Jumaat, 29 Ogos 2014

Isteri lari ikut teman lelaki

SAYA tak sangka dia sanggup tinggalkan anak kami yang masih menyusu semata-mata kerana mahu lari bersama teman lelakinya. Sedih hingga menitik air mata saya melihat anak kami yang menangis dahagakan susu ibunya. Namun, apakan daya saya kerana isteri berkeras dengan kemahuannya," kata Azam (bukan nama sebenar) yang ditemui secara tidak sengaja bersama ibunya di sebuah restoran baru-baru ini.

Azam merupakan anak kepada seorang kawan saya yang telah lama tidak bertemu. Semasa pertemuan itu, dia membawa bersama anak perempuannya, Huda yang kini sudah berumur tiga tahun.

Dialah yang melayan kerenah Huda, menyuapkan makanan dengan sabar dan menemani ke tandas. Melihat gelagatnya, saya lantas bertanya, di manakah ibu Huda.

Tidak dapat menyembunyikan perkara yang benar, Azam tidak segan bercerita. Bukan hendak menepuk air di dulang terpercik ke muka sendiri, tujuan bercerita cuma atas dasar kasihan kepada anak tunggalnya itu.

Menurut Azam, dia dan bekas isterinya, Ain (bukan nama sebenar) berkahwin atas dasar suka sama suka.

Perkenalan selama setahun membawa mereka ke alam rumah tangga dan direstui oleh kedua belah pihak keluarga.

Awalnya perkahwinan mereka bahagia kerana masing-masing boleh menerima kekurangan diri.

Kata Azam lagi, dia hanya bekerja biasa sahaja dan pendapatan pun hanya cukup makan.

Ain pula merupakan seorang wanita yang cantik, peramah, manja dan pandai mengambil hati. Pendek kata lelaki akan mudah jatuh hati jika telah berkenalan dengan Ain.

Setahun berkahwin, mereka dikurniakan Huda sebagai penyeri rumah tangga.
Hubungan mereka semakin bahagia dengan kehadiran Huda yang comel dan tidak banyak meragam. Namun setelah tiga bulan usia Huda, Azam melihat perubahan pada perangai Ain.

“Setiap hari dia balik lambat kerana katanya banyak kerja. Kalau di rumah pun dia jarang melayan atau bermain-main dengan Huda. Dengan saya pun dia banyak mengelak dan kurang bercakap.

“Saya biarkan sahaja kerana mungkin betul dia penat dengan kerja dan melayan anak yang masih kecil serta menyusukan anak.

“Bagaimanapun kemudian saya mendapat tahu dia mempunyai teman lelaki. Itulah puncanya mengapa dia menjauhkan diri daripada saya dan anak.

“Teman lelakinya mengetahui bahawa Ain sudah bersuami dan mempunyai seorang anak tetapi dia tetap melayan Ain. Dia pula mungkin seronok kerana mempunyai teman lelaki yang kaya, kacak dan berpendidikan tinggi.

“Tentulah dia malu kerana mempunyai suami yang hanya bekerja biasa dan mempunyai motosikal sahaja.
“Ain meminta cerai daripada saya. Saya kata kasihanlah kepada Huda kerana dia masih menyusu badan, tetapi Ain kata dia tetap hendak bercerai dan menyerahkan Huda kepada saya untuk dijaga.

“Saya tidak mempunyai pilihan kerana tidak mahu dikata sebagai suami dayus yang masih ‘menyimpan’ isteri sedangkan isteri menyukai lelaki lain.

“Selepas bercerai, sayalah bapa dan ibu kepada anak kami. Hanya Tuhan sahaja yang tahu betapa susahnya hendak memisahkan Huda daripada susu ibu kepada susu formula.

“Saya selalu menangis apabila melihat Huda tidak mahu menyusu terutamanya pada waktu malam. Bagaimanapun saya tahu Tuhan Maha Mengetahui dan Maha Penyayang. Seminggu selepas itu, Huda sudah boleh menerima susu formula.

“Setiap hari sebelum pergi bekerja, saya menghantar Huda kepada pengasuh. Mujur pengasuh saya baik dan melayan Huda seperti anak sendiri. Petang saya ambil Huda dari rumah pengasuh. Begitulah rutin hidup saya bersama Huda setiap hari sehingga ke hari ini," kata Azam yang kini nampak bahagia bersama Huda.

Berlalu sudah episod sedih dan ujian daripada Tuhan. Azam kini merupakan seorang yang tabah, periang dan gembira menjadi bapa tunggal kepada seorang anak perempuan.

Setiap hari dialah yang menyiapkan anak untuk dihantar ke rumah pengasuh, memandikan, memakaikan baju, menyikat rambut, memakaikan kasut dan sebagainya.


Kesusahan yang dihadapi semasa Huda masih bayi kini dapat dilalui dan mereka berdua beranak begitu rapat. Sesekali ada juga Ain datang menjenguk anaknya dan membawa berjalan-jalan.

Kata Azam lagi, kadang-kadang terlihat juga kekesalan pada wajah Ain melihat anaknya yang ditinggalkan dahulu semakin comel, bijak dan keletah.

Namun dia tidak boleh berbuat apa-apa kerana hak penjagaan telah diserahkan sepenuhnya kepada Azam dan Azam sendiri sama sekali tidak akan menyerahkan Huda kepada Ain atas apa yang telah dilakukannya sebelum ini.

“Bagaimana seorang ibu yang masih menyusukan anaknya tergamak meninggalkan anak semata-mata mengikut hawa nafsu. Tergamak dia membiarkan anaknya menangis kerana dahagakan susu dan menginginkan kehangatan pelukan ibu," ujar Azam yang tidak pernah terfikir untuk mencari pengganti ibu kepada Huda.

Menurut Azam lagi, berita yang sampai di telinganya, Ain kini telah ditinggalkan oleh teman lelakinya.
Habis manis sepah dibuang. Dua tahun hidup serumah, mereka tidak pernah terfikir untuk bernikah. Hubungan mereka sekadar untuk berseronok.

Ain kata Azam, selalu juga datang mengambil Huda tetapi hanya untuk dibawa berjalan-jalan dan bukannya bermalam.

Ain juga baru-baru ini telah menjalani pembedahan kerana ketumbuhan di perut.
“Ain ada juga menyebut-nyebut kalau kami boleh kembali bersama sebagai sebuah keluarga. Namun saya menolak kerana hati saya masih pedih akibat perbuatannya dahulu.

“Luka di tangan orang nampak tetapi luka di hati siapalah yang tahu. Biarlah saya menjaga Huda sampai bila-bila, lagi pun saya sudah biasa hidup bersama anak tanpa ditemani isteri," ujar Azam seolah-olah merajuk hati.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Talian NUR 15999

Hubungi Talian Nur (15999) oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Masyarakat untuk kes penderaan, kes keganasan rumahtangga, kes-kes domestik dan kebajikan yang lain termasuk penderaan wanita, pembantu rumah dan lain-lain.

Halaman