Sumber : Utusan Malaysia - Keluarga
Tarikh : 12/10/2014
"SUDAH banyak kali saya dengar cerita suami kalau masa susah dia sayang isteri dan anak-anak, tetapi apabila hidupnya berubah jadi senang dia lupa diri, Itu cerita Zurina dalam e-melnya.
"Saya berkahwin kira-kira 15 tahun lalu. Saya sedar memang kami tak sepadan, tetapi saya tak kira mungkin dia jodoh kami. Adik-beradik nasihatkan takut saya kesal kemudian hari, kerana mereka tahu perangai saya yang pemurah. Tetapi emak doakan semoga saya bahagia dan hidup aman damai. Berkat doa emak saya teruskan berkahwin.
"Saya ada ijazah sementara Fikri ada SPM, tapi dia rajin buat bisnes, kecil-kecilan katanya. Saya tak kisah asalkan dapat rezeki halal. Masa meminang, dia bagi hantaran RM8,000 ketika itu agak tinggi jugak, keluarga kami tak mintak, keluarga dia yang beri. Lepas kahwin kami pindah cari rumah sewa, takkan nak duduk rumah emak. Kenalah berdikari.
"Setelah pindah malangnya Fikri kata dia tak ada duit nak beli mesin basuh, dapur dan kerusi meja, apa lagi peti sejuk yang saya cadangkan. Dia suruh saya beli dulu, dan bayar ansur-ansur. Ok boleh, tapi saya minta dia bayar separuh. Katanya dia tak ada duit, malah nak buat modal pusingan pun tak cukup sebab habis buat belanja hantaran kahwin dulu. Terkejut saya. Takkan dia tak ada simpanan langsung.
"Katanya orang bisnes mana ada simpanan, semua guna buat pusingan modal berniaga. Duit yang masuk singgah sekejap aja, habis tolak kiri kanan untuk bayar hutang. Malah dia minta kembali duit hantaran dulu untuk buat modal. Bila saya kata dah beri pada emak buat belanja kenduri kahwin, dia naik angin. Katanya takkan emak saya tak berduit langsung nak buat kenduri kena tunggu duit hantaran?
"Tiga hari kemudian dia jual kereta, buat modal, dia beli motor. Tapi bila hendak jumpa orang tertentu dia pinjam kereta saya, mangsanya saya kena balik naik bas. Nak tumpang kawan malu, takkan nak cerita suami pakai kereta saya sebab dia dah jual kereta Hondanya. Bila tak ada kereta perjalanan dan kerja saya banyak terganggu, terutama setelah hamil. Memang sakit! Tambahan kawasan rumah saya tak ada bas masuk. Waktu pinjam kereta katanya dia ambil saya bila balik kerja. Tetapi memanjang ada hal dia suruh saya balik sendiri. Sabar lagi! Kerana tak tahan saya terpaksa beli kereta lain.
"Begitulah masa berlalu begitu cepat hingga saya melahirkan anak kedua lima tahun kemudian. Banyak masalah berlaku kerana duit, tapi saya sabar. Nak jadi cerita rezeki dia bertambah baik, Fikri jadi sibuk tak ketahuan. Memanjang balik lewat malam. Sedihnya bila ada duit dia langsung tak jalankan tanggungjawab beri makan minum anak-anak. Dia suruh saya uruskan macam biasa beli susu, beras dan sebagainya. Sebaliknya Fikri beli kereta baru, dia suruh jual kereta lama saya. Duitnya boleh buat belanja. Sedangkan itu kereta saya bukan kereta dia. Tapi saya sabar kerana dia kata hendak beli rumah. Masuk anak ketiga kami pindah ke rumah baru. Saya fikir hidup saya aman selepas ini. Saya tak berkira terpaksa tanggung makan minum keluarga dan susu anak, asalkan kami ada rumah. Bila ada rumah ada masalah pula, emaknya tanya kenapa beli rumah atas nama saya bukan nama Fikri. Mereka tak tahu dia dah blacklist.
"Mereka tahu kami beli rumah kerana Fikri canang. Tujuannya beritahu keluarga nak cerita dia ahli perniagaan berjaya. Tapi tak beritahu dia banyak hutang keliling pinggang. Mangsanya saya, keluarga Fikri tuduh saya pengikis harta suami. Mereka tak pernah tahu penderitaan saya selama ini. Adiknya desak Fikri buat rumah baru untuk emak kerana syurga di bawah tapak kaki ibu. Dalam Islam anak lelaki mesti dulukan emak, adik-beradik dalam apa-apa hal, bukannya isteri. Betul! Tetapi mereka tahu tak masalah Fikri. Masa dia susah emak dan adik-beradiknya tak ambil tahu, bila senang banyak pulak kata nista dilemparkan kepada saya.
"Masuk tahun ke-12 perkahwinan kami, sekali lagi masalah melanda. Bisnes Fikri merudum. Dia terpaksa serahkan bisnes kepada kawan sebab tak ada modal agaknya. Sebelum itu dia berhempas pulas meminjam sana sini untuk teruskan bisnes. Inilah masalahnya jika orang tak tahu beringat dan berjimat ketika berjaya.
"Masa duit banyak dia berbelanja besar. Tak fikirkan bisnes ada kala naik ada masa turun. Sekali lagi saya dilanda masalah. Saya minta dia berbincang masalahnya, tapi dia mengelak. Kerana marah sebab saya selalu tanya masalahnya, dia tinggalkan kami dan berpindah ke rumah sewa setinggan. Ceritanya terbongkar apabila budak pejabat saya ternampak dia.
"Apa yang menyakitkan hati, Fikri tinggalkan hutang rumah berbulan-bulan tak bayar, surat saman dari bank, hutang cukai pintu, cukai tanah dan hutang beberapa buah kedai yang tak berbayar. Saya betul-betul panik. Bila saya telefon dia, katanya kalau nak duduk rumah tu bayarlah, kalau tidak biar bank lelong. Senangnya!
"Atas nasihat kawan, saya terpaksa buat pengeluaran akaun dua KWSP sebanyak RM50,000 untuk selesaikan separuh bayaran ansuran rumah. Bakinya saya bayar ansur. Saya juga buat pinjaman bank untuk bayar hutang yang ditinggalkannya. Kerana simpanan saya sendiri bukannya banyak, sebab selalu sangat bantu Fikri bila dia sesak.
"Bertitik tolak daripada masalah ini saya rasa lega hidup tanpa Fikri. Malangnya bila hutang selesai dia balik ke rumah. 15 tahun berkahwin banyak mengajar saya erti hidup bersuami. Kini hati saya sudah kering dan tidak akan bantu dia lagi, walaupun dia mengacukan parang ke leher saya seperti dulu. Saya sudah buat laporan polis jika sesuatu buruk terjadi kepada saya, polis tahu siapa yang bertanggungjawab, itu cerita Zurina tentang penderitaannya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan