Isnin, 27 Oktober 2014

Beban pembuktian dalam perceraian

Oleh : Prof Dr Najibah bt Mohd Zin
Sumber : Kosmo - Rencana Utama
Tarikh : 24/10/2014


TAKLIK dan fasakh memerlukan tahap pembuktian bagi memastikan permohonan tersebut disandarkan kepada sebab-sebab syarie.
Tuntutan yang tidak disokong dengan keterangan mencukupi boleh menyebabkan mahkamah menolak tuntutan tersebut.
Sehubungan itu, sebelum pihak plaintif membuat tuntutan di mah­kamah, perlu dipastikan bahawa kesnya melalui tahap pembuktian yang digariskan dalam hukum syarak dan dikanunkan dalam Undang-Undang Keterangan Syariah.
Ini kerana kebanyakan kes serius melibatkan kejadian yang berlaku di rumah dan sukar untuk mendapat saksi kejadian.

Saksi yang berpotensi selalunya terdiri daripada anak-anak yang masih kecil dan pembantu rumah yang keterangan mereka mudah dipatahkan oleh peguam berpengalaman.
Pernah diputuskan dalam kes mahkamah syariah pihak isteri telah membuat tuntutan fasakh atas beberapa alasan termasuklah penganiayaan, gagal membayar nafkah dan gagal menyediakan tempat tinggal.
Pemohon adalah isteri kedua yang dipaksa tinggal bersama isteri pertama dan beberapa orang daripada ahli keluarga perayu dalam satu rumah.
Cedera
Pada peringkat awal perbicaraan, mahkamah telah menolak permohonan plaintif dan berpendapat bahawa dia telah gagal membuktikan dakwaan bahawa dirinya telah lazim disakiti iaitu bukti yang defendan menyakiti tubuh badan plaintif.
Walaupun pihak mahkamah mengakui perbuatan mencederakan isteri dan gagal membayar nafkah adalah salah di sisi hukum syarak, tetapi tuntutan fasakh telah ditolak disebabkan kegagalan pihak plaintif mengemukakan dua saksi lelaki atau satu lelaki dan dua perempuan yang menyaksikan perbuatan suaminya malah si isteri telah dihukumkan nusyuz kerana keluar rumah tanpa izin suami.
Pihak isteri telah membuat rayuan di mahkamah yang lebih tinggi dan rayuan tersebut dibenarkan atas alasan suami telah membiarkan isteri menderita dan tidak memberi nafkah. Suami juga mengaku membawa isteri pertama tinggal bersama keluarga­nya.
Walaupun pihak suami membuat rayuan terhadap keputusan itu tetapi rayuan tersebut tidak berjaya kerana alasan-alasan bagi tuntutan fasakh oleh pihak respondan iaitu kegagalan pihak suami untuk menyelesaikan pertikaian dengan isterinya, tidak memberi nafkah dan gagal menyediakan tempat tinggal yang sesuai berasas.
Lembaga Rayuan menyentuh tentang standard pembuktian yang diperlukan tidak perlu mencapai tahap syahadah dan memadai ia diberi sebagai baiyyinah dan qarinah jika keterangan yang ada boleh menyokong kes tersebut.
Apa yang menarik dalam kes ini ialah pihak hakim mengatakan ‘adalah mustahil bagi seorang suami apabila dia memukul isterinya akan memanggil dua orang saksi lelaki untuk menyaksikan pukulan itu’.
Terdapat juga kes hakim telah tersilap menghuraikan maksud dan kehendak peruntukan ‘lazim menyakiti’ sebagai alasan tuntutan fasakh atas kecederaan fizikal.
Dalam kes lain juga pihak mahkamah memberi tafsiran yang lebih luas terhadap maksud pengania­yaan atau dhirar.
Ia tidak terhad kepada penganiayaan tubuh badan, malah lebih luas termasuk enggan bercakap dengan isteri, membelakangkan isteri atau memalingkan muka daripadanya semasa di katil, mengutamakan atau memberikan layanan kepada perempuan lain daripada isteri, memukul dengan pukulan yang menyakiti dan tidaklah disyaratkan pukulan itu dilakukan berulang kali serta lazim.
Melihat kepada tafsiran yang dibuat, tuntutan perceraian melalui fasakh merangkumi aspek yang lebih luas bukan sahaja terhad kepada telah diperuntukkan dalam Undang-Undang Keluarga Islam.
Ini bertepatan dengan asas kepada undang-undang tersebut yang bertujuan melindungi isteri daripada dianiaya sama ada ia berbentuk fizikal ataupun mental. Walaupun begitu, keupayaan untuk membuktikan dakwaan tersebut adalah satu perkara yang menjadi halangan jika ia melibatkan penganiayaan mental.
Sehubungan itu, satu pendapat yang diutarakan oleh mazhab Maliki bahawa jika isteri itu membuat dakwaan berulang kali, maka wajarlah kes ini dirujuk kepada Hakam bagi membuat penyiasatan yang lebih terperinci tentang keadaan pihak-pihak; sama ada mendamaikan atau memisahkan mereka.
Setiap dakwaan yang dibuat oleh isteri hendaklah diberi perhatian yang berat walaupun beliau tidak dapat mengemukakan keterangan mengikut tahap yang dikehendaki oleh undang-undang.
Oleh itu, keterangan yang dibuat dengan bersumpah (yamin) mungkin boleh diberi perhatian oleh mahkamah dalam mensabitkan tuntutan fasakh.
Pandangan di atas telah diterima pakai di Mesir yang membolehkan mahkamah melantik Hakam dalam tuntutan fasakh yang tidak dapat dibuktikan. Jika pada akhir prosiding, pihak Hakam mendapati pertelingkahan itu berpunca daripada pihak suami, perkahwinan dibubarkan melalui talak.
Tebus talak
Sebaliknya jika kesalahan itu disebabkan oleh pihak isteri, pembubaran perkahwinan adalah melalui tebus talak atau khuluk.
Undang-undang ini merupakan pilihan kepada wanita yang gagal mengemukakan saksi di mahkamah terutamanya dalam kes-kes yang melibatkan penderaan mental selain melibatkan kes poligami tanpa pengetahuan isteri.
Mahkamah di Mesir berpendapat bahawa perkahwinan adalah sesuatu hubungan yang melibatkan hubungan psikologi dan sosial. Jika suami mendera isteri, pihak isteri berhak menuntut perceraian.
Walaupun agama dan akhlak merupakan tonggak dalam sebuah keluarga, keluarga juga tidak dapat berterusan dalam suasana konflik. Pendekatan yang serupa telah diambil di Singapura apabila undang-undang memberi kuasa kepada hakim untuk melantik Hakam dalam semua tuntutan perceraian termasuklah fasakh.
Undang-Undang Islam sangat memberi perhatian kepada hubungan suami isteri terutama jika berlaku penderaan fizikal, seksual dan mental. Dalam surah Al-Nisa ayat 15, Allah berfirman; Pergaullah isteri-isterimu dengan cara yang baik, kemudian bila kamu tidak menyukai mereka, maka bersabarlah kerana mungkin kamu tidak menyukai sesuatu padahal Allah telah menjadikan padanya kebaikan yang banyak.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Talian NUR 15999

Hubungi Talian Nur (15999) oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Masyarakat untuk kes penderaan, kes keganasan rumahtangga, kes-kes domestik dan kebajikan yang lain termasuk penderaan wanita, pembantu rumah dan lain-lain.

Halaman