Ahad, 7 September 2014

Cerai melalui tebus talak

Oleh : Prof Dr Najibah bt Mohd Zin
Sumber : Kosmo - Varia
Tarikh : 05/09/2014


ABIDAH berasa tidak senang dengan sikap suaminya, Ahmad yang suka berhutang walaupun mempunyai pendapatan yang mencukupi sebagai seorang pegawai kerajaan.

Malah, akhir-akhir ini Ahmad suka pulang jauh malam kerana terikut dengan beberapa kumpulan tarikat. Selain itu, Abidah selalu menerima panggilan daripada pihak bank dan ah long yang menuntut bayaran pinjaman suaminya.

Lantaran bimbang dengan ugutan yang diberikan pihak berkenaan, Abidah bercadang untuk membuat tuntutan cerai.

Situasi di atas merupakan beberapa keadaan yang biasa berlaku antara suami isteri. Masalah ini sukar untuk diceritakan dan dibuktikan di mahkamah jika pihak isteri berhasrat untuk mendapatkan tuntutan cerai.

Disebabkan itu, kesabaran mempunyai hadnya, hukum syarak memberi jalan keluar jika masalah dalaman yang berlaku sukar untuk dirungkai dan diselesaikan.

Isteri boleh membuat tuntutan perceraian melalui khuluk yang juga dikenali dalam masyarakat Islam sebagai tebus talak.


Perceraian ini membenarkan isteri mencari jalan keluar daripada perkahwinan melalui pembayaran balik kepada suami dengan jumlah mahar atau apa-apa bayaran yang dipersetujui.

Elak derhaka

Undang-undang syariah membenarkan isteri meminta cerai daripada suami melalui khuluk sekiranya dia bimbang akan kezaliman suami atau ditinggalkan suami sepertimana yang disebutkan dalam surah an-Nisa ayat 128.

Perincian prosedur talak secara khuluk adalah jelas dalam hadis Rasulullah SAW yang menyatakan:

"Ibn Abbas menceritakan bahawa Jamilah, isteri Thabit bin Qais datang kepada Rasulullah SAW dan berkata: 'Wahai Rasulullah, aku tidak mengadu tentang perangai Thabit atau ketakwaannya, tetapi aku tidak mahu derhaka kepada Islam.' Rasulullah bertanya sama ada dia bersedia untuk memulangkan kebun yang telah diberi oleh Thabit. Dia berkata: 'Ya'. Rasulullah SAW berkata kepada Thabit: 'Terima kembali kebun itu dan berikan kepadanya satu talak'."

Hadis ini sangat masyhur dan telah direkodkan dalam kebanyakan kitab hadis termasuklah Sahih Bukhari bertujuan memberi pengiktirafan kepada pihak isteri untuk mencari jalan keluar dalam perkahwinan yang tidak berfungsi.

Hadis yang dinyatakan di atas telah mengundang banyak interpretasi apabila hendak mengamalkan hukumnya. Hal ini tidak memeranjatkan kerana kefahaman literal terhadap hadis ini sahaja menggambarkan bahawa ia menyalahi agama dan tidak menggalakkan perceraian.

Sebaliknya, hadis ini memungkinkan perceraian untuk berlaku tanpa perlu bersusah payah seperti membuktikan pihak yang bersalah.

Disebabkan itu, golongan yang mengambil kira salah siapa sebagai asas perceraian, menolak untuk menerima hadis ini sebagai bukti syarak bagi membenarkan khuluk dan percaya bahawa hanya lelaki dapat memulakan perceraian atas dasar penglibatan isteri dengan kegiatan pelacuran.

Kuasa

Jelas bahawa hadis ini memberi lebih kuasa kepada Rasulullah yang bertindak sebagai hakim bagi memutuskan cerai telah jatuh setelah mahar dipulangkan.

Apabila perceraian melalui khuluk jatuh, kedua-dua pihak tidak lagi boleh rujuk semasa tempoh idah. Namun, mereka masih boleh berkahwin semula dengan akad baharu sepertimana dalam kes taklik.

Di bawah undang-undang Malaysia, perceraian melalui khuluk berlaku apabila kedua-dua pihak bersetuju untuk menamatkan perkahwinan mereka atau melalui perintah mahkamah setelah suatu bayaran dibuat oleh isteri kepada suaminya.

Umumnya, bayaran tersebut mestilah tidak melebihi mahar yang diberi suami semasa majlis akad nikah. Malah, mereka boleh bersetuju ke atas apa jua jumlah berdasarkan persetujuan bersama. Sekiranya terdapat pertelingkahan tentang jumlah bayaran, hakim mahkamah syariah akan memutuskannya.

Seksyen 49 Akta Undang-Undang Keluarga Islam mempunyai peruntukan yang jelas tentang hak isteri untuk membuat tuntutan perceraian khuluk setelah mendapat persetujuan kedua-dua pihak.

Perceraian itu adalah ba-in-sughra atau tidak boleh dirujuk. Masalah yang biasanya timbul ialah isteri perlu mendapat persetujuan suami sebelum perceraian melalui khuluk diputuskan, seorang isteri sukar mendapat cerai sekiranya suaminya tidak bersetuju.

Justeru, beberapa ulama Islam mutakhir membuat reformasi undang-undang dengan memberi kuasa kepada hakim mahkamah syariah untuk membubarkan perkahwinan setelah bayaran dibuat oleh seorang isteri melalui perintah hakim seperti di Mesir dan Pakistan.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Talian NUR 15999

Hubungi Talian Nur (15999) oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Masyarakat untuk kes penderaan, kes keganasan rumahtangga, kes-kes domestik dan kebajikan yang lain termasuk penderaan wanita, pembantu rumah dan lain-lain.

Halaman