Jumaat, 17 Oktober 2014

Belajar berdikari

Sumber : Utusan Malaysia - Bicara Agama
Tarikh : 15/10/2014

MAKCIK Kiah termenung memikirkan apakah cara terbaik untuknya menyuarakan suara hatinya. Sudah tiga tahun dia memendam rasa. Bukan hendak menghalau tetapi mengharapkan anak menantu yang hidup sebumbung dengannya dapat memahami keadaannya yang sudah tidak lagi bekerja.

Dia kini hanya hidup dengan duit pencen yang diperolehnya. Dengan duit itulah, digunakan untuk membeli keperluan barangan harian dan membayar segala bil elektrik dan air.
Anak? Malas Makcik Kiah membicarakannya. Bukannya budak kecil yang perlu diperingatkan atau ditegur. Sudah besar panjang. Bahkan, sudah pun berkahwin dan mempunyai pendapatan sendiri. Namun, masih lagi hidup di bawah satu bumbung yang sama.

Kalau bujang mungkin boleh dimaafkan. Tetapi sudah punya anak dua. Tidak ada ‘angin’ langsung yang menunjukkan yang dia akan membina kehidupan sendiri di rumah sendiri. Yang penatnya, tentulah Makcik Kiah.

Terpaksa menjaga dua cucunya ketika anak dan menantunya pergi bekerja. Bukan itu sahaja, apabila sudah tinggal di rumah, kenalah juga memasak. Nanti cucu, anak dan menantu hendak makan apa?



Di awal perkahwinan anaknya dulu, Makcik Kiah tak kisahlah jika anak dan menantu hendak tumpang sementara di rumah tersebut dan dalam masa yang sama berusaha untuk mencari rumah sewa yang lain.

Bahkan, Makcik Kiah juga memberi kelonggaran agar ekonomi anak menantunya itu kukuh dahulu. Maklumlah, orang baru lepas kahwin, sudah tentu duit yang menjadi tabungan agak kering kerana telah dibelanjakan untuk majlis perkahwinan.

Kini tiga tahun sudah berlalu. Keadaannya masih begitu. Makcik Kiah tidak faham, apa sebenarnya di fikiran anak dan menantunya. Apakah mereka tidak mahu membina keluarga sendiri tanpa mengharapkan bantuan orang lain? Sudahlah belanja di rumah tersebut buat tidak tahu. Hendak tolong bayarkan bil? Bertanya pun tidak!

Bukan hendak berkira dengan anak dan menantu. Bagi Makcik Kiah, kehadiran mereka sekurang-kurangnya dapat menghilangkan rasa sunyi. Tapi bukan berumahtangga di rumah orang tua.

Berusahalah mencari rumah sendiri. Kalau boleh di usia yang semakin senja ini, Makcik Kiah nak buat ibadat banyak-banyak. Maklumlah, ketika bekerja dulu, banyak masanya dihabiskan untuk melakukan urusan dunia. Dan kini, setelah bersara, inilah masanya untuk melakukan amal ibadat selagi belum dijemput Ilahi.

Fikiran Makcik Kiah buntu. Takut-takut bila diluahkan apa yang terbuku di hati, anak dan menantu akan merajuk. Tetapi apabila tidak bersuara, diri sendiri yang runsing. Apa lagi yang harus Makcik Kiah lakukan?

Kerunsingan Makcik Kiah terus bertambah apabila anak keduanya juga bakal melangsungkan perkahwinan tidak lama lagi. Khuatir Makcik Kiah andai anak keduanya juga ikut perangai abangnya. Hai, apalah nasib badan.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Talian NUR 15999

Hubungi Talian Nur (15999) oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Masyarakat untuk kes penderaan, kes keganasan rumahtangga, kes-kes domestik dan kebajikan yang lain termasuk penderaan wanita, pembantu rumah dan lain-lain.

Halaman