Sabtu, 16 Ogos 2014

Kelangsungan hidup selepas perceraian

Oleh : Prof Dr Najibah binti Mohd Zin
Sumber : Kosmo (Varia) - Wanita & Undang-undang
Tarikh : 15/08/2014





PASANGAN yang telah bercerai perlu meneruskan hubungan yang baik agar anak-anak tidak merasai kehilangan kasih sayang ibu dan bapa mereka. - Gambar hiasan



SABAN hari saya masih lagi menerima banyak kes yang melibatkan perceraian. Ia sama ada melalui permohonan cerai di mahkamah syariah atau melalui lafaz cerai oleh pihak suami di luar mahkamah.

Kedua-dua bentuk perceraian tersebut mempunyai prosedur yang tersendiri dan pasangan yang hendak bercerai hendaklah mengambil tahu tentang prosedur yang telah ditetapkan undang-undang.

Peruntukan undang-undang dan prosedur ini bertujuan untuk mengawal berlakunya perceraian di luar mahkamah.

Ia juga berfungsi untuk menjaga kepentingan semua pihak yang terlibat, terutamanya wanita, selepas berlaku perceraian.

Selain itu, ia berperanan dalam mengurangkan kadar perceraian dengan melaksanakan usaha perdamaian kedua-dua pasangan bertelagah melalui proses yang telah ditentukan oleh undang-undang.



Permohonan

Undang-undang Islam memperuntukkan bahawa jika suami atau isteri ingin bercerai, salah seorang daripada mereka boleh membuat permohonan di mahkamah syariah mengikut borang yang telah diperuntukkan.

Perceraian ini disebut sebagai perceraian melalui persetujuan bersama. Adalah diharapkan melalui kaedah ini, setiap pasangan boleh berbincang tentang proses perceraian tersebut secara baik.

Di samping itu, mereka juga boleh berbincang mengenai persetujuan yang boleh dicapai terutamanya yang berkaitan hak penjagaan dan nafkah anak, nafkah iddah, bayaran mut'ah dan juga pembahagian harta jika ada.

Persetujuan yang dicapai melalui kaedah ini mempunyai beberapa faedah. Antaranya, menjimatkan masa membuat tuntutan di mahkamah dan mengelakkan prosiding mahkamah yang panjang jika semua tuntutan itu hendak dibuat secara berasingan.

Kedua-dua pihak suami dan isteri juga tidak perlu untuk bercakap tentang keburukan dan keaiban pasangan masing-masing yang kebiasaannya menjadi punca kepada pertelingkahan yang berpanjangan.





HAK penjagaan anak-anak sering menjadi isu utama jika berlaku perceraian. - Gambar hiasan



Situasi tersebut sekali gus boleh menjejaskan kualiti dan kelangsungan kehidupan berkeluarga selepas bercerai kelak.

Justeru, adalah penting bagi pasangan yang bercerai mencapai tahap rasional yang tinggi supaya tindakan yang dilakukan bukan berdasarkan emosi semata-mata.

Mengikut kajian yang telah dilakukan, perceraian secara baik dapat mengurangkan risiko negatif dalam kalangan kanak-kanak terutamanya dari aspek perkembangan emosi mereka.

Ini boleh diperbaiki lagi jika ibu bapa yang telah bercerai meneruskan hubungan yang baik dengan anak-anak.

Salah faham

Kegiatan kekeluargaan yang kebiasaan dilakukan sebelum bercerai seperti membeli-belah bersama atau bersiar-siar adalah sangat digalakkan dan diteruskan dengan adab-adab yang sesuai.

Malangnya budaya ini tidak difahami oleh kebanyakan pasangan yang bercerai kerana merasakan bahawa mereka sudah tidak mempunyai sebarang hubungan.

Kesannya, ibu atau bapa yang tidak mendapat hak jagaan anak akan terpisah secara fizikal dan terputus hubungan kasih sayang dengan anak-anak.

Daripada kajian yang telah dilakukan di Barat, bapa yang tidak mendapat jagaan dan gagal melawat anak mereka besar kemungkinan akan diabaikan oleh anak mereka.

Oleh itu, salah faham tentang perceraian ini perlu diperbetulkan supaya masyarakat boleh menerima hakikat perceraian dengan lebih positif dan turut memainkan peranan keibubapaan walaupun telah bercerai.

Sokongan keluarga melalui kaunseling dapat membantu pasangan yang telah berpisah menguruskan hubungan secara baik sebagaimana yang telah diamalkan di negara-negara maju.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Talian NUR 15999

Hubungi Talian Nur (15999) oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Masyarakat untuk kes penderaan, kes keganasan rumahtangga, kes-kes domestik dan kebajikan yang lain termasuk penderaan wanita, pembantu rumah dan lain-lain.

Halaman