, 12 September 2014

Tuntutan mutaah RM300,000 Rita Rudaini melampau

Sumber : Utusan Malaysia - Mahkamah

SHAH ALAM 11 Sept. - Ketua pasukan Harimau Malaya, Mohd. Aidil Zafuan Abd. Razak menyifatkan nilai mutaah sebanyak RM300,000 yang dituntut oleh bekas isterinya, pelakon Rita Rudaini adalah melampau.

Berikutan itu, Mohd. Aidil Zafuan, 27, dalam pembelaannya terhadap permohonan Rita itu di Mahkamah Tinggi Syariah di sini, tidak bersetuju dengan jumlah tuntutan tersebut.

Peguam syarie, Rushdan Sujak Rafie yang mewakili Mohd. Aidil Zafuan mengemukakan pembelaan itu hari ini tanpa kehadiran anak guamnya itu.

Kes itu disebut dalam kamar di hadapan pendaftar Mahkamah Tinggi Syariah, Atrasina Mohd. Zahrullail.

Beliau menetapkan 9 Oktober ini untuk sebutan semula kes.

Sementara itu, Rushdan berkata, Mohd. Aidil Zafuan tidak hadir kerana kini berada di China untuk menyertai perlawanan bola sepak persahabatan.

"Dia akan berlepas pula ke Incheon, Korea Selatan esok bagi menyertai Sukan Asia dan dijangka pulang 3 Oktober nanti," katanya kepada para pemberita setelah selesai prosiding kes itu.

Berhubung ketidakhadiran Mohd. Aidil Zafuan pada sebutan kali pertama kes itu, Rushdan berkata, pihaknya hanya menerima saman daripada pihak pemohon (Rita) empat hari sebelum sebutan kes.

"Sepatutnya saman itu perlu diserahkan kepada kami dalam tempoh tujuh hari sebelum kes disebut bagi membolehkan lantikan peguam dibuat namun kami hanya menerimanya kurang dari tempoh itu justeru lantikan itu tidak sempat dilakukan," katanya.

Dalam pada itu, Rita atau nama sebenarnya Rita Rudaini Mokhtar, 38, tidak hadir pada sebutan kes kali ini tetapi diwakili peguam syarie, Datuk Mohd. Zaidi Mohd. Zain.

Rita mengemukakan permohonan tuntutan mutaah itu mengikut Seksyen 58 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 pada 7 Julai lalu.

Dia juga telah mengemukakan tuntutan nafkah tertunggak lebih RM100,000 terhadap bekas suaminya itu pada Januari lalu dan prosiding perbicaraan akan bermula 30 September ini di mahkamah sama.

Rita dan Mohd. Aidil Zafuan bernikah secara rahsia pada Februari 2008 lalu di Songkhla, Thailand dan sah bercerai di Mahkamah Rendah Syariah Seremban, Negeri Sembilan pada September tahun lalu.

Pada 8 November 2012, Rita menuntut RM5,392 sebulan untuk nafkah dua anak lelakinya, Airit Rayyan Rizqin, 5, dan Airit Qaqa Arjuna, 3, yang meliputi perbelanjaan makan minum, pengasuh dan lampin pakai buang.

Keputusan kes itu akan didengar pada 10 Disember ini di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari dekat sini.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Talian NUR 15999

Hubungi Talian Nur (15999) oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Masyarakat untuk kes penderaan, kes keganasan rumahtangga, kes-kes domestik dan kebajikan yang lain termasuk penderaan wanita, pembantu rumah dan lain-lain.

Halaman