Rabu, 13 Ogos 2014

Saranan memilih pasangan beragama

Oleh : Prof Dr Najibah Mohd Zin
Sumber : Kosmo - Varia (Wanita & Undang-Undang)
Tarikh : 30 Mei 2014
  


PERCERAIAN seringkali dianggap penyelesaian konflik rumah tangga tetapi kesannya amat besar kepada keluarga. - Gambar hiasan




KERUNTUHAN institusi kekeluargaan merupakan satu isu global yang semakin membimbangkan lantaran kadar perceraian sentiasa meningkat.

Meskipun dibenarkan dalam hukum Islam, tetapi perceraian adalah satu perkara yang sangat dibenci oleh Allah SWT kerana kesan dan akibatnya sangat besar kepada sesebuah institusi kekeluargaan.
Ia disebabkan rumah yang sepatutnya menjadi tempat percambahan minda dan pembesaran yang sempurna tidak dapat berfungsi untuk melakukan tugas tersebut.

Hadis Rasulullah SAW menyebut bahawa antara perkara yang dibenci oleh Allah tetapi halal ialah perceraian.

Walaupun banyak sebab yang dikaitkan dengan perceraian tetapi isu utama yang menjadi penyebab kepada perkara ini ialah kurangnya kefahaman agama untuk menjadi panduan dalam mengemudikan hubungan perkahwinan.


Rasulullah SAW pernah menyatakan dengan jelas ciri paling utama untuk memilih pasangan ialah seorang yang mempunyai agama. Tujuannya ialah agama dapat dijadikan panduan jika berlaku pertikaian di dalam keluarga dan berupaya mencari jalan keluar yang lebih harmoni.

Secara praktikalnya, tidak ada manusia yang boleh hidup dalam konflik kerana ia bertentangan dengan fitrah manusia yang inginkan keamanan dan keharmonian.

Bagi wanita selalunya, perkara pertama yang difikirkan jika berlaku konflik ialah perceraian kerana beranggapan bahawa tindakan ini boleh menghilangkan kekusutan yang dihadapinya.

Dalam banyak hal, ia membantu terutama jika hubungan perkahwinan dipenuhi dengan penderaan sama ada dalam bentuk fizikal atau mental.

Selalunya penderaan diwarisi dari proses pembesaran seseorang yang mana keluarganya juga bersifat mendera. Namun, ia juga boleh disebabkan faktor lain seperti sikap panas baran, kemelut kewangan dan juga perbezaan ideologi yang tidak dapat diuruskan dengan baik.

Terdapat juga perceraian yang disebabkan oleh faktor remeh seperti kegagalan berkomunikasi, ego dan banyak juga mutakhir ini wanita menuntut perceraian kerana hubungan suami dengan orang ketiga.

Kebiasaannya, usaha untuk mengganti masalah ini dibuat pada tahapnya retak menanti belah. Dalam kebanyakan kes ia berakhir dengan perceraian sama ada melalui tuntutan di mahkamah atau lafaz cerai yang dibuat di luar mahkamah.

Kesan negatif

Apa pun caranya, perceraian banyak memberi kesan negatif kepada struktur sosial masyarakat terutama kepada anak-anak daripada perkahwinan tersebut.

Sama ada anak-anak akan berada di bawah jagaan ibu atau bapa, mereka kehilangan fungsi kedua-dua ibu bapa dalam memenuhi tuntutan penjagaan yang menyeluruh dan peranan ibu dari aspek kasih sayang.

Pengajaran daripada sirah Rasulullah SAW memberitahu kepada kita bagaimana Baginda begitu memberi perhatian kepada anaknya Fatimah, memuliakan beliau dan menciumnya apabila meninggalkannya.
PERCERAIAN seringkali menyebabkan anak-anak tersepit dan menjadi mangsa keretakan rumah tangga.

Perbuatan Rasulullah SAW telah menarik perhatian masyarakat Arab pada masa itu yang tidak memuliakan anak mereka. Baginda memberi teguran bahawa: "Barang siapa yang tidak menghormati tidak akan dihormati."

Hakikatnya hadis ini mengajar bahawa anak perempuan memerlukan bapanya sebagai tempat untuk merujuk dan merasa selamat dan jika ini tidak dipenuhi, anak-anak remaja akan mencari lelaki lain sama ada sebaya dengannya atau yang lebih tua untuk memenuhi tuntutan tersebut.

Situasi ini secara tidak langsung akan mengundang gejala sosial yang lebih buruk seperti hubungan kelamin luar perkahwinan dan seterusnya membawa kepada pembuangan dan pembunuhan bayi.

Tidak ketinggalan, anak lelaki juga memerlukan ibu dan bapa dalam memberi sokongan dalam membina sikap tanggungjawab yang perlu disemai semasa proses pembesarannya. Ini penting dalam membantu mereka membina keluarga suatu hari nanti.

Kegagalan keluarga untuk berfungsi dalam memenuhi tuntutan ini akan melahirkan generasi yang pincang. Malah, kesannya dapat dilihat pada hari ini apabila kebanyakan institusi kekeluargaan runtuh disebabkan kurangnya rasa tanggungjawab dalam rumah tangga.

Banyak aduan yang dibuat berpunca dari kegagalan memberi nafkah oleh suami kepada isteri dan anak-anak.

Walaupun perceraian pada sesetengah keadaan merupakan satu penyelesaian, apa yang penting juga ialah pihak-pihak yang terlibat dalam kemelut ini mestilah mencari jalan untuk membina sistem sokongan dalam keluarga supaya masalah itu dapat dikurangkan.

Kaunseling keluarga, persatuan ibu-ibu tunggal dan sebagainya boleh menjadi sebahagian sistem sokongan terutama dari aspek moral.

Apa yang penting, setiap anggota keluarga mestilah membantu terutama dari aspek kewangan kerana ia merupakan masalah yang paling utama bagi wanita yang tidak bekerja atau mempunyai pendapatan yang sederhana

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Talian NUR 15999

Hubungi Talian Nur (15999) oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Masyarakat untuk kes penderaan, kes keganasan rumahtangga, kes-kes domestik dan kebajikan yang lain termasuk penderaan wanita, pembantu rumah dan lain-lain.

Halaman