Rabu, 8 Oktober 2014

Nikahi wanita lebih usia

Oleh Mohd Rizal Abdullah dan Nazdy Harun
Sumber : Harian Metro - Hati
Tarikh : 01/10/2014


Cerita 1: Beristerikan wanita lebih tua mempunyai kelebihan tersendiri dalam membentuk rumah tangga yang bahagia. Itu pandangan dua suami yang memilih wanita lebih tua sebagai isteri ketika ditemui Harian Metro, baru-baru ini.
Seorang daripada mereka, Nazri Mamat, 37, berkata, berkahwin dengan wanita lebih berusia membentuk peribadinya menjadi semakin baik, selain dapat mengawal emosi terutama apabila berlaku pertengkaran. 
Dia yang mengahwini Tuan Nab Tuan Noh, 53, berkata, sikap isterinya yang luhur dan sentiasa mengambil berat dirinya antara faktor yang berjaya mengekalkan tali perkahwinan mereka sejak lapan tahun lalu. 

“Walaupun beza umur kami 16 tahun, itu bukan penghalang buat saya memilihnya sebagai isteri kerana apa lebih penting sikap­nya yang mengambil berat terhadap saya, budi pekertinya luhur dan mampu membimbing saya ke jalan lebih baik,” katanya.

Ketika ditemui di rumah­nya di Kampung Kuala Ibai, Kuala Terengganu, baru-baru ini, Nazri berkata, dia mengambil keputusan menikahi Tuan Nab pada 1 Januari 2006 selepas empat tahun berkenalan.
“Kami berkenalan selepas kali pertama berjumpa di Kuala Tembeling, Pahang. Ketika itu saya bekerja sebagai pemandu bot pelancong dan isteri datang bersama anaknya melancong di situ. 

“Saya ketika itu anak teruna manakala isteri adalah ibu tunggal yang pernah berkahwin dua kali.

“Rakan dan saudara-mara mengetahui jarak usia kami dan mereka tidak melontarkan tohmahan atau mengatakan sesuatu yang tidak sedap didengar, malah mereka memahami itulah jodoh kami,” katanya. 

Nazri berkata, dia juga gembira apabila ibu bapanya, Faridah Seman, 54, dan Mamat Sulaiman, 60, tidak menghalang hasratnya untuk berkahwin dengan Tuan Nab meskipun mengetahui jurang perbezaan umur mereka. 

“Ibu saya hanya kata, kalau saya mempunyai wang yang cukup, teruskan hasrat itu. Istimewanya berkahwin dengan wanita lebih berusia, ia dapat membimbing keperibadian saya menjadi lebih elok, selain dapat mengawal emosi. 

“Saya bersyukur dengan perkahwinan kami dan menerimanya dengan hati terbuka. Saya gembira kerana kami dapat mengekalkan tali perkahwinan yang sudah mencecah lapan tahun dan berharap dapat kekal sehingga akhir hayat,” katanya. 

Isterinya, Tuan Nab berkata, tempoh sebulan sebelum pernikahan mereka menyaksikan perhubungan mereka benar-benar serius dan membawa ke jenjang pelamin. 

“Sebelum itu, saya mendirikan rumah tangga pertama dan dikurniakan tujuh anak yang kini berusia 21 hingga 37 tahun, selain mempunyai 23 cucu berusia 16 hingga 11 tahun. 

“Suami pertama meninggal dunia manakala pada perkahwinan kedua, saya tidak dikurniakan anak. 

“Nazri dapat menerima keadaan saya itu tanpa sebarang masalah. Perasaan saya untuk berkahwin dengannya terbuka apabila melihat kesungguhannya untuk memperisterikan saya walaupun tahu keadaan saya yang jauh lebih tua daripadanya,” katanya yang berasal dari Pasir Putih, Kelantan. 

Menurutnya, perkahwinan mereka direstui kedua-dua keluarga, membolehkan mereka hidup bahagia walaupun belum dikurniakan anak. 

“Pada peringkat awal perkahwinan kami apabila kami berjalan bersama, ramai yang mengatakan suami itu anak saya, namun kini ramai yang sudah kenal dan mengetahui kami pasangan suami isteri. 

“Pengalaman perkahwinan sebelum ini banyak membantu saya dalam membentuk rumah tangga yang lebih harmoni sepanjang lapan tahun kami berkahwin,” katanya yang mencari rezeki dengan bekerja sebagai tukang urut manakala suaminya pemotong rumput. 


Cerita 2 

Satu lagi pasangan, Shahiran Harun,19, dan isterinya, Hidayah Tauran, 29, berkahwin sejak setahun lalu hasil perkenalan melalui laman sosial. 

Menetap di Subang, Selangor, Shahiran tidak pernah berasa kekok beristerikan wanita yang 10 tahun lebih tua dan pernah memegang status ibu tunggal serta mempunyai dua anak. 

Katanya, kematangan isterinya dalam rumah tangga membuatkannya lebih memahami tugas dan tanggungjawab sebagai suami. 

“Tidak wujud jurang umur antara kami. Kami saling memahami antara satu sama lain. Isteri banyak memberikan nasihat, malah membimbing saya dalam membentuk kebahagiaan rumah tangga. 

“Saya tidak pernah rasa rendah diri, malah dapat menjalani kehidupan dengan lebih baik,” katanya yang mempunyai seorang anak lelaki berusia empat bulan hasil perkahwinan dengan Hidayah. 

Menurutnya, memiliki pasangan lebih tua banyak kelebihannya antaranya dari segi layanan lebih mesra, penampilan isteri lebih kemas dan pengurusan keluarga yang tersusun. 

“Kami lebih gemar berbincang sekiranya ada antara kami yang terguris hati. Kalau isteri salah, saya akan tegur dan begitulah sebaliknya,” katanya. 

Ditanya mengenai detik pernikahannya, Shahiran mengakui berasa bimbang tidak mendapat restu keluarga pasangannya. 

“Kali pertama hendak berjumpa keluarga isteri, memang gementar. Takut mereka tidak menerima, tambahan pula saya baru berusia 18 tahun ketika itu. 

“Alhamdulillah, apabila diluahkan niat saya, keluarga isteri menerima dan mahu majlis dipercepatkan,” katanya. 

Hidayah pula berkata, apa yang berlaku adalah ketentuan Allah kerana dia tidak pernah terfikir berkahwin semula dengan lelaki jauh lebih muda daripadanya. 

“Itulah namanya jodoh, kegagalan perkahwinan pertama tidak bermakna gagal untuk selamanya. 

“Alhamdulillah, saya dipertemukan dengan lelaki yang sanggup menerima saya dan anak. 

“Walaupun dia masih muda, saya yakin dengan keikhlasannya untuk menerima saya,” katanya. 

Menurutnya, lebih menggembirakan apabila keluarga mereka sentiasa memberikan sokongan yang tidak berbelah-bahagi. 

“Keluarga menerima dengan hati terbuka kerana ia perkara yang baik. Mereka tidak pernah halang, malah memberikan sokongan sehinggalah sekarang,” katanya. 

“Tiada apa yang aneh sekiranya isteri lebih tua daripada suami, malah hubungan suami isteri itu kebiasaannya lebih bahagia,” kata penceramah terkenal, Mohammad Kazim Elias, atau lebih dikenali sebagai Ustaz Kazim. 

Menurutnya, mereka yang beristeri lebih tua tidak perlu rasa rendah diri ataupun malu kerana ia bukan perkara luar biasa. 

“Ramai golongan sekarang yang berkahwin dengan isteri lebih tua daripada mereka. Bukan setahun dua, malah ada yang belasan tahun,” katanya. 

Mohammad Kazim berkata, ibunya sendiri lebih tua daripada bapa tirinya dengan perbezaan umur 10 tahun dan mereka hidup dalam keadaan bahagia, malah dikurniakan tiga anak. 

“Selepas ayah kandung meninggal dunia, ibu berkahwin lain. Ketika itu umur ibu 40 tahun dan suaminya berusia 30 tahun. 

“Alhamdulillah, hubungan mereka kekal bahagia sehinggalah kedua-duanya meninggal dunia,” katanya. 

Ditanya pandangannya mengenai perkahwinan bahagia ibu dan bapa tirinya, Mohammad Kazim berkata, ibunya sentiasa menjaga penampilan diri walaupun umurnya sudah hampir mencecah setengah abad. 

“Walaupun berumur, ibu sentiasa menjaga pakaian dan pemakanannya agar nampak muda. Kalau bab makanan, ibu lebih mengutamakan makan ulam dan sayuran. 

“Faktor umur tidak banyak memberikan kesan, tetapi yang penting layanan seorang isteri kepada suaminya,” katanya. 

Menurutnya, wanita yang bersuami muda perlu memainkan peranan agar dapat terus menawan hati suami untuk kekal bahagia. 

“Bagi suami, janganlah pula mempertikaikan faktor umur pasangan kerana ia boleh mengguris perasaan isteri. Apa yang penting jangan lupakan tanggungjawab serta peranan suami dan isteri. Insya-Allah, kekal bahagia,” katanya.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Talian NUR 15999

Hubungi Talian Nur (15999) oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Masyarakat untuk kes penderaan, kes keganasan rumahtangga, kes-kes domestik dan kebajikan yang lain termasuk penderaan wanita, pembantu rumah dan lain-lain.

Halaman