Rabu, 8 Oktober 2014

Situasi kes cerai melalui fasakh

Bersama PROF. DR. NAJIBAH MOHD. ZIN
najibah@iium.edu.my

Sumber : Kosmo - Varia
Tarikh : 03/10/2014




SEBELUM ini, perbincangan terarah kepada perincian alasan-alasan yang terdapat dalam undang-undang syariah di Malaysia bagi membolehkan perceraian dilakukan menerusi fasakh.
Kali ini, kita akan melihat pula serba sedikit situasi-situasi kes cerai melalui fasakh.
Selepas mahkamah mendengar keterangan pihak kena tuntut dan saksi-saksinya, ia diminta bersumpah istidzar dan mahkamah mensabitkan tuntutan fasakh isteri.
Selain tidak memberi nafkah yang merupakan perkara asasi dalam kehidupan, tuntutan fasakh turut diberikan jika si suami membuat ugutan bunuh atau mencederakan.
Isteri juga perlu mengambil tindakan proaktif untuk membuat tuntutan fasakh jika suami menghilangkan diri dan tidak dapat dikesan, tidak meninggalkan sebarang harta kepada isterinya serta tidak menyediakan sebarang nafkah yang menyebabkan kesukaran bagi pihak isteri.

Poligami
Undang-undang turut membenarkan isteri dalam perkahwinan poligami untuk memohon fasakh jika pihak suami berkahwin lain tanpa pengetahuannya atau membuat pengakuan bujang semasa ingin berkahwin seorang lagi. Akibat daripada perbuatan itu, pihak isteri mengalami tekanan, sakit dan jiwanya menderita.
Selain itu, suami yang tidak berlaku adil dalam memberi nafkah dan giliran bermalam, berfoya-foya, melupuskan harta isteri.
Keadaan itu memberikan kuasa kepada mahkamah untuk mengeluarkan perintah perceraian fasakh. Ini kerana perbuatan suami yang tidak melakukan penggiliran kepada isterinya mengikut kehendak pergaulan suami isteri iaitu bil ma’ruf wal mawaddah yang tersebut di dalam al-Quran iaitu bertentangan dengan hukum syarak dan menyebabkan isteri menderita serta kesukaran dalam meneruskan hidup bersama suaminya.
Di samping itu, perlakuan dera yang dilakukan oleh pihak suami atau isteri secara mental dan emosi diterima sebagai dharar. Dharar ialah bahaya yang menimpa diri mahupun harta benda atau segala bentuk bahaya serta penganiayaan dalam diri ataupun kepada orang lain.
Terdapat juga kes yang boleh dijadikan renungan bersama mengenai hubungan perkahwinan yang tidak mampan.
Contohnya, pihak isteri memohon kepada mahkamah supaya pernikahannya dengan defendan atau suami difasakhkan dengan alasan suami tidak menunaikan tanggungjawab hubungan kelamin selama tempoh melebihi satu tahun, berlakunya syiqaq serta wujudnya penganiayaan secara tidak langsung kedua-dua pihak.
Pihak isteri banyak membangkitkan kegagalan defendan memberi nafkah batin (hubungan seks) kepada beliau.
Plaintif mendakwa sudah beberapa tahun mereka tidak menjalin hubungan kelamin dan sudah tidak tidur bersama kerana masing-masing membawa haluan, walaupun masih tinggal serumah.
Keadaan seperti ini menyebabkan rumah tangga tiada mawaddah dan rahmah lagi.
Dalam satu kes, defendan dalam kenyataan mengaku bahawa beliau tidak menjalinkan hubungan kelamin lebih daripada lima tahun, namun beliau menyatakan ada alasan yang tidak dinyatakan dalam keterangannya.
Alasan sedemikian bukan asing dalam masyarakat hari ini walaupun mereka masih tinggal sebumbung. Dalam keadaan ini, mahkamah terpaksa membenarkan fasakh dengan alasan bahawa adalah menjadi kewajipan suami memuliakan isteri dan meletakkan mereka kepada kedudukannya serta tidak menyakiti dengan perkataan yang keji.
Apa yang ingin kupas di sini ialah salah satu tujuan mendirikan rumah tangga adalah untuk mengadakan hubungan kelamin yang diredhai Allah.
Tiada alasan suami atau isteri untuk menafikan hak masing-masing dan ia perlu diteruskan selagi mampu dan tidak ada alasan-alasan syarie atau masalah kesihatan yang menghalangnya.
Batas kemanusiaan
Terdapat juga kes yang mana alasannya agak melampaui batas kemanusiaan seperti defendan mempunyai sikap panas baran dan selalu menyebabkan kesakitan kepada plaintif atau anak-anaknya secara fizikal serta mental.
Selain daripada alasan di atas, plaintif juga menuduh bahawa defendan merupakan seorang kaki judi, mencabul kehormatan adik perempuannya apabila dia datang menolong plaintif semasa beliau melahirkan anak, melakukan hubungan kelamin dengan plaintif ketika dalam keadaan haid dan beberapa kali melakukan hubungan kelamin melalui dubur serta defendan tidak baik dengan jiran dan tidak membenarkan plaintif bergaul dengan mereka.
Disebabkan sikap buruk defendan, plaintif memohon pembubaran perkahwinan. Defendan dalam pembelaannya mengaku tuduhan tersebut dan telah bersumpah untuk berubah sikap dan seterusnya menyatakan bahawa sikap panas barannya adalah disebabkan oleh kemalangan yang dialami sebanyak tiga kali.
Plaintif melalui jawapan balasnya menafikan bahawa defendan telah membuang sikap buruknya dengan alasan bahawa dia mengulangi sikap buruknya seperti mana yang dinyatakan di atas. Mahkamah membenarkan permohonan kerana isteri perlu dilindungi daripada sebarang kemudaratan sama ada fizikal atau mental dan sikap panas baran jika tidak dikawal akan menyebabkan kemudaratan kepada plaintif dan anak-anak.
Kes-kes yang telah dibincangkan adalah beberapa gambaran tuntutan fasakh yang telah di bawa ke mahkamah dan telah diputuskan setelah meneliti keterangan yang diberikan.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Talian NUR 15999

Hubungi Talian Nur (15999) oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Masyarakat untuk kes penderaan, kes keganasan rumahtangga, kes-kes domestik dan kebajikan yang lain termasuk penderaan wanita, pembantu rumah dan lain-lain.

Halaman