Sumber : Sinar Harian
Tarikh : 16/10/2014
SHAH ALAM - Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam menetapkan 4 Disember depan untuk pihak plaintif, Nur Liyana Abdul Manan menghantar laporan penyampaian secara ganti.
Tarikh tersebut ditetapkan oleh Hakim Syarie Azmi Aziz setelah defendan Romie Razin Adilha Abd Jais, 34, gagal hadir ke mahkamah pada sebutan kali pertama, hari ini.
Berikutan itu peguam, Siti Nur Aira Mat Joha yang mewakili Nur Liyana, 29 memohon tarikh baru untuk laporan penyampaian secara ganti atau tampalan.
Menurutnya notis saman gagal diserahkan kepada defendan meskipun telah membuat serahan sebanyak tiga kali.
“Kami telah cuba membuat serahan notis tersebut pada 27 September lalu jam 4.30 petang di rumah ibunya yang terletak di Taman Sri Andalas, Klang.
“Selain itu pada 8 dan 10 Oktober lalu, notis tersebut turut gagal diserahkan di pejabat defendan yang terletak di Seksyen 13, Shah Alam, Selangor,” katanya.
Menurutnya, kegagalan tersebut disebabkan Romie tidak berada di kedua-dua lokasi pada tarikh berkenaan.
Nurliyana memfailkan penceraian secara talak pada 15 September lalu mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003.
Rumah tangga Nur Liyana yang juga seorang ahli perniagaan menjadi tumpuan ramai selepas suaminya didakwa menjalinkan hubungan dengan seorang pelakon muda, Hanez Suraya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan