Oleh SAFINA RAMLI
pengarang@utusan.com.my
Sumber : Utusan Malaysia
ALOR SETAR 11 Okt. - Hanya kerana membaca surah Yasin, seorang isteri dibelasah tanpa belas kasihan oleh suaminya sehingga mengakibatkan wanita itu patah pinggang, retak tulang belakang dan cedera di seluruh badan.
Wanita tersebut, Fadzilah Ismail, 51,yang tinggal di Utan Aji, Perlis kini berada dalam keadaan trauma dan sedang dirawat di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini ekoran kecederaan parah yang dialaminya.
Menceritakan semula kejadian tersebut Fadzilah mendakwa, suaminya yang merupakan seorang kontraktor telah memukulnya sebanyak dua kali iaitu pada 5 dan 6 Oktober lalu.
Dakwanya, kejadian pertama bermula kira-kira pukul 12 tengah hari ketika umat Islam sedang menyambut Hari Raya Aidiladha apabila suaminya naik berang kerana barang kepunyaannya secara tidak sengaja telah dibakar oleh anak lelaki mereka yang berusia lapan tahun.
"Saya ditolak dan disepak dengan kuat oleh suami kerana dia tidak berpuas hati apabila barangnya (peralatan pertukangan) telah rosak," dakwanya ketika ditemui di HSB di sini hari ini.
Fadzilah mendakwa lagi, kira-kira pukul 4.15 pagi pada 6 Oktober lalu pula suaminya yang berusia 59 tahun itu telah membelasahnya dengan teruk kerana dia membaca surah Yasin.
"Saya tidak dapat melelapkan mata lalu saya baca surah Yasin, suami pula kata saya sedang memakinya dan dia suruh saya berhenti membaca Yasin.
"Saya tidak mengikut arahannya lalu dia mula membelasah saya... saya dihempuk ke lantai, disepak dan dipijak oleh suami bermula dari kepala hingga ke kaki.
"Saya ingat saya dipukul tanpa henti bermula pukul 4.15 pagi oleh suami tanpa belas kasihan," dakwanya.
Fadzilah yang bekerja di sebuah kilang percetakan di sini memberitahu, selepas dibelasah suaminya, dia ke rumah saudara yang terletak berhampiran rumahnya untuk mendapatkan bantuan.
"Saya beritahu saya dipukul dan mereka memberi saya ubat dan membawa saya ke Balai Polis Kangar untuk melaporkan kejadian ini. Saya tidak akan maafkan suami saya sampai bila-bila selepas apa yang dia lakukan kepada saya," jelasnya.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kangar, Supritendan Abdul Rahman Mohd. Noordin ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan dan kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja menyebabkan kecederaan.
Artikel-artikel yang dijumpai oleh pemilik blog ini yang berkaitan dengan isu-isu Mahkamah Syariah yang disiarkan di sini untuk tujuan bacaan sendiri, rujukan bagi yang memerlukan maklumat dan juga renungan kita bersama. Semoga ianya bermanfaat, insyaAllah!
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Talian NUR 15999
Hubungi Talian Nur (15999) oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Masyarakat untuk kes penderaan, kes keganasan rumahtangga, kes-kes domestik dan kebajikan yang lain termasuk penderaan wanita, pembantu rumah dan lain-lain.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan