Sumber : Utusan Malaysia - Keluarga
Tarikh : 17/09/2014
ALIA (bukan nama sebenar) merupakan ibu kepada seorang anak lelaki yang sedang meningkat remaja. Dia bekerja sebagai jururawat di sebuah hospital swasta. Berperwatakan periang dan peramah, tiada siapa mengetahui rahsia yang disimpan oleh Alia selama bertahun-tahun.
Mengenali Alia sejak lima tahun yang lalu, dia amat selesa didekati dan mudah menjadi kawan. Sesekali dia akan menelefon saya dan bertanyakan khabar. Apabila bertemu, dia tampak begitu riang dan tidak berhenti-henti bercakap. Dia begitu terbuka dengan saya dan berceritakan mengenai rahsianya itu.
Mungkin dia mempercayai dan tahu saya tidak akan menjajakan ceritanya. Namun, untuk disiarkan di ruangan ini, Alia membenarkan tetapi meminta supaya saya tidak mendedahkan nama sebenarnya.
Cerita Alia, dia berkahwin dengan suaminya, Hisham yang 10 tahun lebih muda dari usianya atas dasar suka sama suka. Mereka dikurniakan seorang anak lelaki. Bagaimanapun langit tidak selalunya cerah. Mega mendung mula kelihatan.
Apabila anaknya berumur 10 tahun, dia mengetahui Hisham mempunyai kekasih yang bekerja satu pejabat dengannya.
Dia bertanya kepada Hisham dan suaminya mengaku mempunyai kekasih. Alia meminta Hisham supaya berterus-terang sama ada dia ingin berkahwin dengan kekasihnya itu. Ini kerana Alia mengetahui dia mungkin tidak dapat menghalang jika suaminya benar-benar ingin berkahwin dengan kekasihnya.
Cuma apa yang dipinta oleh Alia ialah supaya Hisham tidak mengabaikan anak tunggal mereka yang sangat rapat dengan ayahnya.
Demi anak, mereka meneruskan kehidupan rumah tangga mereka seperti biasa. Alia merupakan seorang wanita yang amat tenang. Mungkin kematangan usianya membuatkan dia begitu. Dia tidak suka bergaduh atau meraung mengenangkan suami yang mempunyai wanita lain.
Setiap hari dia pergi bekerja seperti biasa. Hisham pula keluar rumah dan menyewa rumah lain dan memberikan alasan kepada anaknya bahawa dia perlu tinggal di rumah yang dekat dengan tempat kerja. Ini kerana waktu kerja Hisham tidak sama dengan orang dan dia perlu bekerja tiga syif.
Cuma apa yang saya tidak suka ialah setiap kali dia datang berjumpa dengan anak saya, dia akan membawa bersama kekasihnya itu. Anak saya nampak keliru dan bertanyakan siapakah kawan ayahnya itu. Anak saya tidak suka kerana dia tidak dapat berdua dengan ayahnya yang nampak tidak bebas apabila kekasihnya berada di sisi.
Kadang-kadang kata anak saya, kawan ayahnya itu akan duduk sahaja di dalam kereta sementara menunggu suami saya membawanya pergi makan atau membeli barangan yang diperlukan.
Begitu juga apabila Hisham hendak mengambil anak kami di rumah. Dia akan memberhentikan keretanya jauh sedikit daripada rumah saya. Saya tahu kekasihnya itu ada mengikut bersama tetapi saya nampak dia menundukkan badannya supaya saya tidak melihatnya. Saya buat tidak tahu saja, malas," kata Alia.
Menurut Alia lagi, setahun berkawan, ibu bapa kekasih Hisham mengetahui bahawa anaknya berkawan dengan suami orang. Mereka mahu berjumpa dengan Hisham bagi mengetahui kedudukan sebenar. Ibu bapa kekasih Hisham itu merupakan orang berada dan dikenali ramai.
Katanya, sudah tentu mereka malu jika anak mereka berkahwin dengan suami orang. Oleh kerana ingin mengetahui siapakah isteri Hisham, iaitu saya, mereka sanggup ke tempat kerja untuk berjumpa dengan saya.
Tanpa ada perasaan bersalah, mereka meminta saya untuk bercerai dengan Hisham. Dengan Hisham juga mereka memberitahu supaya menceraikan saya jika dia ingin berkahwin dengan anaknya.
Tambah Alia, mungkin mereka pun tahu bahawa mereka tidak dapat mengawal anak perempuan mereka itu yang boleh dikatakan liar dan mempunyai beberapa orang teman lelaki sebelum Hisham. Jadi supaya dapat mengikat anak mereka itu, mereka sanggup mengahwinkan anak mereka walaupun lelaki itu adalah suami orang dan mempunyai anak.
Terlajak perahu boleh diundur, terlajak perbuatan tanggung sendiri, Hisham menceraikan Alia dengan talak satu. Perkahwinan keduanya dengan kekasihnya itu pun direstui oleh ibunya kerana dapat bermenantukan orang kaya.
Hati saya memang sedih. Senang sahaja suami menceraikan kita apabila sudah berjumpa dengan wanita lain. Ikutkan hati saya, saya tidak mahu dia berjumpa dengan anak kami. Bagaimanapun saya terpaksa menerima kerana saya tahu ayah dan anak itu sangat rapat. Saya tidak mahu anak menjadi mangsa akibat keruntuhan rumah tangga kami," jelasnya.
Perkahwinan Hisham dengan isteri baharunya itu tidak dikurniakan cahaya mata walaupun sudah tiga tahun bersama. Hisham pun tidak pernah mengabaikan anaknya.
Setiap minggu dia akan datang berjumpa anaknya dan membawa berjalan. Anak mereka masih tidak tahu yang ibu dan bapanya sudah bercerai.
Apabila dia bertanya kenapa ayahnya tidak tidur di rumah, Hisham menjawab, dia perlu bekerja di luar daerah.
Suatu hari Hisham memberitahu saya dia ingin rujuk semula dengan saya. Katanya demi anak. Setelah berfikir, saya menerima namun ada syaratnya. Kata saya, walaupun sudah rujuk, dia tidak boleh tidur dengan saya. Saya sudah tidak ada hati dengannya.
Jadi setiap kali Hisham pulang ke rumah, kami akan berpura-pura mesra, bergurau dan bergelak ketawa di depan anak. Kalau dia masuk bilik, saya akan keluar, begitulah sebaliknya. Masa hari raya pun, kami berpura-pura saling bersalaman dan bermaafan pada hal itu semua hanyalah lakonan.
Tiada siapa yang mengetahui kami sudah rujuk semula, baik isteri baharunya itu, mentuanya, ibunya sendiri atau keluarga saya. Ibu bapa saya pun saya rahsiakan. Cuma saya memberitahu kepada adik perempuan saya kalau-kalau terjadi sesuatu perkara yang saya tidak sempat jelaskan," ujar Alia lagi yang bahagia dengan kehidupannya bersama anaknya yang kini sudah memasuki sekolah menengah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan