Oleh : DR. ZULKIFLI MOHAMED AL-BAKRI
Sumber : Utusan Malaysia - Bicara Agama
Tarikh : 10/10/2014
KITA pernah dikejutkan dengan peristiwa sedih yang berlaku kepada kapal terbang negara MH17 dan sedikit terubat apabila berjaya membawa pulang jenazah penumpang pulang ke tanah air pada 22 ogos lalu bersamaan 26 Syawal 1435 dengan penuh upacara istiadat dan penghormatan.
Kemudian timbul sedikit isu, adakah umat Islam boleh melakukan Perkabungan Negara atau disebut Malaysia Berkabung terhadap mangsa MH17 itu? Dikatakan pada tarikh tersebut diberi nama sebagai Hari Perkabungan Negara, bersempena dengan ketibaan jenazah mangsa tragedi pesawat MH17 dari Amsterdam ke Malaysia itu yang bertujuan mengzahirkan rasa dukacita seluruh rakyat Malaysia ke atas mangsa tragedi.
Justeru, pada kali ini isu Panduan Apabila Ditimpa Musibah cuba dikemukakan.
Firman Allah SWT yang bermaksud: Orang-orang kafir daripada Ahli kitab, dan juga daripada orang-orang musyrik, tidak suka kiranya diturunkan kepada kamu sedikit dari kebaikan (atau wahyu) dari Tuhan kamu Padahal Allah berhak menentukan rahmat-Nya kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya; dan Allah (jualah Yang) mempunyai limpah kurnia yang amat besar. Apa sahaja ayat keterangan yang Kami mansuhkan (batalkan), atau yang Kami tinggalkan (atau tangguhkan), Kami datangkan ganti yang lebih baik daripadanya, atau yang sebanding dengannya. Tidakkah engkau mengetahui bahawasanya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu? Tidakkah engkau mengetahui bahawa sesungguhnya Allah Yang Menguasai segala alam langit dan bumi? Dan tiadalah bagi kamu, selain Allah sesiapapun yang dapat melindungi dan yang dapat memberi pertolongan. (al-Baqarah: 105-107)
Berdasarkan ayat ini jelas menunjukkan ujian Allah pasti berlaku kepada umat manusia.
Justeru, di sini diterangkan garis panduan yang sepatutnya wujud pada seseorang apabila ditimpa musibah. Antaranya:
- Mengucapkan istirja
- Bersabar
- Menyabarkan kepada seseorang
- Reda dengan qada dan qadar yang termasuk dalam Rukun Iman.
- Berdoa kepada Allah SWT seperti yang bernaksud: Ya Allah berilah pahala atas musibahku ini dan gantikanlah bagiku lebih baik daripada itu. (riwayat Muslim (918)
- Memberi pertolongan dan bantuan selaras dengan firman Allah SWT yang bermaksud: Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan dalan perkara kebajikan dan takwa. (al-Maidah: 2)
- Memberi bantuan makanan kepada mereka seperti mana yang dianjurkan oleh Nabi SAW yang bermaksud: Sediakan untuk keluarga Jafar makanan kerana mereka telah didatangkan berita yang menyibukan mereka." (riwayat Ahmad (3/194)
- Banyakkan zikrullah kerana ia menenangkan jiwa. Firman Allah SWT yang bermaksud: Ketahuilah dengan zikrullah" itu, tenang tenteramlah hati manusia. (al-Rad: 28)
- Bertakwa. Firman Allah SWT yang bermaksud: Dan sesiapa yang bertaqwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (daripada segala perkara yang menyusahkannya) serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya. (al-Talaq: 2-3)
- Bertawakal kepada Allah. Firman Allah SWT yang bermaksud: Dan (Ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). (al-Talaq: 3)
- Banyakkan beristighfar. Firman Allah SWT yang bermaksuda: Sehingga aku berkata (kepada mereka): `Pohonkanlah ampun kepada Tuhan kamu, sesungguhnya adalah Ia Maha Pengampun. (Nuh: 10)
- Banyakkan menyebut tahlil. Hal ini berdasarkan firman Allah SWT yang bermaksud: Sesungguhnya tiada Tuhan (yang dapat menolong) melainkan Engkau (ya Allah)! Maha Suci Engkau (daripada melakukan aniaya, tolongkanlah daku)! Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang yang menganiaya diri sendiri. (al-Anbiya: 87)
- Banyak melakukan kebaikan dan amal soleh. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: Melakukan amalan kebajikan dan makruf dapat menghindar pelbagai kejahatan." (riwayat al-Tabarani)
- Banyakkan zikir dengan hauqalah yang bermaksud: Tiada upaya dan kuasa sebenarnya kecuali dengan Allah."
- Banyakkan solat sunat dan munajat kepada-Nya. Firman Allah SWT yang bermaksud: Dan mintalah pertolongan dengan sabar dan mendirikan solat. (al- Baqarah: 45)
- Melazimi sedekah. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: Sesungguhnya sedekah secara sembunyi dapat memadam kemurkaan Tuhan." (riwayat al- Tabarani)
- Banyak mengucapakan Hasbiyallah. Daripada Shaddad bin Aus r.a, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Cukuplah bagiku Allah dan Dialah sebaik-baik wakil, nescaya aman dari setiap yang takut." - riwayat al-Nasaie (10387), al-Baihaqi (10/181) al-Dailami dalam Firdaus (2/134) no. (2688). Hadis ini didaifkan oleh al-Manawi dalam Fi al-Qadi (3/383) no. (3715))
Semoga garis panduan ini menjadikan kita benar-benar memahami agama Islam dan dapat menghayatinya mengikut Syariat Islam bersumberkan Nas Ilahi dan Hadyu Nabawi.
Artikel-artikel yang dijumpai oleh pemilik blog ini yang berkaitan dengan isu-isu Mahkamah Syariah yang disiarkan di sini untuk tujuan bacaan sendiri, rujukan bagi yang memerlukan maklumat dan juga renungan kita bersama. Semoga ianya bermanfaat, insyaAllah!
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Talian NUR 15999
Hubungi Talian Nur (15999) oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Masyarakat untuk kes penderaan, kes keganasan rumahtangga, kes-kes domestik dan kebajikan yang lain termasuk penderaan wanita, pembantu rumah dan lain-lain.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan