Khamis, 4 September 2014

Lewat: Rozana diperintah bayar kos RM500

Sumber : Utusan Malaysia - Mahkamah

KUALA LUMPUR 3 Sept. - Isteri vokalis kumpulan Wings, Rozana Misbun hari ini diperintahkan oleh Mahkamah Tinggi Syariah di sini membayar kos RM500 kepada Awie selepas 'tidak hadir' prosiding bantahan awal berhubung hak penjagaan (hadanah) sementara ketiga-tiga anak mereka yang diperoleh penyanyi tersebut.

Hakim Syarie, Mohd. Amran Mat Zain memutuskan demikian selepas adik kepada kepada pelakon dan penerbit, Haliza Misbun itu dan peguam syarie, Majdah Musa yang mewakilinya tidak kelihatan di mahkamah sewaktu kes itu bermula sehingga dianggap tidak hadir.

Namun, kira-kira 20 minit selepas mahkamah bersidang dan perintah itu dikeluarkan, Rozana dan Majdah dilihat tergesa-gesa memasuki dewan mahkamah dan memaklumkan bahawa mereka terlewat tiba ekoran sibuk di kaunter pendaftaran Mahkamah Syariah bagi tujuan memasukkan wakalah (pelantikan peguam) dan memfailkan beberapa afidavit jawapan dalam kes itu.

Majdah turut memberitahu, anak guamnya telah memasukkan dua permohonan interlokutari (permohonan dalam permohonan) iaitu berhubung bidang kuasa mahkamah dan permohonan untuk mengubah perintah sementara berkaitan isu hadanah.

Rozana, 36, pada prosiding sebelum ini menyatakan hasratnya secara lisan kepada mahkamah berhubung kedua-dua permohonan tersebut namun perkara itu baru difailkan secara rasmi hari ini.

Ibu kepada tiga anak itu sebelum ini menyatakan bahawa Mahkamah Syariah Kuala Lumpur tidak mempunyai bidang kuasa atas dakwaan Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman, 46, telah sengaja memanipulasi fakta tentang alamat kediamannya untuk mengelak daripada permohonan itu didengar di bawah bidang kuasa mahkamah negeri Selangor.

Rozana turut memohon mahkamah meminda perintah hak lawatannya terhadap anak-anaknya, Putra Ahmad Merrah, 7; Putra Ahmad Rezzki, 6, dan Puteri Qasseh Antasha, 4, selama dua jam dan sebanyak dua kali sebulan iaitu pada minggu pertama dan ketiga setiap bulan serta terhad di bekas rumah kelamin pasangan itu di Taman Ukay Bistari dipindahkan ke rumah ibu bapanya di Pantai Murni, Jalan Pantai Dalam di sini.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Talian NUR 15999

Hubungi Talian Nur (15999) oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Masyarakat untuk kes penderaan, kes keganasan rumahtangga, kes-kes domestik dan kebajikan yang lain termasuk penderaan wanita, pembantu rumah dan lain-lain.

Halaman