Jumaat, 15 Ogos 2014

Tiada lagi cinta

Sumber : Utusan Malaysia (Bicara Agama)
Tarikh : 14/8/2014

LIYA tidak mampu lagi menanggung derita hidup. Baginya, perkahwinan yang dibina lima tahun lalu, tiada lagi harapan untuk dipulihkan. Apakan daya, semua ini mungkin berpunca daripada sikap degilnya yang mahu bersatu dengan Hasif, sekalipun tahu, dia bukan pilihan Hasif.

Namun kedegilan serta tekadnya untuk bersuamikan Hasif, Liya sanggup melakukan apa sahaja. Malah di pernah buat kerja gila dengan memandu seorang diri nun jauh ke utara untuk memujuk Hasif agar berkahwin dengannya. Dia tidak kisah apa orang akan kata kepadanya. Hatinya, jiwanya dan cintanya hanya kepada Hasif.

Lantaran desakan demi desakan daripada Liya, akhirnya keluarga Liya bersetuju memenuhi permintaannya untuk ‘melamar’ Hasif. Walaupun dalam keadaan serba salah, hasrat Liya dituruti. Maka bermulalah episod ‘meminang’ yang sudah tentu memeranjatkan keluarga Hasif.


Lama kedua-dua keluarga termenung. Sunyi sepi seketika. Di pihak keluarga Hasif, mereka tidak sangka sama sekali anak terunanya dilamar sekuntum bunga. Mujur keluarga Hasif, keluarga yang boleh memahami. Kata persetujuan dibuat. Hasif diminta untuk menerima ‘lamaran’ tersebut.

Semua ini dilakukan demi menjaga maruah keluarga kedua-dua belah pihak. Lega hati keluarga Liya apabila kedatangan mereka tidak dihina! Bahkan diterima dengan baik.

Berbunga hati Liya apabila ‘pinangannya’ diterima. Hari perkahwinan dan persandingan diatur. Tiba pada tarikh tersebut, maka bersatulah dua jiwa ini sebagai suami isteri. Tahun pertama, dengan alasan Hasif telah pun mendapat pekerjaan di utara, maka berulang-aliklah Hasif seminggu sekali. Tapi rutin itu mula berubah apabila masuk tahun kedua perkahwinan.

Ada kala Hasif balik sebulan sekali. Ada kala dua bulan sekali dan ada kala tiga bulan sekali. Alasan yang diberikan, sibuk dengan urusan kerja. Tapi kini enam bulan Hasif tidak menjenguk. Liya semakin runsing kenapa Hasif berperangai sedemikian.

Liya nekad untuk menemui Hasif di utara. Hasif sebenarnya sudah bersedia dengan 1001 jawapan. Dan dia sudah pun dapat mengagak tujuan kedatangan Liya. Hasil pertemuan tersebut, maka Liya tetap dengan kata hatinya, tidak mahu berpisah dengan Hasif, sekalipun Hasif secara terang-terangan memberitahu, tiada perasaan yang dalam dirinya terhadap Liya.

Hasif minta agar perkahwinan tersebut dibubarkan kerana dia tahu, dia tidak mampu menjadi suami yang baik kepada Liya. Ia juga tidak mahu berpura-pura dalam perkahwinan yang dibina. Bahkan, Hasif mempersoalkan, sampai bila dia harus mengambil sikap tidak endah pada Liya sedang dia adalah suami kepada Liya.

Namun Liya tetap berkeras. Dia tidak mahu adanya perceraian. Bagi Liya, Hasif boleh berkahwin lain asal dia tidak diceraikan. Tapi Hasif menolak kerana hidup berpoligami bukan menjadi hasratnya.

Hasif dalam dilema dan begitu juga Liya. Apa yang harus dilakukan dan sampai bila mereka harus menjadi suami isteri hanya di atas kertas?

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Talian NUR 15999

Hubungi Talian Nur (15999) oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Masyarakat untuk kes penderaan, kes keganasan rumahtangga, kes-kes domestik dan kebajikan yang lain termasuk penderaan wanita, pembantu rumah dan lain-lain.

Halaman