Khamis, 25 September 2014

Wanita perlu tahu hak perundangan

Oleh : NURSYAMIMI SAIDI
Sumber : Utusan Malaysia - Keluarga
Tarikh : 23/09/2014

Wanita di Malaysia sama seperti di negara-negara lain, mempunyai pelbagai halangan dan rintangan sepanjang perjalanan kehidupan berumah tangga. Penderaan fizikal dan mental, penganiayaan seksual, suami berkahwin lain, suami tidak memberi nafkah zahir, dan sebagainya, adalah antara situasi yang biasa kita dengar berlaku yang akhirnya perceraian menjadi penyelesaian kepada segala masalah.

Baik suami mahupun isteri, tiada siapa yang suka berlakunya perceraian meskipun mungkin hanya dengan itu sahaja masing-masing dapat menjalani kehidupan yang lebih baik.

Apabila sudah diputuskan oleh mahkamah pasangan berhak bercerai, ia sebenarnya turut memberi kesan yang mendalam terutamanya tentang hal yang melibatkan penjagaan anak, pembahagian harta, malah status kewarganegaraan anak sekiranya bekas pasangan adalah bukan warganegara.

Ramai yang tidak menyedari bahawa selepas bercerai mereka sebenarnya telah diputuskan hak masing-masing dalam undang-undang Malaysia.

Namun, kejadian yang berlaku di sekeliling kita menunjukkan masih ramai yang tidak tahu tentang hak mereka.

Bagi yang berfikiran bahawa mereka telah arif tentang selok belok sistem perundangan, mereka akan mendapati terdapat aspek-aspek tersembunyi yang agak sukar untuk difahami.
Lebih malang, apabila sesetengah pengamal undang-undang sendiri turut mengalami perkara yang sama.

Terdapat tambahan kepada satu lagi dimensi kepada hak-hak wanita dalam undang-undang di negara ini, iaitu sejarah undang-undang yang kompleks di Malaysia menyebabkan wujudnya dwi sistem terutamanya dalam kes undang-undang keluarga, di mana terdapat satu set undang-undang untuk orang Islam dan satu lagi untuk bukan Islam.

Walaupun peranan wanita dalam masyarakat kita cukup terserlah dan amat penting dalam rancangan pembangunan jangka panjang negara, masih terdapat beberapa isu yang membimbangkan.

Malaysia telah mengiktiraf undang-undang yang lebih menyeluruh mengenai gangguan seksual, status kewarganegaraan anak-anak wanita Malaysia dengan pasangan asing serta isu-isu lain melalui sistem perundangan sivil dan perundangan syariah.



Melalui Forum Wanita dan Undang-Undang anjuran Kelab Zonka Kuala Lumpur, mereka cuba membantu wanita supaya lebih memahami undang-undang dan isu yang berkaitan serta mewujudkan kesedaran mengenai status hak-hak wanita dalam konteks undang-undang di Malaysia.

Wanita perlu tahu hak perundangan

Salah seorang panel jemputan, ahli jawatankuasa eksekutif Persatuan Peguam Wanita (AWL), Kiran Dhaliwal berkata, dari segi perspektif undang-undang sivil, wanita yang telah berkahwin telah diputuskan hak mereka di bawah Akta Perempuan Bersuami 1957.

Secara konservatif, kebanyakan wanita menganggap segala harta yang dimilikinya sebelum berkahwin akan menjadi milik bersama selepas menjadi isteri dan mereka tidak mempunyai hak dari segi undang-undang untuk hadir ke mahkamah menuntut kembali hartanya selepas berlakunya perceraian.

“Di Malaysia, Akta Perempuan Bersuami 1957 telah digubal untuk membolehkan isteri mempunyai hak sebagai individu yang berasingan daripada suami mereka, namun ramai yang tidak mengetahui tentang undang-undang ini.

“Isteri diberi hak untuk memperoleh dan memegang harta, mempunyai hak dan tanggungjawab untuk menjalankan dan mematuhi kontrak. Mereka sebenarnya boleh 
membawa tindakan ke mahkamah dan dibawa guaman terhadapnya atas namanya sendiri bagi apa-apa kontrak, hutang atau kewajipan," katanya.

Beliau yang juga jurulatih advokasi bagi Kursus Latihan Advokasi Majlis Peguam Malaysia berkata, wanita perlu bersuara untuk menyampaikan permasalahan masing-masing supaya tidak ditindas.

Mereka boleh berbuat demikian menerusi saluran yang betul seperti melalui badan bukan kerajaan (NGO) wanita seperti All Women Action Society (AWAM), Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO), dan AWL sendiri.

Menurutnya, atas inisiatif itu juga, NGO ini berjaya menggesa kerajaan mewujudkan undang-undang melindungi wanita sehingga tergubalnya Akta Keganasan Rumah Tangga yang bersifat bebas gender.

Ia bukan sekadar melindungi pasangan yang masih bersama, tetapi juga pasangan yang telah berpisah, anak-anak mereka, mana-mana individu dewasa yang tidak berkemampuan, dan sesiapa sahaja ahli keluarga yang berkaitan.

“Secara kasarnya, keganasan rumah tangga dianggap sebagai satu bentuk jenayah yang lebih mengancam kaum wanita berbanding kaum lelaki. Mana-mana pihak yang telah didapati pernah menjadi mangsa boleh dilindungi oleh pihak berkuasa melalui akta ini," ujarnya.

Beliau tidak menafikan perasaan takut yang diterapkan oleh pesalah ke atas mangsa secara berulang kali, dan juga ancaman dan desakan yang dibuat secara berterusan, menyebabkan mangsa menyembunyikan keadaan sebenar tanpa pengetahuan pihak berkuasa.

Namun hakikatnya, sistem perundangan Malaysia telah membentuk pelbagai inisiatif untuk melindungi mangsa seperti Perintah Perlindungan, Perceraian, Pemisahan Kehakiman, dan Persetujuan (untuk berpisah).

“Atas sebab itulah terdapat beberapa undang-undang yang memihak kepada wanita dan masyarakat tidak harus memandangnya sebagai tidak adil kerana wanita sebenarnya hanya mahukan hak-hak dan keperluan asas yang sepatutnya mereka dapat.

“Perkara ini tidak perlu dipersoalkan dan ia bukan sahaja untuk diri kita sendiri, tetapi untuk ibu-ibu, isteri-isteri dan anak-anak perempuan kita," katanya,

Berbeza pula bagi wanita yang beragama Islam, hak mereka ditentukan melalui perundangan syariah mengenai perkahwinan, nafkah, penjagaan dan perkara-perkara lain yang berkaitan dengan kehidupan berkeluarga.

Jika dilihat secara dasarnya, kedua-dua undang-undang ini berpaksikan konsep yang hampir sama iaitu hak sebagai isteri.

Hakim Mahkamah Tinggi Syariah negeri Selangor, Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, wanita Islam perlu mematuhi bukan sahaja dengan hukum syarak berhubung dengan urusan keluarga, mereka juga perlu mematuhi atau melaksanakan kaedah-kaedah dan peraturan-peraturan yang ditetapkan dalam Akta dan Undang-undang Keluarga Islam Enakmen bagi negeri masing-masing.

Poligami, talak, nusyuz, fasakh, harta sepencarian, mutaah dan hak tempat tinggal, adalah antara istilah-istilah yang diguna pakai dalam undang-undang syariah bagi menjelaskan kedudukan isteri, bekas isteri, dan anak-anak.

“Sungguhpun ikatan pernikahan telah putus akibat jatuh talak, Islam masih memberi ruang kepada pasangan suami isteri untuk terus berhubung di antara satu sama lain dengan batas-batas pergaulan yang diharuskan oleh hukum syarak.

“Matlamat ini amat murni bagi memastikan hak-hak bekas suami, isteri dan anak-anak terus dilindungi," katanya.

Mohd. Na’im berkata, sama seperti perundangan sivil, wanita Islam juga mempunyai hak mereka yang tersendiri dalam menentukan keadilan terhadap kehidupan ketika berumah tangga.

Mereka juga tidak terkecuali daripada menghadapi cabaran dari segi mendapatkan maklumat perundangan yang terhad.

“Sebagai contoh, walaupun suami mempunyai hak untuk mengisytiharkan nusyuz kepada isterinya yang derhaka, wanita juga mempunyai hak untuk membantah sekiranya dia tidak langsung menjauhkan dirinya dari suami atau meninggalkan rumah suami, bertentangan dengan kemahuan suaminya atau apabila dia enggan berpindah bersama suaminya ke satu rumah atau tempat, atau tanpa apa-apa sebab yang sah mengikut hukum syarak.

“Sekiranya suami ingin berkahwin lain, isteri turut mempunyai hak untuk melarang perkahwinan kedua suaminya berdasarkan undang-undang poligami yang telah ditetapkan," katanya.

Ujarnya, ada juga wanita yang tidak tahu bahawa kegagalan suami memberi nafkah zahir juga akan dianggap sebagai hutang tertunggak yang boleh dituntut isteri jika berlaku sebarang perceraian dan tuntutan oleh mahkamah.

Lelaki perlu sedar peruntukan perundangan yang disediakan di Malaysia membolehkan pihak Mahkamah Syariah atau Mahkamah Sivil campur tangan sekiranya terdapat tuntutan daripada isteri atau bekas isteri jika suami ingkar kepada tanggungjawab yang telah ditetapkan.

Oleh sebab itulah, menurut Mohd. Naim, wanita perlu memperkasakan pengetahuan terutama dalam isu yang berkaitan dengan hak dan tanggungjawab.

Katanya, walaupun ramai yang kurang mengambil kisah mengenai hak-hak mereka di sisi undang-undang, setiap wanita perlu tahu dan memberi perhatian mengenainya.

Ramai wanita di negara ini memerlukan pembelaan melalui undang-undang kerana ini merupakan tugas dan tanggungjawab masyarakat yang sedar akan kepentingan perundangan dari segi sivil mahupun syariah. 

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Talian NUR 15999

Hubungi Talian Nur (15999) oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Masyarakat untuk kes penderaan, kes keganasan rumahtangga, kes-kes domestik dan kebajikan yang lain termasuk penderaan wanita, pembantu rumah dan lain-lain.

Halaman