Jumaat, 19 September 2014

Bantahan ditolak, Awie diperintah bayar Rozana RM900

Sumber : Utusan Malaysia

KUALA LUMPUR 18 Sept. - Walaupun masih awal, namun keputusan Mahkamah Tinggi Syariah di sini yang menolak bantahan awal suaminya yang juga pelakon dan penya-nyi, Awie terhadap permohonannya untuk mengetepikan perintah hak penjagaan (hadanah) sementara bagi ketiga-tiga anak mereka sudah cukup menggembirakan Rozana Misbun.

Malah sudah terbayang di benak fikirannya, seolah-olah keputusan hari ini membuka ruang baginya untuk berjumpa dengan anak-anak-nya, Putra Ahmad Merrah, 7, Putra Ahmad Rezzki, 6, dan Puteri Qasseh Antasha, 4, yang sudah tidak ditemui sejak beberapa bulan yang lalu.

"Saya sungguh gembira. Tak sabar nak jumpa anak-anak," kata Rozana.

Keputusan tersebut turut disambut dengan sorakan gembira rakan-rakannya dan kakaknya yang juga penerbit dan pelakon, Haliza Misbun.

Dalam keputusan Hakim Syarie, Mohd. Amran Mat Zain yang dibacakan oleh Timbalan Pendaftar, Muhammad Fateh Saleh, mahkamah turut mengarahkan Awie atau nama sebenarnya, Ahmad Azhar Othman, 46, membayar kos sebanyak RM900.

Mahkamah turut mengarahkan pelakon utama filem Hantu Kak Limah Balik Rumah itu memasukkan jawapan terhadap permohonan Rozana, 36, untuk mengetepikan perintah hadanah sementara itu.

Menurut peguam syarie, Datuk Mohd. Zaidi Mohd. Zain yang mewakili Awie, pihaknya diarahkan untuk memasukkan jawapan tersebut dalam tempoh tiga minggu.

Sementara itu, peguam syarie, Majdah Musa yang mewakili Rozana memberitahu, mahkamah menetapkan sebutan semula kes itu pada 31 Oktober ini dan segala afidavit jawapan dan balasan perlu difailkan sebelum tarikh tersebut.

"Mahkamah turut mengarahkan pihak-pihak untuk memasukkan hujah bertulis bagi dua lagi permohonan iaitu permohonan anak guam saya untuk membatalkan permohonan Awie untuk mendapatkan perintah hadanah kekal serta permohonan untuk mengubah perintah injunksi dan hak penjagaan sementara," katanya.

Menurut Majdah, kes itu akan disebut pada 5 November ini.

Pada 21 Julai lalu, Hakim Syarie, Nassir Abdul Aziz memberikan hak penjagaan anak sementara kepada Awie selepas membenarkan permohonan yang dibuat secara sebelah pihak (ex-parte) dan permohonan injunksi yang menghalang Rozana daripada mendekati anak-anaknya.

Bagaimanapun, Rozana dibenarkan melawat anak-anaknya sebanyak dua kali sebulan iaitu pada minggu pertama dan ketiga setiap bulan namun terhad di bekas rumah kelamin pasangan itu sahaja.

Tidak berpuas hati dengan perintah tersebut, wanita itu kemudian memfailkan permohonan untuk mengetepikan perintah hadanah sementara itu dan bagi mengubah perintah injunksi.

Dalam permohonan untuk mengubah perintah injunksi, Rozana antara lainnya memohon agar hak lawatan itu dipindahkan ke rumah ibu bapa Rozana di Pantai Murni, Jalan Pantai Dalam di sini.

Ini berikutan Rozana telah mendapat perintah perlindungan sementara (IPO) yang dikeluarkan oleh Mahkamah Majistret Ampang pada 7 Jun lalu setelah mendakwa dicederakan oleh suaminya itu pada 2 Jun lalu.

Kes Awie didakwa telah menyebabkan kecederaan ke atas isterinya itu akan disebut di Mahkamah Majistret Ampang pada 23 September ini.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Talian NUR 15999

Hubungi Talian Nur (15999) oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Masyarakat untuk kes penderaan, kes keganasan rumahtangga, kes-kes domestik dan kebajikan yang lain termasuk penderaan wanita, pembantu rumah dan lain-lain.

Halaman