Sumber : Utusan Malaysia - Bicara Agama
Tarikh 19/09/2014
BERITA yang diterima Zara sebentar tadi, benar-benar membuatkan Zara cuak dan kecewa. Dia sama sekali tidak menyangka Liyana begitu berani melakukan perkara sedemikian. Baginya, anak tunggal perempuannya itu telah dididik sesempurna mungkin. Segala kemahuannya dituruti. Segala kehendaknya dipenuhi. Cakap apa sahaja, Zara pasti tidak akan mengecewakan anak-anaknya jika anak-anaknya berjanji akan cemerlang dalam pelajaran mereka. Ternyata, anak-anaknya membuktikannya.
Siapa tidak kenal dengan Liyana, pelajar pintar di sekolah tersebut. Bahkan, menjadi pelajar harapan sekolah untuk mengharumkan nama sekolah. Liyana memang budak yang pandai. Zara turut berbangga dengan pencapaian yang ditunjukkan oleh anak-anaknya dalam bidang akademik. Lantas apa sahaja kemahuan anak-anak, seboleh-bolehnya Zara tidak mahu menghalangnya.
Bagi Zara, anaknya telah melakukan apa yang dia mahukan - cemerlang dalam pelajaran. Apa lagi yang perlu dikongkong kerana anak-anaknya selama ini mendengar kata. Duit? Bukan menjadi penghalang. Cakaplah berapa sahaja yang dikehendaki, asalkan diberitahu untuk apa duit tersebut. Setakat untuk berseronok dengan teman-teman di luar pada hujung minggu, Zara tidak pernah menghalang. Baginya, hujung minggu adalah masa untuk anak-anaknya melepaskan lelah dan minda yang serabut dengan menghadap buku.
Zara cukup yakin, anak-anaknya tidak akan melakukan sesuatu yang boleh memalukan maruah diri dan keluarga. Zara cukup yakin, anak-anaknya juga pandai menilai buruk dan baik. Dah besar panjang, biarlah mereka. Bukan hari-hari, di hujung minggu sahaja," pujuk Zara apabila suaminya bertanyakan banyak soalan kepada anak-anaknya apabila si anak meminta izin untuk berseronok bersama teman-teman. Si suami akhirnya akur dengan harapan si isteri tidak lepas tangan tentang aktiviti-aktiviti yang dilakukan oleh anak-anak di belakang mereka.
Namun panggilan yang diterima sebentar tadi mengejutkan Zara. Liyana baginya tidak akan melakukan perkara sedemikian. Tidak, tuan salah orang agaknya," soal Zara untuk mendapatkan kepastian. Sebaik meletakkan telefon, Zara bergegas ke pejabat agama. Sampai di pejabat tersebut, kelihatan Liyana menangis teresak-esak. Di sisinya seorang remaja lelaki yang lebih kurang sebaya Liyana. Zara dipeluk oleh Liyana sambil mulut meminta maaf berkali-kali.
Liyana juga berulang kali mengatakan, apa yang dilakukan adalah untuk berseronok dan tidak sangka malam itu, dia masuk perangkap! Zara sukar menerima kenyataan, anaknya Liyana ditangkap khalwat. Mereka didapati berdua-duaan dalam bilik hotel dalam keadaan yang mencurigakan. Bahkan ketika ditangkap Liyana dalam keadaan berkemban dengan tuala!
Terasa mahu pitam apabila maklumat tentang kejadian tersebut diberitahu kepada Zara. Zara benar-benar tidak sangka tindakan Liyana sudah terlalu jauh. Liyana telah memalukan dirinya bahkan keluarganya. Bukan itu sahaja, Liyana sanggup menggadai maruah diri hanya atas nama cintakan seseorang. Ya Allah, apa yang telah aku lakukan," keluh Zara yang masih tidak mahu mempercayai apa yang telah dilakukan Liyana. Ternyata kepercayaan yang diberikan selama ini, telah dikhianati oleh Liyana. Liyana benar-benar telah memalukan dirinya!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan