Rabu, 27 Ogos 2014

Suami dan harta isteri

Sumber : Utusan Malaysia - Keluarga
Tarikh : 21/08/2014

SEBELUM ini saya pernah membincangkan mengenai isu harta sepencarian. Tetapi, ia lebih fokus kepada hak isteri dalam menuntut harta sepencarian itu.

Ekoran itu ada yang tampil menanyakan bagaimana pula hak suami dalam menuntut harta sepencarian. Adakah suami boleh menuntut harta sepencarian terhadap isteri jika mereka bercerai?

Oleh itu, artikel kali ini akan mengupas perkara-perkara yang membabitkan suami dan harta sepencarian.

Tuntutan terhadap harta sepencarian ini sebenarnya hanyalah adat, namun diiktiraf oleh Undang-undang Keluarga Islam di setiap negeri dan boleh dituntut dengan sebab berlakunya perceraian, poligami atau kematian.

Seksyen 122 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor 2003 mendefinisikan harta sepencarian sebagai harta yang terhasil dari usaha bersama antara suami isteri atau salah seorang pihak sahaja (sama ada secara langsung atau tidak langsung) dalam suatu perkahwinan yang sah.

Kes Lijah Jamal lawan Fatimah Mat Diah mendefinisikan harta sepencarian sebagai harta yang diperoleh semasa perkahwinan antara suami isteri hasil daripada sumber-sumber mereka berdua atau hasil daripada usaha mereka bersama.

Merujuk kepada definisi harta sepencarian, harta itu mestilah harta yang ‘terhasil’ atau ‘diperolehi’ dari ‘usaha’ atau dari ‘sumber bersama’ suami isteri yang mana ini memerlukan pembuktian ikatan perkahwinan yang sah mengikut syarak.

Mereka yang berkahwin pula perlu membuktikan mereka ada menyumbangkan sumber kewangan atau usaha dalam memperolehi dan mengembangkan harta itu.

Perkara-perkara yang diberi perhatian oleh mahkamah dalam membuktikan usaha bersama ialah berapa banyak sumbangan yang dibuat oleh setiap pihak sama ada dalam bentuk wang, harta atau usaha/kerja bagi memperoleh harta tersebut; sebarang hutang yang masih ditanggung oleh salah satu pihak yang dibuat atas tujuan usahasama (contohnya potongan bulanan pinjaman bank kerana membeli harta tersebut) dan keperluan anak-anak yang belum dewasa hasil daripada pernikahan tersebut (jika ada).

Mahkamah boleh membahagikan harta tersebut atau hasil jualan harta tersebut mengikut kadar yang munasabah di mana pihak yang mengeluarkan lebih wang atau lebih usaha memperoleh harta itu dengan kadar yang lebih tinggi.

Tiada ketetapan pada tahap kadar yang diputuskan kerana ia bergantung kepada takat sumbangan setiap pihak.

Dalam kes Wan Nab lawan Jasin, diputuskan pemohon mendapat satu pertiga bahagian dari harta yang dituntut manakala dalam kes Habsah bt. Mat lawan Abdullah b. Jusoh, pemohon mendapat satu perdua bahagian daripada harta yang dituntut.

Plaintif dalam kes Robert @ Kamarulzaman lawan Umi Kalthom, telah membeli rumah dengan harga RM50,000. Plaintif menyumbang RM40,000 manakala defendan RM10,000 dan dinamakan atas namanya.

Plaintif menuntut ia sebagai harta sepencarian. Mahkamah memutuskan harta itu sebagai harta sepencarian.

Tuntutan harta sepencarian memerlukan pembuktian yang kukuh dan keterangan saksi yang sah. Contoh pembuktian yang kukuh adalah seperti geran tanah, geran rumah, geran kereta, resit pembayaran, potongan bulanan, penyata perakuan dan lain-lain dokumen yang boleh dikemukakan.

Keterangan pihak saksi pula boleh diterima bergantung pada situasi kes dan siapakah saksi tersebut. Beban pembuktian dikenakan kepada plaintif sebagai penuntut.

Maksudnya, jika suami menuntut harta sepencarian, maka suamilah yang perlu membuktikan bahawa harta itu terhasil dari usaha bersama antara suami isteri atau salah seorang pihak sahaja (sama ada secara langsung atau tidak langsung).

Suami mesti dapat membuktikan harta itu adalah harta sepencarian manakala isteri tidak perlu membuktikan harta yang dituntut itu bukan harta sepencarian.

Bagi maksud pembuktian, pihak penuntut perlu membuktikan dua perkara yang boleh mensabitkan bahawa harta yang dituntut itu adalah harta sepencarian antara pihak penuntut dengan pasangannya.

Yang pertama perlu membuktikan bahawa harta tersebut diperoleh atau berkembang/bertambah dalam tempoh perkahwinan. Perkara ini boleh dibuktikan dengan melihat kepada tarikh yang tercatat dalam dokumen berkaitan atau resit pembayaran.

Perlu diingatkan bahawa kejayaan membuktikan harta itu terhasil dalam tempoh perkahwinan belum cukup mensabitkan ia harta sepencarian sekiranya pihak penuntut tidak dapat membuktikan sumbangan beliau secara langsung atau tidak langsung terhadap harta yang dituntut itu.

Yang kedua, perlu membuktikan bahawa orang yang menuntut itu ada memberikan sumbangan sama ada secara langsung atau tidak langsung dalam memperoleh harta tersebut.

Sumbangan secara langsung seperti sumbangan wang dan tenaga kerja. Sumbangan secara tidak langsung pula bermaksud sebarang sumbangan yang diberikan oleh suami bagi mengurangkan beban isteri.

Ia meliputi sumbangan wang, harta benda, sokongan moral, tenaga dan sebagainya. Tahap sumbangan inilah yang akan menentukan berapakah bahagian yang berhak diperoleh oleh penuntut.

Harta sepencarian ini boleh dituntut oleh suami atau isteri di Mahkamah Syariah Negeri-negeri. Namun begitu, dalam satu kes, seorang suami telah membunuh isterinya tetapi dibebaskan oleh Mahkamah Sivil kerana disahkan beliau mengalami penyakit mental ketika melakukan pembunuhan itu. Si suami kemudiannya telah memohon harta pusaka isterinya di Mahkamah Syariah.

Permohonannya telah ditolak oleh pihak Mahkamah Syariah atas alasan perbuatan membunuh itu menghalang pembunuh itu dari mendapat harta pusaka orang yang dibunuhnya, walaupun pembunuhan itu secara silap (khata’).

Kaedah yang digunakan dalam menentukan harta sepencarian adalah melalui persetujuan bersama (Kaedah Sulh) iaitu suami dan isteri berdamai dan bersetuju mengenai harta tersebut. Persetujuan ini boleh dibuat sama ada di luar mahkamah atau di hadapan pegawai sulh dan kemudiannya akan disahkan sebagai satu perintah oleh mahkamah.

Sekiranya kaedah tersebut tidak dapat menyelesaikan pertikaian, mahkamah akan meneliti setiap keterangan (bukti dan saksi) dan penghujahan.

Hasil daripada keterangan dan penghujahan itu mahkamah akan membuat perintah mahkamah mengenai pembahagian harta tersebut.

Sekiranya suami berjaya dalam tuntutannya, ketetapan kadar jumlah yang akan diperolehi oleh suami terhadap hak ke atas harta sepencarian itu adalah mengikut kadar ketetapan yang diputuskan oleh mahkamah, iaitu dengan melihat kepada kadar sumbangan suami ke atas harta yang dituntutnya.

Merujuk kes Tengah lawan Ibrahim, Ibrahim telah menuntut harta sepencarian yang merupakan sebuah rumah yang dibina atas tanah kepunyaan kedua-dua pihak. Harta dibahagi kepada tiga bahagian, dua kepada suami dan satu kepada isteri. Isteri tidak puas hati dan merayu kepada Mahkamah Rayuan namun rayuannya ditolak.

Gaji Ibrahim dibuktikan melebihi gaji isterinya dan tenaga kerja juga dibuktikan lebih kepada suami. Maka keputusan mahkamah lebih memihak kepada suami.

Walaupun suatu dokumen harta seperti tanah, rumah atau kereta didaftarkan atas nama salah seorang pasangan suami atau isteri, ia tidak menghalang pasangan yang lagi satu menuntutnya sebagai harta sepencarian.

Ini merupakan suatu peruntukan istimewa yang hanya diberikan kepada tuntutan harta sepencarian. Tuntutan harta sepencarian merupakan tuntutan Mal yang memerlukan keterangan pada tahap zhan al-ghalib.

Firman Allah SWT: Orang-orang lelaki beroleh bahagian daripada usahanya dan orang-orang perempuan beroleh bahagian daripada usahanya juga." (An-Nisa:32).

Ayat ini mengajak kita memelihara kemaslahatan atau kepentingan kedua-dua pihak, suami dan isteri dalam memelihara harta.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Talian NUR 15999

Hubungi Talian Nur (15999) oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Masyarakat untuk kes penderaan, kes keganasan rumahtangga, kes-kes domestik dan kebajikan yang lain termasuk penderaan wanita, pembantu rumah dan lain-lain.

Halaman