Saya buat solat sunat tahajud, hajat dan istikharah berterusan selama dua minggu dan berdoa meminta Allah SWT, jika lelaki itu jodoh saya dan seorang yang baik serta tidak ada niat jahat terhadap saya. Sepanjang saya solat istikharah, saya ada bermimpi. Pada malam pertama, saya lihat ramai orang Pakistan. Pada malam kedua, dia datang bersama dengan seorang budak lelaki ke rumah saya. Malam seterusnya, tidak ada apa-apa yang berlaku tetapi pada malam terakhir, dia datang dengan enam kawannya ke rumah saya untuk berjumpa dengan ibu saya mengatakan hasrat untuk berkahwin dengan saya. Saya ingin bertanya dengan ustaz, apakah maksud mimpi ini?
Nora, Kelantan

UKE: Disunatkan kepada kita untuk melakukan solat sunat istikharah jika ingin melakukan sesuatu yang diharuskan oleh syarak. Apabila ingin melakukan solat sunat istikharah, hendaklah dipastikan hati dan jiwa tidak memihak atau berharap kepada sesuatu atau seseorang melainkan hanya mengharapkan petunjuk daripada Allah SWT semata-mata.

Berdasarkan soalan anda, saya dapat merumuskan bahawa anda telah menetapkan hati anda sebelum anda melakukan solat sunat istikharah. Saya mengesyorkan kepada anda supaya melakukannya sekali lagi dan sukalah saya ingatkan bahawa jawapan kepada solat sunat istikharah bukannya datang daripada mimpi semata-mata. Ia juga boleh datang daripada nasihat orang lain, petunjuk di hadapan mata dan perasaan hati yang tawar atau gembira.