Oleh : Rizanizam Abdul Hamid
Sumber : Harian Metro - Setempat
Tarikh : 18/08/2014
Kuala Lumpur: Lelaki yang memilih untuk bernikah di negara jiran
terutama menggunakan khidmat sindiket perlu bersedia berdepan pelbagai
risiko termasuk wanita pilihannya itu mungkin berstatus isteri kepada
lebih daripada seorang lelaki.
Pengerusi Pertubuhan SukaGuam Malaysia (SukaGuam) Datuk Khairul Anwar
Rahmat berkata, pihaknya yang mengendalikan kes berkaitan dengan
undang-undang syariah menerima banyak aduan berkaitan masalah dihadapi
lelaki yang bernikah di negara jiran.
“Ada satu kes, lelaki berumur 38 tahun terkejut apabila mendapati
isteri yang baru dua hari dinikahinya berada bersama lelaki lain di
dalam sebuah bilik ketika dia cuba membuat kunjungan mengejut.
Apabila disiasat, lelaki itu rupa-rupanya suami wanita berusia 21 tahun yang dikahwininya itu.
“Malah, wanita itu mempunyai enam lagi suami dan mengakui dia
berkahwin semata-mata untuk mendapatkan wang dengan cara mudah daripada
semua ‘suami-suaminya’ itu, ” katanya ketika dihubungi Harian Metro di
sini, semalam.
Beliau berkata demikian ketika mengulas
pendedahan muka depan Harian Metro Jumaat lalu mengenai semakin ramai
lelaki Malaysia yang kemaruk untuk mendapat bini rahsia sanggup ke Pulau
Batam, Indonesia bagi melakukan urusan pernikahan yang mengenakan mahar
semurah Rp1,000 (27 sen) hingga Rp10,000 atau RM2.70 saja mata wang
Malaysia.
Lebih menarik apabila status pernikahan dilakukan
jurunikah tanpa tauliah daripada pemerintah Indonesia itu adalah sah
walaupun tidak mengikut prosedur dan upacara ini dikenali oleh rakyat
tempatan sebagai ‘nikah siri’.
Mengulas lanjut, Khairul Anwar
berkata, pernikahan dengan gadis dari negara jiran yang tidak diketahui
latar belakang keluarga dan keturunan oleh lelaki Malaysia kebanyakannya
hanyalah indah khabar dari rupa.
“Ada kes yang diterima
SukaGuam, kegembiraan suami hanya bertahan selama empat atau lima bulan
sebelum tembelang isteri mulai terbongkar sedikit demi sedikit
menyebabkan suami terpaksa berdepan tekanan emosi sehingga mengganggu
kehidupan sehariannya.
“Tidak salah jika mahu memperisterikan gadis asing, tetapi
seelok-eloknya kenalilah bakal isteri sedalam-dalamnya terutamanya
latar belakang keluarga dan menuruti perkahwinan yang mematuhi rukun
serta mengikut saluran undang-undang di negara ini,” katanya.
Artikel-artikel yang dijumpai oleh pemilik blog ini yang berkaitan dengan isu-isu Mahkamah Syariah yang disiarkan di sini untuk tujuan bacaan sendiri, rujukan bagi yang memerlukan maklumat dan juga renungan kita bersama. Semoga ianya bermanfaat, insyaAllah!
Selasa, 19 Ogos 2014
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Talian NUR 15999
Hubungi Talian Nur (15999) oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Masyarakat untuk kes penderaan, kes keganasan rumahtangga, kes-kes domestik dan kebajikan yang lain termasuk penderaan wanita, pembantu rumah dan lain-lain.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan