Ahad, 28 September 2014

Kanun Syariah: Taat suami berpandu syariat

Sumber : Harian Metro - Nuansa
Tarikh : 12/09/2014

Saya dan suami bernikah sejak empat tahun lalu. Dalam usia perkahwinan yang muda ini, kami pernah bercerai sekali dan kembali rujuk.
Punca perceraian ketika itu kerana salah faham selain wujud campur tangan ahli keluarga terutama ibu di kedua-dua pihak. 
Keputusan rujuk bagaimanapun diambil dengan persetujuan bahawa saya dan suami tidak akan mendengar cakap-cakap orang termasuk keluarga terdekat sebelum kami berbincang sesama sendiri. 
Persoalannya, kini suami seolah-olah cuba me­nyekat hubungan saya de­ngan keluarga.
Sejak kami rujuk lebih setahun lalu, saya diingat­kan supaya tidak berkongsi masalah dengan adik-beradik dan ibu.
Malah, dalam tempoh sama, saya dilarang pulang ke kampung sebagaimana awal pernikahan kami. 
Saya sedar perubahan ini banyak melukakan hati ibu, namun suami kerap mengingatkan saya dosa nusyuz. 
Apakah saya benar-benar nusyuz jika berbohong kepada suami, mengatakan terpaksa bekerja di luar daerah untuk pulang bertemu ibu di kampung? 
Jawapan 

Saya dapat rasakan betapa sukarnya situasi dihadapi puan pada masa ini bagi menjaga keharmonian rumah tangga selepas mengalami keretakan akibat campurtangan tidak wajar daripada keluarga masing-masing. 

Dalam menghadapi dilema ini, puan perlulah merujuk kepada hukum syarak yang secara jelas menggariskan batasan ketaatan sesama makhluk termasuk dalam hal membabitkan suami serta ibu bapa. 
Antara lain, Rasulul­lah s.a.w banyak mengi­ngatkan wanita kelebihan menjadi isteri yang taat terhadap suami antaranya melalui hadis bermaksud: 
“Wanita apabila solat lima waktu, puasa sebulan Ramadan, memelihara kehormatannya dan taat akan suaminya, maka masuklah syurga dari mana-mana pintu yang dikehendaki­nya.” 
(Riwayat Ahmad, Ibnu Hibban dan Thabrani) 
Sikap suami yang tidak membenarkan puan berjumpa dengan ibu atau ahli keluarga sendiri tidak patut dituruti. 
Ia adalah perbuatan mungkar dan sangat bertentangan dengan syariat Allah. Perbuatan ini se­olah-olah suatu cubaan memutuskan silaturahim. 
Rasulullah s.a.w me­ngingatkan umatnya pentingnya menjaga silaturahim melalui sabda yang bermaksud: 
“Silaturahim itu tergantung di arasy lalu berkata: Sesiapa yang menyambung­ku (silaturahmi) maka Allah akan menyambungnya dan siapa yang memutuskanku maka Allah akan memutuskannya” (Al-Bukhari) 

Dalam hadis yang lain, baginda bersabda yang bermaksud: 
“Tidak masuk syurga sesiapa yang memutus silaturrahim” ( Al-Bukhari) 

Jadi, dalam soal ini puan tidak boleh menurut kehendak suami jika arahannya bertentangan dengan hukum syarak. 

Jangan takut menegakkan syariat Allah. Mungkin puan akan berhadapan dengan sikap suami yang kasar dan marah namun kita lebih khuatir jika Allah murka dan bencikan kita. 
Dalam mengimba­ngi ketaatan kepada suami dan ibu bapa, cuba gunakan cara terbaik untuk menolak kehendak suami yang bertentangan dengan kehendak syarak. 
Semoga puan mendapat rahmat dan inayah serta hidayah Allah. Jadilah seorang isteri yang bijak dengan menjaga maruah suami dengan tidak mendedahkan segala perkara yang berlaku dalam rumahtangga mereka kerana dibimbangi akan menyebabkan timbulnya salah faham. 
Harungilah ujian de­ngan sempurna dan semoga keadaan kembali menjadi lebih baik dari masa ke semasa. 
Tiada cara lain me­ngatasi masalah ini melainkan mendekatkan hati suami, ibu dan ahli keluarga kepada Allah. 
Insya-Allah, dengan itu hati mereka akan menjadi lembut dengan kebijaksaan puan menangani kerenah kedua-duanya.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Talian NUR 15999

Hubungi Talian Nur (15999) oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Masyarakat untuk kes penderaan, kes keganasan rumahtangga, kes-kes domestik dan kebajikan yang lain termasuk penderaan wanita, pembantu rumah dan lain-lain.

Halaman