Tarikh : 26/10/2014
“SAYA ingin berkongsi pengalaman membesarkan anak-anak tanpa nafkah daripada ayah mereka. Cerita ini bukan cerita baharu, kerana ramai ibu tunggal di luar sana menghadapi pengalaman pahit membesarkan anak sendirian khususnya jika si ibu tidak bekerja tetap, tinggal di bandar dan kalaupun bekerja gaji tak mencukupi untuk tanggung anak.’’ Itu cerita Ashiqeen dalam e-melnya.
“Bukan saya tak usahakan pergi jumpa Hekal di pejabat, tapi sampai pintu saja pengawal tak benarkan masuk, katanya ini pejabat bukan mahkamah syariah. Urusan peribadi tolong bereskan di luar pejabat. Saya tahu itu bukan suara ketua pejabat tetapi arahan Hekal kepada pengawal. Mestilah mereka kawan baik.
“Kerana bosan dengan semua masalah ini bertahun-tahun masih tak selesai, saya jumpa bekas mentua, ceritakan masalah saya. Jawapan yang keluar daripada mulutnya
memedihkan telinga, – “itu urusan engkau suami isteri, aku tak boleh campur. Kalau nak mintak nafkah pada aku memang aku tak berduit. Kau carilah dia!’’
“Tujuan saya datang bersama anak-anak bukan nak minta duit mentua, tetapi berharap mentua saya dapat nasihatkan anaknya supaya ingat tanggungjawabnya kepada anak-anaknya sendiri?
“Masalahnya kami bergaduh semasa Hekal bercinta dan berkahwin dulu sudah saya lupakan walaupun sakit hati. Tetapi saya terima qada dan qadar Allah bahawa dia bukan jodoh saya hingga ke akhir hayat. Hanya satu permintaan saya, tolong bagi nafkah anak-anak. Sebab gaji saya kecil, sedangkan anak-anak perlukan belanja ke sekolah, tambang bas, makan minum, yuran sekolah, duit tuisyen dan pakaian.
“Tiga tahun lamanya saya terseksa menanggung anak sendiri, mana nak bayar sewa rumah, bil air dan elektrik. Akhirnya kerana terlalu susah, seorang kawan nasihatkan saya supaya hantarkan saja anak-anak ke rumah ayahnya biar dia yang jaga dan dia akan tahu berapa banyak belanja dia harus keluarkan untuk besarkan anak.
“Sebelum buat keputusan yang amat ‘kejam’ itu saya berbincang dengan anak-anak, ketika itu yang sulung dalam tingkatan satu, kedua darjah enam, dan yang kecil darjah empat. Memang mula-mula mereka tak mahu kerana mula bencikan ayahnya sebab hidup tidak seperti dulu, sekali-sekala dapat makan kat luar. Tetapi setelah kahwin baru, ayahnya tak pernah belikan baju raya, kalau datang pun cuma sesekali hulurkan RM10 seorang. Dia datang ketika saya bekerja.
“Anak lelaki sulung saya walaupun tak suka, katanya dia akan cuba tinggal dengan ayah dan bawa adik-adik bersama. Mungkin ayah boleh sayang mereka seperti dulu, dan dia akan pastikan adik-adik tidak dipukul oleh ibu tiri macam cerita dalam filem zaman dulu. Walaupun sedih, tetapi saya terpaksa lepaskan mereka sambil mengingatkan jika mereka tak suka, mereka boleh kembali semula duduk dengan saya, biarlah kami sama-sama makan bubur atau mi segera.
“Saya bukan pekerja tetap. Kerja kontrak menggantikan orang. Bila habis kontrak saya terpaksa cari kerja tempat lain yang memerlukan khidmat saya. Kalau jauh sangat dari rumah saya terpaksa tolak, sebab tambang bas mahal.
“Terkejut beruk Hekal bila anak-anak saya hantar ke rumahnya. Katanya rumah kecil mana anak-anak nak tidur. Adakah saya tinggal di banglo? Tapi Ezzey anak kedua saya kata mereka boleh tidur di ruang tamu. Masam mencuka isteri Hekal. Saya nekad tinggalkan mereka sebab ketika itu sudah sebulan saya tak bekerja. Saya dah pokai!
“Menurut cerita Along dan Ezzy, petang itu ayah dan ibu tirinya bergaduh sebab tak suka anak-anak tiri tinggal dengan mereka. Lagipun rumah itu milik isteri Hekal. Tiga hari mereka tak ke sekolah. Sebab tak ada duit tambang. Akhirnya ayahnya hantar juga ke sekolah sebab tak larat bergaduh dengan isterinya.
“Tiap-tiap hari mereka makan nasi bungkus atau mi. Ibu tiri tak masak sebab sengaja balik lambat. Tengah hari makan di sekolah. Hari Sabtu dan Ahad hari menyakitkan telinga sebab Hekal mesti bertengkar dengan isterinya. Selepas sebulan, Hekal hantar anak-anak ke rumah saya. Tetapi ketika itu saya sudah pindah tinggal dengan kawan baik saya. Rumah dah kosong. Akhirnya dia telefon minta saya ambil budak-budak. Saya katakan saya tak ada rumah, sebab tak mampu bayar sewa.
“Hekal berjanji akan bayar nafkah. Kerana tak mahu tertipu lagi saya suruh dia carikan rumah sewa dan tolong bayar nafkah tertunggak paling kurang RM5,000. Saya berharap dengan duit itu dapatlah saya jaga anak-anak sementara dapat kerja lain. Dua bulan lamanya saya menunggu jawapan daripada Hekal, tetapi hampa.
“Satu hari ketika saya jengok anak-anak di sekolah, Ezzy beritahu tahun depan mereka akan bersekolah di kampung kerana duduk dengan nenek. Terkejut saya. Saya tanya apakah mereka suka. Memanglah tak suka, tetapi mereka mahu cuba.
“Kata Along, dia akan belajar pandai-pandai supaya dapat masuk asrama, ketika tingkatan empat nanti. Begitu juga azam Ezzy. Mereka akan tunggu sambil jaga Ateh supaya dia pun boleh masuk asrama bila naik tingkatan satu. Begitu kuat azam anak-anak saya. Memang saya tak sangka sungguh.
“Tetapi saya sedih terpaksa terpisah dengan anak-anak. Tetapi apakan daya. Nak minta tolong emak bapak, saya anak yatim piatu. Adik-beradik bukan orang senang. Inilah akibatnya kalau tak ada kerja tetap, nasib kita tak terjamin. Suami bukan tempat bergantung. Dulu saya ada kerja tetap tetapi suami suruh berhenti sebab anak-anak tak ada orang nak jaga. Sekarang ini nasib saya!
“Walaupun jauh tetapi surat jadi penghubung kami. Ezzy cerita nenek membeza-bezakan mereka tiga beradik dengan sepupu mereka yang lain. Semuanya berpunca kerana ayah mereka tak bagi duit. Nenek selalu bersungut marahkan ayah menyusahkan hidupnya terpaksa jaga cucu, sudahlah tu tak bagi duit belanja makan minum.
Cerita Ezzy lagi kalau sepupunya datang, mereka tiga beradik tak dapat makan sedap yang nenek masak sebaliknya disuruh duduk dalam bilik baca buku.Saya menangis. Tetapi Ezzy kata, perbuatan nenek membuat mereka berazam belajar bersungguh-sungguh.
“Syukur, kini Along dan Ezzy dah masuk kolej dan universiti, Ateh di sekolah berasrama penuh. Azam mereka jaga saya bila bekerja nanti. Doa saya agar hajat mereka tercapai. Saya bersyukur kini saya dapat kerja tetap walaupun gaji kecil. Kini rumah flat saya, tempat kami berkumpul. Nenek mereka sesekali menyindir marah kerana mereka tak mahu balik kampung lagi. Siapa patut dipersalahkan. Budak-budak sudah besar mereka boleh berfikir sama ada mereka disayangi atau tidak.’’ Itu cerita Ashiqeen untuk sama-sama kita renungkan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan