Jumaat, 17 Oktober 2014

Kemelut keganasan rumah tangga

Oleh : Prof Dr Najibah bt Mohd Zin
Sumber : Kosmo - Varia
Tarikh : 17/10/2014

KEGANASAN rumah tangga bukanlah perkara baru yang berlaku dalam hubungan kekeluargaan. Undang-undang Islam melarang sebarang bentuk keganasan sesama manusia apatah lagi dalam hubungan keluarga sama ada terhadap suami, isteri atau ahli keluarga yang lain.
Surah al-Nisa’ ayat 1 mengiktiraf tentang kejadian manusia yang berasal daripada rahim ibu yang satu. Sudah tentu hubungan silaturahim ini menjadi asas dalam mewujudkan suasana harmoni antara umat manusia apatah lagi jika ia melibatkan hubungan suami isteri.
Secara umum, keganasan rumah tangga dikaitkan dengan keganasan fizikal, emosi, mental, seksual dan ekonomi. 
Di India, membayar dowri iaitu hantaran perkahwinan kepada kaum wanita dianggap sebagai satu keganasan dalam undang-undangnya.
Sementara itu, di Ghana, menghalang seseorang daripada menggunakan harta kepunyaannya, memusnahkan harta dengan apa cara termasuk menggadaikan harta tersebut adalah sebahagian daripada definisi keganasan. 

Keganasan dari aspek ekonomi di Australia pula merujuk kepada keadaan seperti menghalang seseorang mempunyai hak autonomi terhadap hartanya, tidak membayar nafkah atau menahan pembayaran nafkah, menghalang seseorang daripada mendapat pekerjaan, apa-apa bentuk paksaan dan kongkongan yang tidak munasabah.
Begitu juga menjadikan seseorang bergantung kepada orang lain daripada sudut kewangan juga adalah salah satu bentuk keganasan di Filipina.
PENDERAAN fizikal adalah salah satu bentuk keganasan selain daripada emosi, mental, seksual dan ekonomi. – Gambar hiasan


Persekitaran
Mengikut kajian pakar-pakar dalam ilmu kemanusiaan, keganasan rumah tangga boleh berpunca daripada proses tumbesaran seseorang dalam keluarga yang terdedah dengan keganasan. Seorang anak yang membesar dalam suasana ibu atau bapa bersifat ganas, maka besar kemungkinan anak tersebut akan mewarisi sifat ganas itu.
Kurang atau tiada komunikasi yang berkesan antara pasangan suami isteri juga boleh menyebabkan berlaku keganasan secara psikologi dan emosi.
Dalam konteks lain, ketagihan arak sehingga mengganggu kehidupan keluarga juga adalah bentuk keganasan. Suami atau isteri yang mengalami masalah ini sudah tentu tidak dapat memberi tumpuan kepada pekerjaan dan rumah tangga. Kurangnya kemampuan mengawal kemarahan, konflik rumah tangga, hilang pekerjaan, kemiskinan dan juga sifat cemburu yang melampau dan kepercayaan bahawa melakukan keganasan sebagai cara untuk mengongkong atau mengawal seseorang antara sebab yang dikaitkan dengan keganasan.
Isu keganasan rumah tangga juga mendapat perhatian dunia dengan adanya Deklarasi Penghapusan Keganasan 1993 iaitu keganasan secara fizikal, seksual dan psikologi diiktiraf sebagai keganasan. Keganasan secara mental atau psikologi adalah lebih rumit berbanding bentuk keganasan lain kerana kesannya boleh dilihat secara fizikal. Penderaan psikologi lebih bersifat dalaman dan selalunya akan membawa kepada kemurungan dan sakit mental.
Penderaan secara psikologi termasuklah mengugut, menggunakan bahasa kasar, menghina, memutuskan silaturahim antara anggota keluarga, kawan atau menghalang seseorang daripada mengamalkan budaya mereka.
Mengugut untuk membunuh diri sendiri atau mencederakan orang lain, menghalang seseorang daripada mendapat hak jagaan anak dalam kes perceraian atau dalam konteks yang lain menghina seseorang kerana mandul atau tidak mendapat anak juga termasuk dalam kategori ini di peringkat global.
Jenayah
Di Malaysia, terdapat undang-undang khusus mengenai keganasan rumah tangga iaitu Akta Keganasan Rumah Tangga 1994. Akta ini dalam pindaan terbaharu 2012 mengiktiraf keganasan rumah tangga termasuk penderaan fizikal dan penderaan psikologi.
Tujuan akta ini adalah untuk menghapuskan keganasan rumah tangga, menyelesaikan perselisihan dan menyelamatkan institusi perkahwinan. Bagaimanapun, perlaksanaannya memerlukan sistem sokongan yang menyeluruh bagi mencapai maksud tersebut.
Menggunakan keganasan rumah tangga sebagai satu bentuk jenayah dalam konteks mengatakan bahawa perlakuan tersebut adalah salah juga boleh membantu dalam memberi kesedaran kepada masyarakat dan tidak hanya memberi penekanan kepada aspek menghukum.
Khidmat kaunseling atau nasihat yang berkesan boleh membantu seseorang membuang tabiat ganas selain pendekatan agama.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Talian NUR 15999

Hubungi Talian Nur (15999) oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Masyarakat untuk kes penderaan, kes keganasan rumahtangga, kes-kes domestik dan kebajikan yang lain termasuk penderaan wanita, pembantu rumah dan lain-lain.

Halaman