Ahad, 3 Ogos 2014

Besarkah kuasa suami?

Sumber : Utusan Malaysia - Keluarga
Tarikh : 24/07/2014

Abang! Tolong! Tolong sayang!" Sambutan ulang tahun kelahiran yang ke-23 Shafikah Ismail disambut dengan jeritan perit kesakitan apabila disimbah petrol dan dibakar oleh suami sendiri dalam kejadian di Kampung Abi Padang Machang, Kangar, baru-baru ini.

Tidak dapat dibayangkan kesakitan yang ditanggung oleh Shafikah yang tubuhnya terbakar 85 peratus.

Kejadian itu berlaku pada pukul 9.30 pagi, apabila suami Shafikah memulakan harinya dengan bertindak kejam dan amat zalim ke atas isteri yang berada di bawah lindungan dan tanggungjawabnya.

Sedangkan mereka baru seminggu berkahwin. Namun kerana cemburu buta suaminya sanggup menghukum si isteri dengan begitu azab sekali.

Tanpa menghirau tangisan memohon simpati dan lolongan kesakitan, suami kesayangan rela melihat isteri diratah api. Di manakah nilai kemanusiaan seorang suami?


Kesalahan Shafikah belum lagi dibuktikan. Tetapi suaminya sudah menjatuhkan hukuman sendiri. Suaminya menjadi diktator menjatuhkan hukuman yang mendatangkan cacat kekal kepada Shafikah.

Jika benar pun ada sebab munasabah untuk marah, namun perbuatan membakar isteri adalah di luar peri kemanusiaan.

Siapakah ‘suami’ sebenarnya? Adakah gelaran ‘suami’ memberi ruang tanpa sempadan bagi si lelaki menjatuhkan dan menjalankan hukuman ke atas isteri?

Kenapa si suami sedikit pun tidak merasa ragu-ragu, takut atau belas kasihan hingga sesuka hati membakar isteri hidup-hidup?

Di Malaysia kini perbuatan ganas dan kejam suami ke atas isteri kian menjadi-jadi.

Di Klang sebelum ini, seorang isteri menemui ajal dalam keadaan mengerikan. Norazlina Mohamed Saaid, 49, ditemui mati dengan beberapa kesan tikaman di kepala dan kelaran di leher dipercayai dilakukan oleh suaminya, Ghazalee Ahmad, 58.

Manakala Ghazalee pula meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital selepas dipercayai mengelar lehernya sendiri selepas mengelar isterinya.

Telah disahkan bahawa pasangan suami isteri tersebut mengalami konflik rumah tangga selepas Norazlina memfailkan kes perceraian pada tahun sebelumnya.

Di Kuala Lumpur pula seorang suami berusia 28 tahun bertindak kejam ‘meletupkan’ isterinya menggunakan bom petrol ketika mangsa sedang mandi di rumahnya di Kampung Baru.

Perbuatan zalim yang dipercayai bermotifkan cemburu itu menyebabkan mangsa, 28, kritikal apabila lebih 80 peratus tubuhnya melecur.

Kejadian lain di Jalan Sultan Yahya Petra, Kota Bharu juga gara-gara cemburu kerana mengesyaki isterinya mempunyai hubungan dengan lelaki lain, seorang lelaki bertindak menyimbah isterinya dengan petrol sebelum membakar wanita itu.

Wanita berumur 30 tahun itu melecur di muka dan kedua-dua tangan. Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Bharu berkata sebelum kejadian, mangsa juga dipukul dan ditampar suaminya sebelum bertindak mencurah petrol dan membakar isterinya itu. Suaminya melarikan diri selepas itu.

Lebih menyayat hati, pembunuhan kejam Rohana Hamzah, 26, yang didakwa keluarga mangsa sebagai angkara suaminya, berlaku pada tahun kelima perkahwinan pasangan berkenaan.

Rohana yang hamil sebulan ditemui mati dengan kesan dikelar pada lehernya di sebuah rumah di Batu 16, Jalan Kastari, Ulu Tiram, Johor Bahru.

Jenazah Rohana tertiarap berlumuran darah dengan tangan terkilas ke belakang. Suami Rohana bersikap cemburu dan panas baran serta pernah memukul Rohana di hadapan keluarga Rohana.

Pada malam sebelum kejadian itu Rohana baru saja dicederakan suaminya yang berusia 24 tahun dengan menggunakan pisau sehingga Rohana dirawat di wad selama tiga hari selain menerima lapan jahitan.

Di Johor Bahru juga, seorang suami dipercayai menembak mati isterinya selepas pasangan tersebut bertengkar di dalam rumah mereka di Jalan Anggerik 17, Taman Johor Jaya. Mangsa, Then Sui Moi 40, mati akibat cedera terkena satu das tembakan di dada kirinya. Suspek yang berusia lewat 40an terus melarikan diri selepas kejadian itu dengan sebuah kenderaan berwarna gelap yang diletakkan berdekatan kediaman.

Terkini, angkara cemburu buta, seorang suami muda, 22 tahun mengelar isteri, 52 tahun menggunakan parang di sebuah rumah flat di Sibu Jaya pada 4 Julai 2014.

Tragedi berdarah itu dikatakan berpunca daripada suami mangsa tidak dapat menahan marah selepas bertengkar dengan isterinya.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri Datuk Zulkifli Hassan, kemuncak pertengkaran itu, lelaki terbabit memijak badan isterinya sebelum mengelar lehernya.

Mangsa rebah di kaki lima flat dan meninggal di situ. Suspek ditahan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Seksyen 302 Kanun Keseksaan menyatakan membunuh dengan niat jika didapati bersalah boleh dikenakan hukuman mandatori gantung sehingga mati.

Hukuman mati di Malaysia dikenakan kepada penjenayah yang terlibat dalam jenayah pembunuhan.

Seksyen 302 tidak boleh dijamin. Kebanyakan kes-kes yang dinyatakan di atas adalah jelas suspek mempunyai niat untuk membunuh isteri.

Seksyen ini bersesuaian dengan kesalahan yang dilakukan, namun, mengapakah kes-kes seperti ini masih lagi berlaku malah semakin kerap? Seolah-olah hukuman mati mandatori ini tidak memberi kesan kepada suami yang berterusan sanggup membakar isteri mereka. Fenomena ini sudah menjadi serius seperti penyakit berjangkit yang tidak tiada penawar yang cepat merebak dan sukar dibendung.

Akta Keganasan Rumahtangga 1993 pula tidak membantu dalam kes-kes seperti ini kerana keganasan rumahtangga sehingga kini bukan satu kesalahan jenayah di bawah Akta Keganasan Rumahtangga 1993.

Hakim Abdul Malik Ahmad mengulas secara obiter dicta dalam kes Chan Ah Moi lawan Phang Wai Ann, bahawa Akta Keganasan Rumah Tangga ibarat harimau tanpa gigi kerana kebanyakan keganasan rumahtangga melibatkan serangan.Oleh kerana serangan merupakan suatu kesalahan yang tidak boleh ditangkap, maka pihak polis perlu mendapat kelulusan Timbalan Pendakwaraya sebelum menjalankan penyiasatan.

Dengan kata lain, mangsa terpaksa berhadapan masalah birokrasi.

Jika dilihat kepada kes-kes yang dinyatakan tadi, hukuman yang berat perlu dijatuhkan ke atas suami yang zalim.

Ini bagi menunjukkan betapa seriusnya jenayah terhadap wanita. Hukuman harus berbentuk memberi pengajaran dan mengelakkan kejadian yang sama dari berulang. Maksudnya harus berupaya menimbulkan perasaan takut untuk melakukan perbuatan yang tidak bertamadun itu.

Jika wujud rasa simpati kepada suami yang kejam itu, perlu juga difikirkan kesan yang ditanggung oleh isteri yang tubuhnya terbakar lebih 80 peratus.

Suami adalah teman hidup isteri dan begitu juga sebaliknya. Teman hidup adalah teman yang membuat hidup kita menjadi lebih ‘hidup’. Teman yang sepatutnya menjaga dan melindungi.

Suami isteri yang ideal adalah seperti Khadijah binti Khuwailid yang menenteramkan hati Rasulullah saw ketika pertama kali bertemu Jibril.

Juga, seperti Rasulullah saw yang menyejukkan hati Aisyah ketika dilemparkan fitnah besar.

Begitulah nikmatnya hidup berpasangan. Hidup didampingi teman, saling melengkapi antara suami dan isteri hingga ke akhir hayat.

Manakala rumah menjadi tempat yang aman dan bahagia. Seperti istilah baiti jannati, rumahku syurgaku.

Perbuatan suami sesuka hati membakar, mengelar, menembak dan juga membunuh isteri, tidak dapat dimaafkan atas apa jua alasan.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Keluarga/20140724/ke_04/Besarkah-kuasa-suami#ixzz39HffLGaj
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Talian NUR 15999

Hubungi Talian Nur (15999) oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Masyarakat untuk kes penderaan, kes keganasan rumahtangga, kes-kes domestik dan kebajikan yang lain termasuk penderaan wanita, pembantu rumah dan lain-lain.

Halaman