Tarikh : 27/09/2014
BERJALAN sambil berpimpin tangan, bertemu, menikmati makan malam romantik dan menonton wayang bersama adalah antara aktiviti yang sering dilakukan ketika sepasang kekasih sedang hangat dilamun cinta.
Namun, hakikatnya aktiviti sedemikian jarang diamalkan oleh pasangan yang berkahwin terutamanya jika sudah lama mendirikan rumah tangga.
Jika diamati, aktiviti tersebut harus dilakukan oleh mereka yang sudah berkahwin untuk memupuk perasaan sayang.
Mungkin ada yang malu untuk berjalan berpegangan tangan dengan lelaki atau wanita yang pernah mengharungi susah senang bersama selama bertahun-tahun.
Bagi pengusaha salon, Azlina Mat Arif, 39, perkara tersebut dipandang enteng selama sedekad dia melayari perkahwinan.
Hubungan wanita yang berasal dari Kemaman, Terengganu itu dan suaminya, Zainudin Abdullah, 38, seorang kakitangan swasta semakin renggang kerana mereka jarang berkomunikasi di rumah. Kekangan masa kerana lebih menumpukan perhatian terhadap perniagaan secara tidak langsung menjarakkan hubungan mereka.
Ibu kepada dua anak itu menjelaskan, keselesaan yang dinikmati hasil titik peluhnya sendiri menyebabkan dia merasakan berdiri sendiri tanpa berharap kepada suami.
"Apabila kita mempunyai segala-galanya, ego kita makin tinggi. Kita sukar melihat kesilapan sendiri sebaliknya mudah nampak kekurangan orang lain.
"Perasaan sedemikian menyebabkan wujud pertelingkahan antara saya dan suami sehingga kami hampir mengambil keputusan untuk berpisah," luah Azlina kesal.
Dia yang memberi lebih tumpuan kepada salon menyebabkan komunikasi antara dia dan suami semakin hambar. Menurut Azlina, untuk mengatasi kemelut rumah tangga tersebut, dia dan suami pergi ke pejabat agama untuk mendapatkan khidmat nasihat, malangnya usaha tersebut gagal.
Bagaimanapun, Azlina masih menaruh harapan untuk memulihkan kemelut rumah tangganya. Hasil saranan kenalannya, Azlina memujuk suami untuk sama-sama menyertai program Bulan Madu Kedua anjuran Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT).
Program yang berlangsung selama tiga hari dua malam di Pulau Langkawi, Kedah itu banyak mengubah persepsi dan memberi harapan baharu kepada Azlina dan suaminya.
Menceritakan pengalaman menyertai program tersebut, ternyata Azlina gembira dengan fasa yang dilaluinya.
"Alhamdulillah, hubungan kami semakin pulih selepas menyertai program tersebut. Kami merasakan seolah-olah pasangan yang baru berkahwin.
"Kini suami tidak segan untuk berjalan sambil berpimpinan tangan apabila keluar makan atau ke mana-mana selepas menyertai program tersebut," ujarnya.
Menurut Azlina, aktiviti yang dijalankan semasa program tersebut banyak mengubah persepsinya terhadap suami dan menyedarkan mereka tentang banyak perkara.
Pada hari pertama program, para peserta akan menyertai aktiviti mengenal pasangan masing-masing.
Para peserta dikehendaki menyenaraikan beberapa perkara tentang pasangan seperti warna, makanan dan lain-lain yang menjadi kegemaran pasangan.
Apa yang mengejutkan wanita yang lebih mesra dengan panggilan Kak Na ini, perkara yang disenaraikan oleh suami mengenai dirinya adalah tepat.
"Selama ini Kak Na fikir dia tidak ambil berat mengenai Kak Na. Rupa-rupanya dia tahu segala-galanya tentang Kak Na," luahnya.
Tambah pengusaha salon ini, aktiviti yang paling menyentuh hatinya sepanjang menyertai program tersebut adalah ikrar cinta.
Fikir panjang
Para peserta dikehendaki menulis dan melafazkan ikrar cinta di hadapan pasangan masing-masing termasuklah memberi ucapan penghargaan dan meluahkan perasaan masing-masing.
"Kak Na sangat sebak ketika itu apabila suami mengucapkan terima kasih kepada Kak Na kerana sudi menjadi isterinya.
"Semasa melafazkan ikrar, Kak Na nampak ketulusan pada diri suami, dia juga menitiskan air mata. Suami menangis sedangkan Kak Na tidak pernah melihat dia menangis di hadapan orang lain," jelasnya ketika dihubungi.
Azlina menasihatkan para pasangan supaya berfikir panjang sebelum membuat keputusan untuk berpisah kerana baginya peluang memulihkan hubungan masih ada jika setiap pasangan memuhasabah diri.
Sementara itu, bagi pengusaha kedai komputer dan alat tulis, Aina Khadijah Sapai, 30, program Bulan Madu ini berjaya memperbaiki hubungannya dengan suami yang telah merancang untuk berpisah.
Katanya, program berkenaan banyak memberi pengajaran yang berguna kepada para peserta terutama dalam menghadapi konflik rumah tangga.
"Sesi luahan perasaan antara aktiviti yang mendorong para peserta meluahkan apa-apa yang terpendam dalam hati secara jujur.
"Peserta juga diberi penekanan tentang peranan sebagai isteri atau suami dan tanggungjawab kita kepada keluarga," ujarnya yang sebelum ini suka memendam rasa apabila berdepan dengan konflik rumah tangga.
Akibatnya, setelah sekian lama memendam rasa, masalah yang kecil pun boleh menjadi besar.
Semasa menyertai program tersebut, peserta dinasihatkan supaya berbincang tentang masalah yang dihadapi. Melalui perbincangan itu, mereka dapat menyelami perasaan masing-masing.
"Sejak mengikuti program ini, hubungan saya dan suami sangat baik. Kami dapat rasakan hubungan seperti pasangan yang sedang dilamun cinta," ujarnya ketika dihubungi.
Aina mengakui pada peringkat awal, suaminya, Mohd. Mahadi Abdul Rahman, 36, seorang kakitangan swasta agak keberatan untuk menyertai program tersebut.
Namun, Aina telah memberi kata dua kepada suami jika dia benar-benar sayang rumah tangga mereka.
Hasilnya, mereka kini bahagia bersama empat cahaya mata. Mereka juga sering merancang aktiviti percutian keluarga setiap tahun sebagai salah satu cara untuk merapat dan meluangkan masa bersama.
Program Bulan Madu Kedua dianjurkan oleh YPKT dalam usaha untuk merapatkan hubungan antara suami dan isteri. Program yang diperkenalkan enam tahun lalu itu berlangsung selama tiga hari dua malam sebanyak lapan kali setahun.
Menurut Pengarah YPKT, Mohd. Shafaruddin Mustaffa, sebanyak 391 pasangan telah menyertai program tersebut sehingga tahun 2013.
"Daripada jumlah tersebut, 97 peratus pasangan dapat memulihkan hubungan mereka dan memberi respons yang positif.
"Sambutan untuk menyertai program ini sangat baik. Biasanya kuota untuk setiap program ialah antara 30 hingga 35 pasangan dan ia tersebut sentiasa penuh," katanya ketika dihubungi.
Jelasnya, program tersebut diadakan di pusat peranginan dalam negara untuk mewujudkan suasana seperti berbulan madu. Suasana tersebut akan mengingatkan kembali kenangan-kenangan manis yang pernah dialami oleh pasangan dan menjadi salah satu sebab untuk mereka bermuhasabah.
"Program ini ditaja sepenuhnya oleh kerajaan negeri dan para peserta hanya perlu datang untuk menyertai setiap aktiviti yang dijalankan,"jelas beliau.
Antara aktiviti yang dijalankan ialah makan malam romantik, muhasabah diri dan ikrar cinta.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan