Tarikh : 24/09/2014
RAGAM rumah tangga ini bermacam-macam. Memang tidak pernah habis. Setiap hari ada sahaja kisah yang berlaku. Jika hendak mengetahui lebih banyak kisah, duduk sahaja di Mahkamah Syariah dan anda akan dengar 1,001 kisah. Ada yang biasa, ada yang pelik, ada yang kedengaran tidak munasabah dan macam-macam lagi.
Satu kisah rumah tangga yang ingin dikongsi ialah mengenai kisah Rafiza (bukan nama sebenar).
Walaupun telah lama bercerai, iaitu kira-kira 20 tahun, dia masih berbaik dengan bekas suaminya, Yasir (juga bukan nama sebenar). Perceraian yang berlaku juga bukan atas kehendaknya.
Memang biasa sangat berlaku perceraian akibat gangguan orang ketiga. Begitu juga dengan rumah tangga mereka berdua.
Sedang rumah tangga mereka bahagia dan dikurniakan dengan empat orang anak, dua lelaki dan dua perempuan, suami bermain kayu tiga dan mempunyai kekasih.
Mengetahui hal kecurangan Yasir, Rafiza berasa amat sedih dan kecewa. Mereka bergaduh dan akhirnya bercerai
Si bekas suami nampaknya seronok kerana mempunyai wanita yang lebih muda dan berhasrat untuk mengahwini kekasihnya itu. Apa lagi yang hendak dikatakan oleh Rafiza selain menerima takdirnya.
Dia keluar rumah bersama anak-anak kerana rumah yang didiami pun sekadar rumah sewa. Dia berusaha mencari pekerjaan dan mendapat kerja di sebuah kilang.
Yasir pula telah pun berkahwin dengan kekasihnya itu.
Walaupun telah bercerai, dia masih tahu akan tanggungjawabnya terhadap anak-anak. Dia mengambil dua orang anak perempuannya untuk dijaga sementara dua orang anak lelaki dijaga oleh Rafiza.
Yasir memberikan perbelanjaan nafkah untuk kedua-dua anak lelakinya itu dan beberapa tahun kemudiann membelikan rumah untuk didiami oleh Rafiza dan anak-anak mereka.
Kata Yasir, selagi Rafiza tidak berkahwin lain, bekas isterinya itu boleh tinggal di rumah tersebut.
Setiap bulan Yasir akan menghantar barang-barang dapur seperti bahan makanan kering, ayam, ikan dan sayur. Dia tidak pernah lupa atau cuba mengelak. Itulah kebaikan Yasir, tanggungjawabnya tidak pernah diabaikan.
Kini keempat-empat anak mereka kini telah pun dewasa dan bekerja. Yasir juga mempunyai seorang anak lelaki hasil perkahwinan keduanya. Pun demikian hubungannya dengan Rafiza tetap baik.
Semasa anak lelaki kedua mereka ingin berkahwin, Yasir dan Rafiza sama-sama sibuk menyiapkan segala persiapan.
Mereka berdua yang pergi meminang bakal menantu, menempah dewan, menjemput tetamu, pergi membeli baju yang sama warna sebagai ibu bapa pengantin dan menempah kad undangan majlis.
Malah nama mereka berdua tertulis di dalam kad undangan sebagai tuan rumah menjemput tetamu. Nama isteri baru Yasir tiada langsung tertulis dalam kad tersebut.
Semasa tetamu datang ke majlis itu pun, mereka berdua yang menyambut di pintu dewan. Isteri baru Yasir tiada di situ.
Bagi yang tidak mengenali sejarah mereka berdua, pasti akan mengatakan bahawa kedua-duanya adalah pasangan suami isteri dan bukannya bekas suami atau bekas isteri.
Hubungan Rafiza dengan adik beradik Yasir juga masih baik sehingga kini. Mereka tetap datang melawat apabila tiba hari raya, malah semasa majlis perkahwinan anak mereka, adik beradik Yasir datang dan menyumbang kuih-muih.
Bagaimanapun dugaan datang menimpa Rafiza. Dia disahkan menghidap kanser payu dara tahap dua dan terpaksa dibuang. Dia reda dengan dugaan tersebut. Anak-anak menjaganya dengan baik dan mereka bergilir-gilir membawanya untuk mendapatkan rawatan kemoterapi dan fisioterapi di hospital.
Sejak kejadian itu hubungan Yasir dan Rafiza bertambah rapat. Yasir amat bersimpati dengan kesakitan Rafiza. Mungkin dia menganggap dia bersalah terhadap bekas isterinya itu dan menyesal dengan perbuatannya.
"Sejak saya sakit, dia banyak meluangkan masa membawa saya ke hospital. Dia menghantar, dia menunggu dan membawa saya pulang. Bila-bila masa sahaja saya perlu ke hospital, dia tidak pernah memberikan alasan. Mujur juga dia berniaga sendiri, jadi mudahlah dia hendak keluar masuk pejabat.
"Hubungan dia dengan ibu dan adik beradik saya juga baik. Jika saya mahu pulang menziarah ibu saya di kampung, dia tidak segan-segan atau takut hendak menghantar saya.
"Bukan sahaja menghantar, dia juga membawa buah tangan seperti ikan dan sayur-sayur. Ibu saya pun melayannya sama seperti menantu-menantu yang lain.
"Mungkin juga isteri barunya bising tetapi bekas suami saya itu tidak peduli dengan kata-kata isterinya. Anak perempuan saya yang tinggal bersamanya juga tidak pernah memberitahu bahawa ibu tiri mereka itu cemburu apabila bekas suami saya melebihkan saya.
"Nampaknya dia harus menerima kerana dia sendiri bersalah apabila dahulu menggoda bekas suami saya dan meruntuhkan rumahtangga saya," kata Rafiza yang bertubuh kecil molek.
Menurutnya lagi, dia bersyukur kerana bekas suaminya itu banyak mengambil berat mengenai kesihatannya dan tidak pernah berkira daripada wang ringgit.
Walaupun anak-anak telah besar dan bekerja, Yasir masih menghantar barang dapur setiap bulan.
Satu lagi kata Rafiza, yang ditemui semasa majlis rumah terbuka hari raya di rumahnya baru-baru ini, Yasir ada memberitahu hendak mengubah suai rumah yang didudukinya supaya besar dan lapang bagi keselesaan dia dan anak-anaknya.
Sudahlah diberi rumah, dihantar barang dapur kini rumah yang diduduki oleh bekas isteri hendak diubah suai.
Jika difikirkan, Rafiza memang beruntung kerana mempunyai bekas suami yang begitu mengambil berat akan dirinya. Mungkin ini hikmah di sebalik perceraiannya. Semasa baharu bercerai mungkin hikmah ini tidak terlihat namun Allah lebih Mengetahui.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan