Tarikh : 14/09/2014
"TERPANGGIL dengan kisah hidup Shazlina minggu lepas membuat saya ingin menceritakan pengalaman hidup yang pernah saya lalui sebelum ini. Sebab rasanya nasib kami serupa. Tetapi saya tamatkan penderitaan saya dengan cara mungkin kejam kerana saya tidak sanggup lihat suami tanggung banyak dosa.
"Kita tahu setiap perkahwinan memerlukan pengorbanan kedua-dua belah pihak, kerana tanpanya, perjalanan pasangan itu akan pincang mungkin juga menyebabkan salah satu pihak jatuh tersungkur.'' Itu cerita Norjuliana dalam e-melnya.
"Tidak ada wanita mahu perkahwinan mereka hancur. Kerana mereka tidak mahu bergelar janda. Tetapi mengapa seseorang wanita itu terpaksa menempuhinya? Macam saya, setelah terbongkar kisah suami saya ada kekasih lain, saya cuba sedaya upaya untuk mengelakkannya. Suami sanggup bersumpah menafikan perbuatannya, walaupun memang dia sedang bercinta. Kemudian saya cuba selidik mengapa suami berbohong?
"Adakah kerana dia masih sayangkan isteri dan anak-anaknya. Jika benar, maka saya perlu mengkaji kelemahan diri sendiri, adakah kerana kesilapan saya, maka suami bosan?
"Setelah saya teliti kelemahan sendiri, maka saya berubah untuk senangkan hati suami. Saya tanya di mana silap saya maka dia berubah selera. Suami menafikan. Katanya tak ada masalah. Tetapi setelah saya dapat bukti lengkap siapa kekasihnya, maka dia salahkan saya. Mulalah memburukkan saya kepada keluarganya bila kes saya dipanjangkan untuk mendapat panduan dan nasihat keluarga.
"Lebih hebat lagi Farid menyalahkan dan mengorek kisah lama. Tanpa melihat kesilapannya yang sering bertukar kekasih selama ini. Cuma yang terakhir dia tidak dapat melepaskan diri atau terasa dirinya sudah layak berpoligami.
"Ketika itu anak ada tiga orang dan saya baru hamil anak keempat. Jadi bila dengar suami mengaku dia ada kekasih dan hendak berkahwin rasanya memang nak bunuh diri. Tetapi bila lihat perangai suami yang sudah tidak pedulikan anak lagi dan sering tak balik rumah, maka saya rasa bodoh kalau saya mati, kerana anak-anak akan lebih menderita.
"Kerana sayangkan anak-anak saya terpaksa sabar dan tak mahu anak yang lahir nanti cacat kerana perbuatan bodoh saya sendiri. Malangnya sikap Farid memang pelik bila dia lihat kita reda, dia mula nak pijak kepala kita.
"Saat paling menyedihkan dalam hidup saya satu malam ketika sakit terasa macam hendak bersalin saya dan anak sulung cuba hubungi Farid, tapi tak berjawab kerana berada di luar kawasan. Ketiga-tiga anak saya menangis bila mereka lihat saya dalam kesakitan. Akhirnya saya terpaksa minta bantuan jiran hantar saya ke hospital.
"Nak jadikan cerita jiran yang ada kereta ni takut nak bawa saya ke hospital. Katanya dia tak biasa dan dia takut sesuatu buruk berlaku pada saya. Maka dia telefon ambulan. Menanti kedatangan ambulan bukannya semudah menyebut ABC. Ketika saya di bawa ke hospital. Keadaan saya sudah teruk. Ditambah kebimbangan saya, siapa akan jaga anak-anak saya yang masih kecil di rumah ketika saya di hospital.
"Kerana kerisauan dan kebimbangan inilah agaknya saya bersalin awal daripada jadual, anak lahir tak cukup bulan. Bayi saya meninggal ketika saya lahirkan dalam ambulan.
"Ketika itu hanya Allah yang tahu perasaan saya. Walaupun bayi saya meninggal tetapi saya tak boleh keluar awal dari hospital kerana saya diperlukan menjalani pemeriksaan lanjut.
"Anak saya dapat menghubungi rakan baik sepejabat saya, merekalah yang menguruskan pengkebumian bayi saya dan membawa anak-anak saya balik ke rumah mereka untuk dijaga sementara waktu ketika suami tidak ada di rumah.
"Saya izinkan mereka lakukan semua itu demi keselamatan anak-anak dan saya tak mahu bayi saya disimpan lama di hospital. Dalam keadaan cemas seperti itu kepada siapa lagi saya hendak minta bantuan, tentulah orang yang saya kenal, pastilah teman pejabat.
"Tiga hari kemudian Farid balik. Kerana rumah kosong dia hubungi saya. Kerana ketika itu saya dalam kesedihan, sementara jiwa terlalu tertekan, hati amat pilu dan semangat saya telah hilang. Saya tidak jawab panggilannya. Untuk apa saya bercerita kerana segalanya sudah berakhir. Ketika itu saya terfikir jika saya hidup sendirian mungkin lebih aman.
"Akhirnya Farid berjaya mencari saya di hospital dengan bantuan jiran. Dia menangis dan kesal dengan apa yang berlaku. Ketika itu saya tidak tidak menjawab apa juga soalannya, sebab hati saya terlalu sakit. Biarlah saya telan semua penderitaan ini.
"Selama tiga hari di hospital, dan dengan keadaan saya yang tidak dipedulikan sepanjang saya hamil, maka saya ambil keputusan untuk tamatkan perkahwinan ini. Tidak ada gunanya pertahankan perkahwinan ini, kerana ketika saya harapkan Farid di sisi, Farid berbulan madu di luar negara. Tinggalkan saya bertarung nyawa melahirkan anak tak cukup bulan. Hati siapa tak terluka?
"Saya bukanlah seorang yang suka berbalah, jadi saya rasa lebih baik diamkan diri. Sebab segalanya telah berlaku.
"Pada saya Farid memang tak mampu. Tetapi dia bertuah kerana dapat isteri baru orang berada yang menyediakan segala-galanya untuknya, dia tak perlu keluar duit untuk hantaran, kecuali mas kahwin dan upah nikah. Majlis kenduri ditanggung oleh keluarga perempuan. Jadi tentu Farid lebih pentingkan isteri barunya daripada kami yang tak berharta?
"Mertua saya tidak berani masuk campur, kerana dapat menantu baru orang berada. Permohonan cerai saya tidak ambil masa panjang. Mungkin sebabnya pembaca dapat teka. Farid menangis ketika lafazkan cerai. Pada saya itu cuma tangisan kegembiraan sebab kini hidupnya berubah tidak perlu sewa rumah flat di mana saya tinggal sekarang. Itu cerita Norjuliana tentang penderitaannya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan