Ahad, 28 September 2014

Menantu zaman sekarang

Sumber : Utusan Malaysia - Keluarga

"TUJUAN saya hantar e-mel ke ruangan ini adalah untuk memberikan pandangan peribadi saya bukan bermaksud mengutuk apa lagi memalukan sesiapa, terutama ipar duai saya. Sebenarnya saya sekadar ingin melahirkan isi hati supaya perkara yang saya tidak berulang lagi, sebab saya malu dengan perangai mereka.

"Saya mempunyai empat orang adik-beradik, tiga lelaki termasuk saya dan seorang perempuan yang bongsu. Mereka semua sudah berkahwin kecuali saya. Emak beberapa kali mendesak supaya saya segera berkahwin, tetapi belum terbuka pintu hati saya, tambahan apabila melihat perangai dua orang ipar perempuan saya ini.'' Itu cerita M.Zailan dalam e-melnya.

"Saya berharap apa yang diluahkan ini dibaca oleh ipar saya itu, namun saya sedar mungkin apa yang ingin saya ceritakan ini tidak akan menyenangkan hati mereka termasuk juga golongan ibu muda zaman ini.

"Sebagai contoh perbuatan mereka layan suami tak ubah macam pembantu rumah. Suruh dukung anak, beri anak makan dan mandikan anak, sedangkan mereka berehat di dalam bilik, tak kurang juga layan telefon. Saya tak intai tetapi saya boleh agak itulah yang mereka lakukan.

"Apabila anak-anak hendak susu ataupun makan, mereka akan panggil suami suruh uruskan atau menyuruh si anak meminta daripada ayah mereka yang sedang berehat di luar. Apa yang saya ceritakan ini daripada apa yang saya lihat di rumah emak saya apabila mereka pulang bercuti raya atau balik kampung sekali-sekala.



"Maka sudah menjadi kelaziman si anak akan berlegar dekat ayah mereka. Alasan si isteri, mereka penat. Sebenarnya jika mereka balik kampung pada hari raya, ipar-ipar saya ni bukan tolong emak saya memasak di dapur. Biasanya mereka tiba malam raya ataupun dua hari raya. Ketika itu semuanya sudah beres. Makanan sudah terhidang tunggu makan saja.

"Saya sering beritahu emak jangan kerja teruk-teruk tunggu sampai menantu balik, boleh suruh mereka tolong sama, tapi kata emak, daripada pengalamannya kalau tunggu mereka balik alamat tak dapat makan rendang pagi raya. Sebab biasanya mereka sampai waktu malam, kalaupun tiba awal, mereka akan berlabuh dalam bilik tak keluar alasannya penat hinggakan makanan untuk berbuka puasa pun mereka tak larat nak buat.

"Lain halnya kalau adik perempuan saya balik jika gilirannya beraya di rumah kami. Dia balik lebih awal lagi dan membantu emak di dapur walaupun dia ada tiga orang anak yang masih kecil. Tetapi semua kerja dia bereskan. Emak memang banyak harapkan adik balik beraya, namun emak faham, sebagai anak perempuan dia juga kena balik rumah mentuanya yang memang mengharapkan pertolongannya.

"Saya pernah tanya adik, adakah dia turut masuk di dapur jika pulang ke rumah mentuanya. Adik kata - mesti. Malah mentuanya suka rendang yang dia masak, sebab di kampungnya tak ada rendang, cuma kari ayam atau daging saja.

"Jadi kalau adik boleh membantu emak mentuanya di kampung mengapa menantu-
menantu emak ini tidak mahu membantu emak? Emak sering berkata, itu semua terpulang kepada budi bicara dan budi bahasa seseorang itu. Jika mereka ada perasaan, mereka tidak akan biarkan emak mentuanya sendirian di dapur.

"Puas saya membandingkan perangai adik dan ipar perempuan saya ini. Kalau dia kata penat duduk dalam kereta lama dan mereka penat bekerja. Adik saya pun duduk dalam kereta lebih lama bila balik kampung suaminya dan adik saya juga bekerja. Tetapi mengapa adik boleh bantu mentuanya sedangkan ipar saya ini tidak?

"Maka saya buat kesimpulan perangai mereka ini disebabkan dua perkara. Pertama kerana mereka pemalas dan kedua mereka tidak ada hati dan perasaan. Sedangkan suami mereka sendiri pun mereka buat macam pembantu rumah inikan pula emak mentua?

"Saya simpulkan perangai isteri yang begini kerana kelemahan abang-abang saya yang terlalu manjakan isteri hingga sanggup biarkan emak sendiri jadi kuli isteri mereka.

"Saya pernah tanya emak, mengapa perangai isteri abang macam ini, emak kata itu semua terpulang kepada didikan ibu bapa mereka. Dan sedikit sebanyak terletak kepada kelemahan abang sendiri. Kalau emak mereka tidak pandai didik anak berbudi bahasa, sebagai suami, abang mesti kena ajar mereka supaya menghormati tetamu dan mentua.

"Tetapi nampak gayanya abang-abang saya gagal mendidik isterinya. Saya puji emak pandai didik adik saya jadi isteri dan menantu yang disayangi mentua. Dan emak pandai mendidik kami anak lelakinya rajin ke dapur. Tetapi malangnya kebaikan dan kepandaian abang-abang telah disalah gunakan oleh isteri mereka untuk menyenangkan diri sendiri.

"Pada pandangan saya, ipar-ipar saya ini tak ada budi bahasa. Mereka ambil kesempatan daripada kebaikan suami untuk menyenangkan diri malah lebih teruk langsung tidak tahu menjaga maruah suami mereka di hadapan mentua dan saudara mara yang datang bertamu ke rumah. Apakah mereka merasa bangga dapat kulikan suami mengikut telunjuk mereka.

"Kata teman pejabat, dengan isteri kita tak boleh tunjuk lemah, tunjuk baik dan tunjuk pandai, sebab mereka akan gunakan kebaikan kita itu untuk diri mereka. Mereka akan bergantung sepenuhnya kepada suami dalam semua perkara. Hinggakan nak pergi ke pasar pun mereka suruh suami. Nasib tak baik mereka suruh gosokkan baju dan sidai pakaian. Alasannya penat bekerja. Mereka rasa bangga jika suami dengar cakap mereka sambil memberitahu kawan kepandaiannya mengajar suami.

"Benar dalam Islam suami mesti sediakan segalanya untuk isteri. Tetapi isteri macam mana? Si isteri duduk rumah sepenuh masa, tak ada hak keluar rumah atau memilih. Tapi isteri di negara ini, mereka bekerja dan mereka mahu tentukan hidup sendiri. Jadi kenalah ikut cara dan budaya negara ini, jangan ikut cara Islam di Arab Saudi. Kerana cara hidup kita berbeza. Kerana masalah inilah juga pintu hati saya belum terbuka untuk berumah tangga.'' Itu cerita M.Zailan tentang pandangan dan isi hatinya terhadap perangai isteri-isteri zaman sekarang, walaupun bukan semua.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Talian NUR 15999

Hubungi Talian Nur (15999) oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Masyarakat untuk kes penderaan, kes keganasan rumahtangga, kes-kes domestik dan kebajikan yang lain termasuk penderaan wanita, pembantu rumah dan lain-lain.

Halaman