Sumber : Sinar Harian - Famili
Tarikh : 23/10/2012
Soalan: “Saya dah tak larat hidup macam ni, ustaz. Tiap-tiap hari saya jadi mangsa sepak terajang suami. Dulu dia lain, caring, romantik dan sangat sayangkan saya. Sekarang perkara kecil pun selalu jadi masalah besar. Pantang silap sikit, walaupun tak disengajakan, teruk saya ditengking disumpah seranahnya. Dulu kalau nak buat apa-apa keputusan, adalah juga dia tanya pendapat saya. Tapi sekarang, apa saja pendapat saya, semuanya bodoh dan tak masuk akal baginya. Tak apalah ustaz. Kalau dah bukan jodoh saya, biarlah dia lepaskan saya. Mungkin dia boleh jumpa dengan perempuan lain yang lebih sesuai.”
Jawapan: Ada beberapa persoalan penting untuk kita fikirkan apabila situasi begini terjadi. Pertama, kenapa pasangan kita berubah? Kedua, adakah apabila berlaku perubahan, penyelesaiannya adalah berpisah dan cari ganti lebih sesuai? Adakah bercerai itu satu penyelesaian?
Kita adalah manusia normal yang akan berubah dari semasa ke semasa. Ketika zaman kanak-kanak, kita mungkin suka coklat dan gula-gula tetapi tidak lagi pada usia dewasa. Ketika remaja kita mungkin suka pakaian berwarna pink terang, tetapi agak jarang dipakai pada usia 50. Inilah namanya perubahan; akan berlaku sepanjang perjalanan usia.
Jangan semata-mata lihat perubahan berlaku pada pasangan lantas kita terburuburu ambil keputusan bercerai sebagai jalan penyelesaian. Sehingga ke saat buku ini ditulis, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia mendedahkan sekitar 77 pasangan bercerai setiap hari di Malaysia. Dalam laporan yang lain, didedahkan hampir setiap 17 minit, satu pasangan bercerai di Malaysia.
Antara alasannya, tiada persefahaman, isteri curang, suami memiliki wanita lain atau masalah kewangan. Untuk mengubah orang lain mahupun dunia sekalipun, ia perlu bermula dengan diri kita. Paradigma diri perlu dibetulkan.
Tugas kita adalah mengenal pasti cara serta mencipta suasana dan masa paling efektif.
ALLAH mengingatkan betapa setiap kesukaran yang kita hadapi akan disediakan perubahan kepada kesenangan akhirnya. Firman-NYA yang bermaksud: “Oleh itu, maka (tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan. (Sekali lagi ditegaskan): bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan.” (Surah As Syarh : 5-6)
Dalam ayat yang lain, ALLAH memberi panduan bagaimana seharusnya kita lalui ketika berada pada saat kesukaran.Firman ALLAH yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman! Mohonlah pertolongan dengan sabar dan solat, sesungguhnya ALLAH (sentiasa) bersama-sama orang yang sabar.” (Surah Al Baqarah : 153)
Harapkan pasangan
Kita perlu memahami sebab yang mungkin jadi agen mengubah pasangan kita. Pertama, manusia mudah berubah apabila pasangan atau orang sekelilingnya berubah.
Pasangan yang sentiasa bersama kita sebenarnya dianggap sejiwa dengan kita. Oleh itu, apabila pasangan kita dirasakan berubah, ia menjadi satu tekanan dan mengecewakan.
Pemberontakan dalaman terhadap kekecewaan itulah yang menjadi sebab utama mengapa kita boleh berubah dan bertindak balas. Apabila kita mengharapkan pasangan menunjukkan sikap ambil beratnya sedangkan itu tidak terjadi. Ini menyebabkan kita terdorong bertindak di luar kebiasaan.
Itulah namanya perubahan. Perubahan karier juga boleh menyebabkan seseorang berubah. Zaman di mana isteri tidak bekerja dengan bekerja, pasti berbeza. Orientasi kerja giliran dan kerja waktu pejabat, kerja di pejabat dan kerja di kebun atau apa jua perbezaan bentuk karier memberikan perubahan sikap kita.
Oleh kerana itu, Ibnu Khaldun dalam kitabnya Al Mukaddimah menggariskan kerja yang sesuai dengan wanita mestilah yang tidak mengganggu fitrah kewanitaan, umpamanya bidang pendidikan, kejururawatan atau perawatan yang mengutamakan kelembutan.
Hari ini, ramai wanita terbawa-bawa ke rumah ketegasan membuat keputusan sebagai ketua hingga menyebabkan suami terasa tidak dihormati. Perubahan kerja suami selepas pertukaran atau kenaikan pangkat juga perlu dijangka perubahannya.
Dengan memahami faktor ini, kita tidak begitu terkilan apabila menyedari perubahan tersebut dan bersedia menerimanya dengan positif.
Fitrah keperluan keluarga
Perubahan taraf ekonomi juga mengubah seseorang. Kaya selepas miskin boleh menyebabkan hilang pertimbangan dan barangkali kejutan budaya yang sudah pasti besar perubahannya. Begitu juga, miskin selepas kaya menyebabkan kita lebih menjurus kepada keresahan dan huru-hara dalam menjalani kehidupan.
Islam mengajar umatnya sentiasa mengawal cara hidup pada tahap kesederhanaan. Miskin atau kaya, orang yang menjiwai cara hidup sederhana dalam Islam akan lebih konsisten dan tenang.
Selanjutnya, taraf sosial diri. Apabila berpangkat tinggi atau diberikan penghormatan dalam masyarakat, memungkinkan perubahan dalam diri sama ada ke arah lebih positif ataupun sebaliknya.
Status sosial juga boleh menjadikan seseorang itu lupa diri, malah terlalu obsesi untuk menjaga nama di mata masyarakat sehingga mengetepikan tugas hakiki dalam rumah tangga. Logik mudah untuk kita fahami, orang yang sering berada di dalam masjid akan lebih sopan dan sukar melakukan perkara tidak baik berbanding mereka yang selalu menghabiskan masa di tempat maksiat. Apatah lagi perlakuan ini amat berkait rapat dengan soal keberkatan dan rahmat ALLAH.
Ilmu dan amalan juga menjadi elemen penting menentukan perubahan. Ilmu sangat penting dalam memastikan perubahan ke arah lebih positif. Ilmu akidah, syariah dan akhlak menjadi tunjang kepada keharmonian hubungan sesama manusia.
Memiliki ilmu ibadat, umpamanya tentang hikmah solat, puasa dan bersuci menjadikan kita sentiasa dalam amalan yang mendapat keberkatan dan rahmat ALLAH, sekali gus memenuhi fitrah keperluan kekeluargaan.
Begitu juga, dengan memahami ilmu akhlak suami isteri yang disandarkan sebagai ibadat kepada ALLAH, akan memotivasikan diri untuk melaksanakan segala suruhan dan meninggalkan laranganNYA agar tidak tergolong dalam golongan suami zalim atau isteri derhaka.
Satu kerisauan kita pada hari ini, apabila terdapat ajaran yang tidak tepat terutamanya kepada suami isteri bermasalah. Kononnya perceraian adalah lebih baik, perceraian adalah penyelesaian kepada konflik, ‘bercerai secara baik’, perceraian adalah perkara biasa ataupun kehidupan selepas bercerai akan lebih baik. Ini semua adalah ilmu kurang tepat dan akan menyebabkan huru-hara dalam keluarga.
Faktor terakhir yang perlu diulang sebut di sini ialah hakikat fitrah setiap insan. Sebenarnya seorang lelaki yang romantik, mengambil berat dan lemah lembut sewaktu bercinta bukanlah fitrah sebenar.
Lantaran itu, apabila berkahwin, sering kali isteri berasa tertipu kerana suaminya berubah sikap. Sebenarnya ini bukanlah perubahan tetapi itulah fitrah suami sebagai seorang lelaki yang sepatutnya difahami.
Konflik, ketidaksefahaman, tiada sehaluan dan lain-lain istilah yang sering kita dengar terutamanya di akhbar, televisyen dan mahkamah adalah berpunca daripada tidak memahami dan tidak bersedia dengan sikap fitrah pasangan masing-masing. Ia berakhir dengan kekecewaan dan perpisahan dilihat sebagai jalan keluar.
Fahamilah fitrah pasangan kita, anak-anak dan ibu bapa, insya-Allah keluarga kita akan diuruskan sebaiknya.
Usah resah dengan perubahan diri pasangan kerana sedar atau tidak kita juga adalah manusia yang boleh berubah. Jika kita kecewa dengan perubahan pasangan, tidak mustahil dia juga kecewa dengan perubahan kita. Bersabarlah menanti waktu perubahan berikutnya, terima hakikat ciptaan ALLAH dan berusahalah menegur atau memujuk agar perubahan berlaku lebih menepati harapan kita bersama.
Artikel-artikel yang dijumpai oleh pemilik blog ini yang berkaitan dengan isu-isu Mahkamah Syariah yang disiarkan di sini untuk tujuan bacaan sendiri, rujukan bagi yang memerlukan maklumat dan juga renungan kita bersama. Semoga ianya bermanfaat, insyaAllah!
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Talian NUR 15999
Hubungi Talian Nur (15999) oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Masyarakat untuk kes penderaan, kes keganasan rumahtangga, kes-kes domestik dan kebajikan yang lain termasuk penderaan wanita, pembantu rumah dan lain-lain.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan