Rabu, 8 Oktober 2014

Perkahwinan kanak-kanak

BAPA merupakan wali mujbir kepada anak perempuannya. Jika bapa sudah meninggal dunia atau hilang kelayakan menjadi wali, maka datuk pula menjadi wali mujbir kepada cucunya. Wali mujbir merujuk kepada bapa atau datuk yang diberi kuasa mutlak untuk menikahkan anak atau cucu perempuannya dengan mana-mana lelaki yang disukainya.

Isu yang akan dibincangkan dalam artikel kali ini ialah isu anak atau cucu perempuan dikahwinkan semasa masih kecil. Adakah apabila anak atau cucu perempuan itu sudah dewasa, mempunyai hak untuk menolak, kerana ketika dikahwinkan bukan dengan kehendaknya sendiri.

Para pakar perundangan Islam berbeza pendapat dalam isu. Adakah wali mempunyai hak pewalian ke atas kanak-kanak yang masih belum baligh? Ibnu Syubrumah dan Abu Bakar al-‘Asam berpendapat, tidak ada seorang pun mempunyai hak untuk menikahkan kanak-kanak yang masih belum baligh, sama ada kanak-kanak lelaki atau perempuan. Ini disebabkan Islam memberikan hak pewalian kepada wali untuk menikahkan orang yang di bawah tanggungjawabnya, untuk maslahat orang tersebut.


Hak ini tidak diperlukan oleh kanak-kanak, kerana mereka masih belum memerlukan untuk berkahwin. Tambahan pula objektif perkahwinan ialah sebagai saluran untuk keperluan seksual dan melahirkan zuriat. Bagi kanak-kanak, objektif ini tidak mampu mereka capai. Manakala perkahwinan Nabi Muhammad SAW dengan Aisyah yang ketika itu masih belum baligh, merupakan hukum yang khusus untuk baginda SAW.

Pendapat kedua dikemukakan oleh Ibnu Hazm az-Zohiri. Beliau berpendapat, bapa berhak menikahkan anak perempuannya yang masih dara dan belum baligh, tanpa perlu mendapatkan keizinan anak itu terlebih dahulu. Apabila anak itu sudah baligh, maka dia tidak mempunyai hak untuk menolak perkahwinan tersebut. Hujah yang dikemukakan oleh Ibnu Hazm ialah Abu Bakar menikahkan anaknya yang masih belum baligh iaitu Aisyah dengan Nabi Muhammad SAW. Hukum ini bukan khusus untuk Nabi SAW, kerana tidak ada bukti, sama ada daripada ayat al-Quran atau sunnah Nabi SAW yang menjelaskannya. 

Manakala anak perempuan yang masih belum baligh dan bapanya sudah tiada, maka wali yang lain tidak berhak untuk menikahkan anak itu.

Belum baligh

Majoriti pakar perundangan Islam yang terdiri daripada pakar bermazhab Hanafi, Maliki, Syafie dan Hanbali berpendapat, wali boleh menikahkan kanak-kanak yang masih belum baligh, sama ada lelaki atau perempuan. Hujah mereka:

1. Allah SWT menjelaskan dalam surah at-Talaq ayat 4 yang bermaksud: 
Dan perempuan-perempuan daripada kalangan kamu yang putus asa daripada kedatangan haid, jika kamu menaruh syak (terhadap tempoh idah mereka) maka idahnya ialah tiga bulan; dan (demikian) juga idah perempuan-perempuan yang tidak berhaid. 

Ayat ini menjelaskan, tempoh idah bagi perempuan yang tidak berhaid ialah tiga bulan. Kanak-kanak perempuan termasuk dalam kategori ini. Jika hukum berkaitan tempoh idah dinyatakan untuk mereka, maka sudah tentu perkahwinan mereka juga diperundangkan oleh Islam.

2. Perkahwinan kanak-kanak perempuan yang masih belum baligh sudah berlaku pada zaman Nabi Muhammad SAW dan diikuti oleh para sahabat. Oleh itu, ia diperundangkan oleh Islam. 

Contohnya, Abu Bakar a.s menikahkan anaknya; Aisyah, yang masih belum baligh dengan Nabi Muhammad SAW. Hukum ini bukan khusus untuk baginda SAW, kerana ramai sahabat yang melakukannya. 

Athram melaporkan, Zubair menikahkan anak perempuannya yang baru lahir dengan Qudamah bin Maz’un. Ali bin Abu Talib menikahkan anak perempuannya, Ummu Kalthum, yang masih kecil dengan Umar bin Khattab. Abdullah bin Umar menikahkan anak perempuannya yang belum baligh dengan Urwah bin Zubair.

3. Wali juga dibenarkan untuk menikahkan anak lelaki yang masih belum baligh. Hujahnya, Abdullah bin Umar menikahkan anak lelakinya yang masih kecil. Urwah bin Zubair juga pernah menikahkan anak saudara perempuannya yang belum baligh dengan anak saudara lelakinya yang juga belum baligh (mereka berdua adalah sepupu).

Dr. Abdul Karim Zaidan menjelaskan dalam bukunya yang berjudul, Mufassal fi ahkam al-mar’ah, pendapat ketiga lebih tepat iaitu wali dibenarkan menikahkan kanak-kanak lelaki dan perempuan yang masih belum baligh yang berada di bawah tanggungjawabnya. Ini disebabkan hujah yang dikemukakan oleh majoriti pakar perundangan Islam lebih kuat berbanding pendapat pertama dan kedua.

Hak, tanggungjawab

Namun, menurut Dr. Zaidan, walaupun wali dibenarkan untuk menikahkan kanak-kanak yang di bawah tanggungjawabnya yang masih belum baligh dengan sesiapa yang dia suka, namun ia perlu dilaksanakan berdasarkan keperluan yang mendesak. Lebih utama kanak-kanak itu tidak dinikahkan, jika tidak ada sebarang keperluan. Rasionalnya, perkahwinan mengandungi hak dan tanggungjawab. Oleh itu, jika tidak ada apa-apa keperluan, maka tidak perlu bapa menanggungkan tanggungjawab yang berat atas anaknya itu. Tambahan pula, bapa tidak tahu, apabila anak itu sudah baligh, adakah dia bersetuju dengan perkahwinan itu ataupun tidak.

Imam Syafie berkata dalam bukunya yang berjudul, al-Um, “Bapa dibenarkan untuk menikahkan anak perempuannya yang masih dara dan belum baligh, jika perkahwinan itu mendatangkan manfaat untuknya. Namun, jika perkahwinan itu mendatangkan mudarat kepada anak itu, maka tidak dibenarkan. Begitu juga hukumnya berkaitan anak lelaki yang masih belum baligh." 

Beliau menjelaskan lagi, “Bapa tidak dibenarkan menikahkan anaknya yang masih belum baligh dengan pasangan yang tidak sekufu (sepadan), kerana ini merendahkan ekstim diri anak itu."

Jika kita bersetuju dengan pendapat majoriti pakar yang mengatakan wali boleh menikahkan kanak-kanak yang masih belum baligh, maka timbul persoalan, adakah kanak-kanak itu mempunyai hak untuk menolak perkahwinan tersebut apabila dia sudah baligh nanti? 

Imam Syafie menjelaskan, “Sekiranya bapa menikahkan anak perempuannya yang masih belum baligh dengan lelaki yang sepadan, kemudian berlaku sesuatu pada lelaki itu yang boleh menghilangkan sepadan itu, maka bapa tidak boleh memisahkan mereka berdua, sehinggalah anak perempuannya itu baligh. Apabila anak perempuan itu sudah baligh, maka dia diberikan hak untuk memilih. Sama ada hendak meneruskan perkahwinan tersebut atau membubarkannya."

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Talian NUR 15999

Hubungi Talian Nur (15999) oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Masyarakat untuk kes penderaan, kes keganasan rumahtangga, kes-kes domestik dan kebajikan yang lain termasuk penderaan wanita, pembantu rumah dan lain-lain.

Halaman