Selasa, 26 Ogos 2014

Rita tuntut mutaah RM300,000 daripada Aidil

Sumber : Utusan Malaysia - Mahkamah
Tarikh : 26/08/2014

SHAH ALAM 25 Ogos - Pelakon Rita Rudaini menuntut bayaran mutaah berjumlah RM300,000 daripada bekas suaminya, Mohd. Aidil Zafuan Abd. Razak di Mahkamah Tinggi Syariah, di sini.

Dalam sebutan kali pertama kes itu hari ini, Rita, 38, hadir ditemani peguam syarie, Datuk Mohd. Zaidi Mohd. Zain yang mewakilinya, namun Mohd. Aidil Zafuan gagal hadir.

Kes itu disebut di hadapan pendaftar Mahkamah Tinggi Syariah, Atrasina Mohd. Zahrullail di kamar hakim.
Beliau kemudian menetapkan 11 September ini untuk sebutan semula kes itu.

Rita atau nama sebenarnya Rita Rudaini Mokhtar memfailkan tuntutan mutaah itu mengikut Seksyen 58 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 pada 7 Julai lalu.

Tuntutan mutaah iaitu pemberian saguhati daripada suami kepada isteri yang diceraikan tanpa sebab yang munasabah berdasarkan syarak.

Dalam pada itu, Mohd. Zaidi berkata, pihaknya telah menyerahkan notis saman kepada Mohd. Aidil Zafuan untuk hadir pada sebutan kes hari ini.

Walau bagaimanapun, ketua pasukan Harimau Malaya itu tidak hadir tanpa memberi sebarang alasan kepada mahkamah.

Difahamkan beliau masih belum melantik peguam bagi kes berkenaan.

Mohd. Zaidi berkata, Mohd. Aidil Zafuan, 27, juga gagal hadir pada proses sulh (perbincangan secara baik) yang telah ditetapkan mahkamah pada 14 Ogos lalu.

Rita dan Mohd. Aidil Zafuan bernikah secara rahsia pada Februari 2008 lalu di Songkhla, Thailand dan sah bercerai di Mahkamah Rendah Syariah Seremban, Negeri Sembilan pada September tahun lalu.

Pada 8 November 2012, Rita menuntut RM5,392 sebulan untuk nafkah dua anak lelakinya, Airit Rayyan Rizqin, 4, dan Airit Qaqa Arjuna, 2, yang meliputi perbelanjaan makan minum, pengasuh dan lampin pakai buang.

Keputusan kes itu akan didengar pada 10 Disember ini di Mahkamah Rendah Syariah daerah Petaling, Subang Bestari dekat sini.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Talian NUR 15999

Hubungi Talian Nur (15999) oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Masyarakat untuk kes penderaan, kes keganasan rumahtangga, kes-kes domestik dan kebajikan yang lain termasuk penderaan wanita, pembantu rumah dan lain-lain.

Halaman