Tarikh : 22/10/2014
KUALA LUMPUR 21 Okt. – Mahkamah Tinggi Syariah di sini hari ini menolak permohonan pelakon dan pengarah drama komedi, Zaid Zahari untuk mengetepikan perintah ex-parte (sebelah pihak) hak jagaan sementara anak perempuannya yang diperoleh isterinya sejak 31 Mac lalu.
Hakim Syarie Muhammad Abdul Karim Wahab membuat keputusan itu setelah meneliti notis permohonan, afidavit dan hujah bertulis kedua-dua pihak dengan mengekalkan hak penjagaan anak (hadanah) sementara anak pasangan terbabit kepada Anita Hanoum Abdul Kudus, 33, sehingga kes itu selesai.
Mahkamah juga menetapkan 20 November ini perbicaraan terhadap Zaid yang didakwa melanggar perintah mahkamah berhubung hak penjagaan sementara tersebut kerana tidak memulangkan semula anaknya, Anna Alycia, 6, kepada Anita Hanoum selepas mengambilnya pada 30 Mei lalu.
Terdahulu, peguam syarie Ahmad Badri Hashim yang mewakili Anita Hanoum memberitahu, Zaid akhirnya telah menyerahkan semula anaknya kepada isterinya dan kedua-dua pihak bersetuju untuk cuba menyelesaikan kes itu secara baik di luar mahkamah.
Pada 23 Julai lalu, Zaid telah mendapat perintah hak jagaan ke atas anaknya daripada Mahkamah Majistret Ampang setelah memfailkan permohonan melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) setelah mendakwa anaknya didera oleh isterinya.
Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi Shah Alam semalam membatalkan keputusan Mahkamah Majistret itu atas alasan Artikel 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan bahawa hal ehwal penjagaan anak hanya boleh diputuskan oleh mahkamah syariah.
Zaid yang merupakan pengarah rancangan komedi ‘Alamak’ dan pelakon ‘Cakap Melayulah!’ yang hadir bersama peguam syarie, Boestaman Ahmad ketika ditemui di luar mahkamah memberitahu, dia menghormati keputusan mahkamah yang mengekalkan hak penjagaan sementara kepada isterinya.
“Saya akur dan terima keputusan mahkamah. Kami juga akan cuba menyelesaikan kes ini secara baik di luar mahkamah kerana selepas ini saya dan isteri masih ada kes hadanah yang perlu diteruskan,” katanya.
Zaid dan Anita Hanoum berkahwin pada 18 Januari 2008, tetapi kini dalam proses untuk bercerai secara fasakh.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan