Ahad, 3 Ogos 2014

Setiap Syawal, bekas suami tidak pedulikan anak

Oleh : Normala Hamzah
Tarikh : 2/8/2014
Sumber : Utusan Malaysia - Keluarga


PERCERAIAN memisahkan isteri dan suami. Tetapi tidak anak-anak. Bagaimanapun, ia menjadikan anak-anak berada dalam keadaan tertekan dan terpinggir tanpa kasih sayang kedua-dua ibu bapa.

Perhatian yang seharusnya diberikan oleh ibu dan ayah terkandas di tengah jalan kerana kedua-dua orang tua yang sepatutnya menjaga mereka membawa haluan masing-masing setelah ikatan sah terlerai.

Adakah ini yang terbaik untuk mereka? Atau mengundang masa depan yang samar?

Keadaan akan menjadi lebih sukar apabila bapa yang sepatutnya bertanggungjawab memberi nafkah untuk anak-anak lepas tangan dan menyerahkan tanggungjawab tersebut kepada bekas isteri.

Namun hidup mesti diteruskan. Dalam apa juga keadaan anak-anak perlu dibesarkan, diberi didikan sempurna dunia akhirat agar mereka menjadi manusia berguna.

Inilah kisah yang ingin saya kongsi dengan pembaca minggu ini, kisah anak-anak yang rindukan ayah yang tidak memikul tanggungjawab dan melupakan anak-anak setelah berlaku perceraian.


Kisah kiriman Suhana (bukan nama sebenar) bukan berniat untuk mengaibkan sesiapa tetapi sekadar teladan dan bimbingan kepada pasangan suami isteri yang mungkin menghadapi situasi sama.

Begini cerita Suhana.

"Saya berusia awal 30-an, mempunyai dua orang anak berusia tujuh dan sembilan tahun hasil perkahwinan dengan bekas suami, Azmir (bukan nama sebenar).

"Saya bekerja sebagai eksekutif di sebuah syarikat swasta dan bekas suami penjawat awam. Entah di mana silap, suami telah menduakan saya.

"Tidak mahu dimadu atas alasan yang dia tidak mampu beristeri lebih, saya mohon diceraikan. Alhamdulillah, proses berjalan lancar dan saya diceraikan dengan talak satu setelah hampir setahun melayan kerenah suami yang tidak berlaku adil.

"Setelah berpisah, dua orang anak kami tinggal dengan saya kerana suami tidak mahu menjaga mereka sebab isteri barunya enggan menerima anak-anak saya.

"Saya bersyukur kerana anak-anak juga tidak mahu tinggal bersama ayah dan ibu tiri mereka. Namun, saya terpaksa berdepan dengan kesulitan hidup di peringkat awal.

"Maklumlah, kedua-dua anak sedang bersekolah, tentu perbelanjaannya juga banyak. Bekas suami langsung tidak ambil kisah dan tidak memberi nafkah dan perbelanjaan.

"Sekali ditanya diam. Lama-lama saya malas untuk bergaduh dan menelefon setiap bulan bertanya duit belanja anak. Mahu tak mahu saya harus berkorban, ketepikan perasaan marah demi anak-anak.

"Saya buat macam-macam kerja sampingan yang boleh mendatangkan duit tambahan selepas waktu kerja. Alhamdulillah rezeki kami tiga beranak sangat murah. Syukur kepada Allah.

"Walaupun bekas suami langsung tidak bertanya khabar anak-anak, saya selalu ingatkan mereka tentang perlunya ayah dihormati. Tak apalah mama, ayah ada ker... tidak ada... sama saja kan, mama kan ada! Anak sulung saya selalu berkata.

"Saya tersenyum walaupun dalam hati terasa sedih kerana ayah mereka sanggup melupakan tanggungjawabnya terhadap anak-anak. Walaupun mahkamah sudah menentukan jumlah yang harus diberikan oleh bekas suami kepada anak-anak tetapi macam mencurah air di daun keladi.

"Dia langsung tidak pernah tunaikan tanggungjawab yang telah diputuskan oleh mahkamah. Saya juga malas untuk naik turun mahkamah lagi menuntut itu dan ini. Daripada memikirkan masalah bekas suami, baik saya buat kerja yang boleh mendatangkan duit.

"Berat juga tanggungjawab yang saya pikul. Duit mesti selalu ada supaya urusan hidup kami tiga beranak tidak terjejas terutama perbelanjaan sekolah anak-anak.

"Walaupun perit, saya telan sendiri. Sebab saya tahu, Allah melihat dan mendengar doa saya. Saya yakin, ada hikmah di sebalik kejadian yang berlaku.

"Kini, enam tahun sudah berlalu. Khabarnya bekas suami sudah ada anak-anak dengan isteri barunya. Dengan keluarga baru boleh keluarkan belanja yang banyak, dengan anak kami banyak alasan yang diberi.

"Masuk tahun ini sudah enam kali kami menyambut Syawal bertiga. Ertinya enam kali juga anak-anak saya tidak pernah beraya dengan ayah mereka.

"Malah lelaki yang mengaku ayah kepada anak-anak saya itu juga tidak pernah bertanya khabar anak-anaknya. Jauh sekali membeli pakaian raya untuk mereka.

"Bayangkan, enam tahun anak-anak ditinggalkan bersama saya tanpa sekali pun berjumpa mereka. Ayah jenis apakah itu? Saya tidak risau untuk menjaga mereka sampai ke hujung nyawa saya tetapi bagaimana dengan anak-anak?

"Adakah mereka akan berdendam dengan ayah mereka? Itu yang saya risau. Dan saya berdoa agar perkara itu tidak akan berlaku kerana saya tidak mahu anak-anak terputus hubungan dengan ayah mereka apabila saya sudah tidak ada lagi.

"Tahun ini, entah kenapa saya merasa sangat sedih dan sayu apabila melihat anak-anak saya. Hidup mereka tidak seperti orang lain yang ada ayah.

"Menitis juga air mata saya semasa membawa mereka membeli pakaian baharu. Orang lain datang bersama suami, sedangkan saya hanya bertiga. Walaupun saya bukan mengharapkan ada lelaki lain yang bakal mengisi kekosongan hati saya tetapi saat-saat begini menguji kesabaran saya sebagai ibu tunggal.

"Saya pernah beritahu anak saya, walau apa terjadi antara mama dengan ayah, kamu dua beradik mesti sayangkan ayah kerana ayah telah berjasa dengan kamu.

"Tahu apa anak sulung saya jawab? Mana ada mama, ayah mana ada tolong kita. Ayah langsung tak pernah datang tengok adik dengan kakak. Bagi duit pun tidak... macam mana mama kata ayah tolong dan sayang kami.

"Sebak dada saya dengan jawapan itu tetapi saya maklumkan kepada mereka yang ayah mereka sangat sibuk dan dia sudah ada keluarga baru. Nanti bila ada masa, ayah pasti datang.

"Saya sangat berharap bekas suami akan datang melihat anak-ananya pada hari raya nanti. Sekali pun cukuplah. Kasihan anak-anak saya. Mereka juga teringin untuk beraya dengan ayah mereka walaupun sekejap.

"Namun saya hanya mampu berdoa dan berharap Allah akan makbulkan doa saya itu. Bukan untuk saya tetapi untuk anak-anak. Saya sudah lali dengan kata-kata orang. Mujur setiap tahun kami pulang beraya di kampung saya, terubat juga rindu anak-anak apabila berjumpa saudara mara dan nenek mereka.

"Malah di kampung jugalah, tempat anak-anak saya bermanja dengan bapa saudara dan ibu saudara mereka yang turut menyayangi mereka seperti anak sendiri. Saya bersyukur kerana nikmat yang Allah berikan kepada saya ini.

"Biar pun jauh di sudut hati saya teringin sangat untuk melihat mereka beraya dengan bapa kandung sendiri, tetapi saya berterima kasih kepada adik-adik, abang dan kakak yang sudi melayan anak saya macam anak sendiri.

"Mengenangkan hal ini, saya semakin sebak. Saya sedih kerana dalam usia mereka yang masih muda mereka terpaksa berdepan dengan suasana yang menyedihkan ini setiap kali datangnya Syawal.

"Pun begitu bukanlah saya tidak gembira dengan kehidupan saya tetapi saya sedih sebab sepatutnya saya boleh bahagia dengan bekas suami dan anak-anak saya memandangkan kami telah berkenalan selama tiga tahun sebelum bernikah.

"Namun semuanya kerja Allah. Takdirnya untuk saya sangat indah. Dan saya reda dengan apa yang ditentukan kepada saya. Cumanya saya kesal, belum pernah sekali, bekas suami membeli pakaian raya untuk anak-anaknya, apatah lagi mempelawa mereka untuk menyambut hari raya bersamanya.

"Saya berdoa dan berharap keadaan akan berubah. Sekurang-kurangnya biarlah hubungan anak dan ayah ini berterusan dan anak-anak saya tahu yang ayah mereka masih sayang dan ingatkan mereka.

"Di Syawal ini, doa saya tidak pernah putus agar satu hari nanti, bekas suami akan sedar dan kembali mengingati anak-anaknya. Saya tidak mengusik rumah tangga dan keluarganya tetapi saya hanya mahu hak anak-anak saya daripada ayahnya.

"Ini bukan soal mahu ke tidak mahu tetapi soal tanggungjawab dan amanah Allah. Semoga Syawal kali ini saya tidak akan menangis lagi dan anak-anak tidak bertanya, kenapa ayah tak datang mama?

"Mudah-mudahan doa saya dimakbulkan Allah ... amin.'' Suhana menamatkan ceritanya.

Begitulah lumrah kehidupan dan rumah tangga. Setiap yang berlaku ada hikmahnya yang kita tidak sedar. Doa saya juga mengiringi Suhana agar diberi ketabahan untuk membesarkan anak-anaknya.

"Saya yakin dengan kasih sayang yang diberikan oleh keluarga Suhana, anak-anaknya akan terpelihara dan memperoleh masa depan yang baik.

"Saya juga kagum dengan sikap Suhana yang sentiasa memupuk supaya anak-anak sayang ayah mereka. Itulah cara terbaik untuk mengekalkan ikatan darah antara ayah dan anak di sebalik pelbagai ujian yang datang.

Menamatkan catatan, pesanan saya, mereka (lelaki) yang melalaikan tanggungjawab terhadap anak-anak sepatutnya merasa bersalah dan gelisah dengan tindakan mereka. Semoga Allah membuka pintu hati mereka untuk membetulkan keadaan dan kembali menghargai zuriat yang Allah hadiahkan sebagai amanah dan tanggungjawab.

Salam


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Keluarga/20140802/ke_02/Setiap-Syawal-bekas-suami-tidak-pedulikan-anak#ixzz39Hi1XESf
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Talian NUR 15999

Hubungi Talian Nur (15999) oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Masyarakat untuk kes penderaan, kes keganasan rumahtangga, kes-kes domestik dan kebajikan yang lain termasuk penderaan wanita, pembantu rumah dan lain-lain.

Halaman