Selasa, 9 September 2014

"Tuntutan Setengah Bilion Tidak Munasabah Dan Untuk Menghukum Saya..."- Mahmud Abu Bekir

Oleh: MOHD AL QAYUM AZIZI
qayumazizi@thestar.com.my
Diterbitkan: Isnin, 8 September 2014


KUALA LUMPUR: Datuk Seri Mahmud Abu Bekir Taib Mahmud pada Isnin memberitahu Mahkamah Tinggi Syariah di sini bahawa bekas isterinya, Shahnaz Abdul Majid telah dipergunakan oleh pihak tertentu sehingga membuat tuntutan tidak munasabah iaitu sebanyak RM521 juta terhadapnya.

Mahmud mendedahkan Shahnaz yang juga plaintif dalam kes berkenaan percaya beliau mempunyai nilai harta yang banyak untuk membayar tuntutan yang dibuat wanita berkenaan.

"Saya yakin dia mendapat nasihat yang salah daripada pihak-pihak tertentu selain saya difitnah mempunyai harta yang banyak sehingga membuatkan dia percaya saya mampu membayar tuntutan tersebut.

"Ternyata dia telah ditipu kerana apa yang cuba dibuktikan tidak wujud," katanya lagi.

Mahmud berkata demikian ketika memberi keterangan dalam perbicaraan kes tuntutan mutaah sebanyak RM100 juta dan tuntutan harta sepencarian bernilai RM300 juta yang difailkan Shahnaz, 51.

Selain mutaah dan harta sepencarian, Shahnaz turut memfailkan nafkah terhadap anak lelaki tunggal mereka yang kini berusia 20 tahun sebanyak RM121 juta.

Kes berkenaan didengar dihadapan Hakim Syarie, Abdul Karim Wahab dan Mahmud selaku defendan diwakili oleh peguam syarie, Saadiah Din.

Dalam pada itu, Mahmud memberitahu tuntutan tidak munasabah itu dibuat bekas isterinya kerana perasaan marah ekoran beliau menceraikan wanita berkenaan pada Mei 2011.

"Sepanjang 12 tahun kami tinggal berasingan dia sentiasa mengelak apabila saya mengutarakan soal perceraian dan dia jadi marah apabila perkara itu berlaku. Tuntutan yang dibuat itu seolah-olah ingin menghukum saya," katanya.

Tambah Mahmud yang juga anak kepada Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Abdul Taib Mahmud, dia menceraikan Shahnaz hanya selepas 12 tahun tinggal berasingan kerana berasa kasihan terhadap wanita tersebut.

Sementara itu, Mahmud turut mempertikaikan tindakan Shahnaz yang mengambil gambar kereta, tapak tanah dan rumah miliknya yang sedang dibina di Bukit Tunku di sini tanpa kebenarannya untuk dijadikan bukti kepada mahkamah.

Jelas Mahmud, tindakan tersebut nyata telah melanggar hak peribadinya dan Shahnaz sepatutnya meminta kebenaran terlebih dahulu.

Mahmud dan Shahnaz yang juga kakak kepada penyanyi popular Datuk Sheila Majid berkahwin pada Januari 1992.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Talian NUR 15999

Hubungi Talian Nur (15999) oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Masyarakat untuk kes penderaan, kes keganasan rumahtangga, kes-kes domestik dan kebajikan yang lain termasuk penderaan wanita, pembantu rumah dan lain-lain.

Halaman