Sumber : Utusan Malaysia - Mahkamah
KUALA LUMPUR 30 Sept. - Penerbit dan pelakon, A. Aida hari ini memfailkan saman penghutang penghakiman terhadap bekas suaminya, Deputi Supritendan (DSP) Suffian Sulaiman kerana didakwa gagal membayar nafkah anak lelaki tunggal mereka sejak bercerai tahun lalu.
Aida memfailkan saman itu mengikut Seksyen 176 Akta Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1998 di kaunter pendaftaran Mahkamah Syariah di sini.
Aida atau nama sebenarnya, Zaidah Awang, 42, diwakili peguam syarie Zulkifli Che Yong.
Sebutan kes itu kemudian ditetapkan 16 Oktober ini di Mahkamah Rendah Syariah.
Sementara itu ketika ditemui pemberita setelah selesai proses berkenaan, Aida berkata, tindakan itu diambil kerana terkilan dengan sikap Suffian yang didakwa tidak membayar nafkah sebanyak RM300 sebulan dan yuran persekolahan RM1,000 sebulan kepada anak mereka Muhammad Rahul, 6, yang bersekolah di sekolah swasta.
Tegas Aida, bekas suaminya berkemampuan untuk menanggung perbelanjaan anaknya itu.
"Itu adalah hak anak dan saya akan berjuang untuk haknya kerana mahkamah telah beri perintah jadi dia kena bayar. Kalau dia tak nak bayar sekarang, fikirlah sendiri kesannya di 'dunia satu lagi'," katanya.
Kata Aida, sejak bercerai sehinggalah sekarang mereka tidak berhubungan namun Suffian akan menghubungi pembantu rumahnya berhubung hal anak mereka.
Dia juga mendakwa, Suffian yang bertugas sebagai Ketua Unit Perhubungan Korporat, Jabatan Logistik, Bukit Aman hanya menemui anak mereka sekali dalam tempoh dua atau tiga bulan.
Aida juga memberitahu, peguamnya telah menghubungi peguam yang mewakili Suffian untuk memaklumkan mengenai saman itu.
Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai jodohnya, pemilik syarikat produksi A. Aida Production itu berkata, buat masa ini dia tidak terfikir untuk berkahwin lagi dan bahagia dengan kehidupan sekarang.
"Saya sibuk dengan kerja ditambah tugas sebagai Naib Presiden Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM)," katanya.
Penerbit drama popular Halimah Jongang itu bernikah dengan Suffian pada 20 April 2007 namun mereka bercerai dengan talak dua pada 2 Mei tahun lalu.
Mahkamah merekodkan kedua-dua pihak bersetuju menjaga Muhammad Rahul bersama namun hak jagaan kekal diberikan kepada Aida manakala Suffian dibenarkan hak melawat dua kali sebulan.
Mahkamah juga memerintahkan Suffian membayar idah RM3,000 kepada Aida selaku plaintif dan nafkah anak RM300 sebulan selain membenarkan permohonan plaintif memberi sebuah rumah yang didaftarkan bersama kepada anak lelaki mereka.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan