Khamis, 25 September 2014

Cabaran hidup berkeluarga

Sumber : Utusan Malaysia - Bicara Agama
Tarikh : 24/09/2014

INI adalah dua contoh yang ekstrim. Dalam kebanyakan masa, kita semua dibesarkan dalam sebuah kehidupan yang sederhana. Dalam kehidupan yang serba sederhana, kita tidak pernah terlupa bersyukur kepada Allah SWT dengan apa yang telah dikurniakan dan kita tidak pernah berhenti berdoa kepada-Nya supaya Dia terus memberkati kehidupan kita dengan anugerah kebahagiaan dan kesejahteraan.

Sebenarnya, apa yang kita impikan ialah sebuah kehidupan yang mawaddah warahmah dan sakinah. Sebagai manusia, sikap suka membanding-bandingkan kehidupan kita dengan orang lain adalah perkara biasa. Namun, perbandingan hanya bertujuan untuk menyerlahkan sikap suka bersaing dan keinginan kepada yang lebih baik tanpa melupakan hakikat bahawa segala sesuatu yang diingini atau dihajati itu hanya boleh menjadi kenyataan dengan izin-Nya. Jika Allah SWT tidak mengizinkan ia tidak akan berlaku.

Dalam kebahagiaan yang kita kecapi ini, hanya Allah SWT yang tahu apakah dugaan yang bakal tiba kepada kita. Seorang sahabat saya kehilangan dua daripada empat orang anaknya serentak dalam satu kemalangan jalan raya. Ketika kejadian itu, saya percaya sebagai manusia biasa, dia juga tertanya apakah hikmah di sebalik dugaan itu?

Apabila anak sulungnya berkahwin, Allah SWT takdirkan dia mendapat sepasang cucu kembar seiras. Siapalah yang akan dapat menjangka, jika Allah ambil sesuatu daripada kita, Allah SWT akan kembalikan dalam bentuk yang lain kerana daripada Allah kita datang dan kepada-Nya kita akan kembali.

Hidup ini penuh cabaran dan kekuatan seseorang itu ialah kekuatannya menerima dugaan Allah SWT dengan bersabar dan bersyukur kerana pada ketika kita diduga, kita tidak akan dapat merasa hikmahnya sehingga kita mendapat hikmah tersebut.

Lantaran itu, seorang Islam itu perlu yakin kepada ketentuan Allah SWT. Kita yakin dan beriman kepada Allah, Pencipta alam semesta, Allah yang Esa. Kita sentiasa berusaha memperbaiki diri dan keluarga supaya berada di dalam keberkatan-Nya sentiasa. Tiada siapa yang boleh mengubah hidup kita selain diri kita sendiri berusaha mengubahnya dan berdoa kepada-Nya supaya usaha kita beroleh kejayaan. Jika sudah ada usaha selainnya adalah hak-Nya.

Kehidupan kita ini penuh dengan cabaran. Tiada seorang manusia pun yang dalam kehidupannya tidak diduga atau melalui cabaran dalam kehidupan, walau bagaimana kaya atau berilmu pun mereka. Dugaan Allah SWT datang dalam pelbagai bentuk. Tabiat manusia, apabila berada dalam kemewahan dan kesenangan, mereka jarang mengingati-Nya. Apabila jarang mengingati Allah SWT, maka hati akan keras. Ia akan sering melakukan kemungkaran kerana ia senang dihasut syaitan.

Mengingati Allah SWT bukan sahaja melalui solat, ia adalah tiang segala amalan. Mengingati-Nya melalui solat adalah kewajipan namun mengingati Allah dalam semua urusan kehidupan dan sentiasa mensyukuri segala anugerah-Nya.

Setiap orang tanpa mengira kedudukan akan melalui cabaran daripada Allah SWT dalam bentuk yang berbeza. Setiap dugaan Allah SWT datang dengan hikmahnya yang tersendiri dan kekuatan seseorang yang diduga ialah sejauh mana ia bersabar dan bersyukur dengan ketentuan-Nya.


Kes 1

A dilahirkan dalam sebuah keluarga yang sederhana mewah. Dari kecil dia sudah ada pembantu rumah mengurus dirinya dan keperluan asasnya kerana ibu bapanya sibuk bekerja. Begitu pun, ibu bapanya masih ada masa untuknya dan dia dimewahkan dengan kebendaan dunia. Allah menyayanginya kerana ibu bapa mencarikan guru agama untuk dia belajar agama di rumah. Apabila dia bersekolah dan mula bercampur dengan lebih ramai orang, dia mula terpengaruh terutama dengan rakan sebaya yang sama mewah dan kurang didikan agama. A mula berjinak dengan rokok, dadah dan arak serta berfoya-foya.

Daripada segi akademik, A tetap cemerlang kerana dia memang pandai, ditambah dengan kehadiran guru tuisyen di rumah setiap hari. Nasibnya lebih baik kerana dihantar belajar ke luar negara. Lantas di luar negara dia terus hanyut tetapi dia masih berjaya dalam pelajarannya. Ibu bapa masih merasa amat berbangga dengan A.

Dalam kes A pendidikan agama asas yang diterimanya daripada guru agama menyebabkan timbul rasa bersalah A apabila dia melakukan perkara keji yang dilarang Allah SWT. Namun, A tiada kekuatan keimanan kerana keimanan itu lahir daripada keupayaan A mengenal Allah serta dikuatkan dengan solat dan amalan-amalan wajib dan sunat sepanjang hari.

Naluri keislaman A akan sentiasa membuat dia rasa bersalah dan terganggu, namun hasutan syaitan tetap dapat melemahkan naluri Islamnya kerana A tidak memupuk keimanannya itu. A juga tidak pernah sujud bersyukur kepada-Nya setiap kali dia mendapat keputusan peperiksaan yang baik dan dikelilingi kemewahan hidup.

Akhirnya, A pulang ke Malaysia, menjawat jawatan tinggi, bertemu jodoh dengan gadis pilihan yang sekufu. Di alam rumah tangga dan perkahwinan, A mula mendapat dugaan Allah SWT. Dia tahu akan tanggungjawab terhadap isteri dan anak. Dia mahu anaknya hidup bahagia, selamat dan tidak tersasar.

Dalam kes A, dugaan paling hebat ialah apabila isterinya ingin hidup bebas sama seperti sebelum berkahwin seperti, bertemu kawan-kawan, sesuka hati balik ke rumah ibu bapa tanpa meminta izin suami. A mula mencari pandangan, ingin tahu hukum tentang perkahwinan dan itulah cabaran hidup paling hebat yang pernah A alami. Dia tidak pernah menyangka wanita yang dicintai dan nikahi itu, mahu hidup bebas dan sebagai suami dia merasa cemburu isteri keluar dengan lelaki lain, sedangkan dia (A) adalah suaminya.

A tidak keharuan kerana selepas enam bulan berkahwin isteri memohon untuk diceraikan kerana tidak betah hidup dibelenggu perkahwinan. Dugaan hebat ini menyebabkan A tidak dapat memberi tumpuan kepada pekerjaan. Bagaimana A hendak menghadapi cabaran ini? Jika dia memilih hasutan syaitan, dia akan mengambil dadah dan minum arak. Namun jika dia ada kekuatan keimanan, dia akan bersolat hajat dan bermunajat memohon kepada Allah SWT petunjuk agar dapat membuat keputusan yang baik.

Kes 2

B datang daripada keluarga yang susah. Ibu bapanya petani dan dia mempunyai adik-beradik yang ramai. Sebagai anak sulung, dia hampir terpaksa berhenti sekolah kerana ingin memberi laluan kepada adik-adik. Dia anak yang pandai dan B juga sentiasa mendapat keputusan cemerlang.

Daripada sudut agama B diajar sendiri oleh ibu bapa di rumah. Dia sering menjadi imam di rumah, apabila ayahnya ke masjid. Dia bekerja sambilan di sebelah petang untuk menambah pendapatan keluarga. Akhirnya dia ke universiti. Di universiti, cabaran B ialah dia perlu bekerja untuk terus belajar, walaupun dia mendapat biasiswa kerana wang itu perlu dihantar ke kampung untuk bantu ibu bapa.

Dia telah mula bertanggungjawab walaupun dia belum bekerja. Dia sentiasa ingat bahawa Allah telah menentukan segalanya, namun dia bertekad menukar kehidupannya daripada susah kepada senang. Dia mahu ibu bapanya merasa hidup mewah. Dalam kesibukan belajar dan bekerja dia juga sering tertinggal solat kerana keletihan.

Hati kecilnya sering berbisik kenapa Allah SWT melahirkannya miskin dan susah. Jarang sekali dia bersyukur bahawa dengan takdir Allah lah dia dapat belajar dan berjaya dan masih boleh bekerja. Takdir Allah tidak berhenti di situ. Di IPT, B jatuh cinta dengan seorang gadis dari keturunan bangsawan. Tentulah pipit tidak layak terbang bersama helang. Cintanya tidak kesampaian kerana ibu bapa gadis itu menolaknya sebagai calon menantu sebelum dia masuk meminang pun.

B tambah tertekan. Rasa benci kepada orang berada sangat tinggi sedang dia juga berusaha mahu menjadi kaya dan senang. Kebencian itu adalah pemangkin untuk dia berusaha kuat sehingga dia menjadi seorang yang berjaya dan kaya. Dia dihormati dan disanjung. Dia beri segala kemewahan itu kepada ibu bapa dan adik-beradiknya. Dia berkahwin dan apabila mendapat anak, dia tidak mahu anaknya merasa susah sedikit pun seperti yang pernah dilalui.

B membenci dan cemburu dengan orang yang lebih kaya daripadanya dan dia juga membenci kemiskinan. Akhirnya dia hidup serba tidak kena kerana dia terlupa bersyukur kepada Allah SWT.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Talian NUR 15999

Hubungi Talian Nur (15999) oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Masyarakat untuk kes penderaan, kes keganasan rumahtangga, kes-kes domestik dan kebajikan yang lain termasuk penderaan wanita, pembantu rumah dan lain-lain.

Halaman