Rabu, 1 Oktober 2014

Aidil didakwa tidak tinggalkan wang simpanan, barang berharga sebagai nafkah

Sumber : Utusan Malaysia - Mahkamah

SHAH ALAM 30 Sept. - Ketua pasukan bola sepak kebangsaan, Mohd. Aidil Zafuan Abd. Razak tidak meninggalkan sebarang wang simpanan atau barang berharga untuk digunakan sebagai nafkah oleh bekas isterinya yang juga pelakon, Rita Rudaini sejak dia keluar dari rumah kelamin mereka pada Januari 2012.

Menurut Rita, bermula tarikh tersebut sehingga perceraian mereka pada Ogos 2013 (selama 20 bulan) bekas suaminya itu tidak pernah menghantar wakil untuk membayar nafkah bagi pihaknya.

"Permintaan saya secara baik di luar mahkamah untuk dia (Mohd. Aidil) menunaikan tanggungjawabnya tidak diendahkannya," ujar Rita.


Rita berkata demikian menerusi afidavit keterangan yang diikrarnya di hadapan Hakim Syarie, Mawardi Che Man semasa prosiding perbicaraan tuntutan nafkah tertunggak isteri berjumlah RM102,000 di Mahkamah Tinggi Syariah di sini hari ini.

Tuntutan untuk tempoh 20 bulan itu meliputi perbelanjaan makan minum berjumlah RM30,000, bil utiliti (RM12,000), pakaian dan keperluan diri (RM10,000), kos pengangkutan (RM20,000) dan sewa rumah berjumlah RM30,000.

Rita, 38, selaku plaintif memberitahu, sepanjang tempoh berkenaan dia terpaksa menggunakan duitnya sendiri untuk membayar semua perbelanjaan tersebut.

Dia juga menjelaskan perbelanjaan makan minum sebanyak RM1,500 sebulan bukanlah jumlah yang tinggi kerana biasa dibelanjakannya sejak awal perkahwinan dan tidak pernah dibantah oleh Mohd. Aidil (defendan).

Malah Rita yakin Mohd. Aidil mampu membayar jumlah kesemua tuntutan itu kerana defendan meraih pendapatan tinggi sebagai pemain profesional.

"Dia pernah memberitahu saya, dia memperoleh pendapatan lebih RM50,000 sebulan sebagai pemain pasukan Johor Darul Takzim (JDT) dan pemain kebangsaan serta berpendapatan RM25,000 sebulan semasa bermain untuk pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM)," katanya.

Rita atau nama sebenarnya Rita Rudaini Mokhtar menafikan Mohd. Aidil pernah membayar nafkah sepanjang tempoh itu sebaliknya menjelaskan terdapat beberapa pembayaran yang dibuat defendan untuk anaknya.

"Perbelanjaan anak itu juga tidak mencukupi sehingga saya terpaksa menanggung kekurangan dan membuat tuntutan nafkah anak-anak di mahkamah," katanya.

Mahkamah kemudian menetapkan 20 dan 27 Januari tahun depan untuk pihak defendan yang diwakili peguam syarie, Roshdan Sujak Rafie menyoal balas Rita.

Rita yang diwakili peguam syarie Datuk Mohd. Zaidi Mohd. Zain memfailkan tuntutan itu pada awal Januari lalu.

Rita dan Mohd. Aidil, 27, bernikah secara rahsia pada Februari 2008 di Songkhla, Thailand dan sah bercerai di Mahkamah Rendah Syariah Seremban, Negeri Sembilan pada September tahun lalu.

Mereka dikurniakan dua anak lelaki, Airit Rayyan Rizqin, 5, dan Airit Qaqa Arjuna, 3.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Talian NUR 15999

Hubungi Talian Nur (15999) oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Masyarakat untuk kes penderaan, kes keganasan rumahtangga, kes-kes domestik dan kebajikan yang lain termasuk penderaan wanita, pembantu rumah dan lain-lain.

Halaman