mahaizura@hmetro.com.my
Sumber : Harian Metro
Tarikh : 30/10/2014
Kuala Lumpur: Trend perceraian di Malaysia semakin meningkat dalam tempoh lima tahun sejak 2007 menunjukkan ia perlu ditangani dengan serius oleh semua pihak.
Menurut Timbalan Ketua Pengarah Dasar Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Dr Anjli Panalal Doshi, dapatan kajian yang dilakukan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Jabatan Perangkaan Malaysia itu sehingga 2012 menunjukkan berlaku peningkatan kes perceraian setiap tahun.
Katanya, berdasarkan kajian itu, jumlah kes perceraian bagi pasangan Muslim saja pada 2007 ialah 18,592 diikuti 20,206 (2008), 24,274 (2009), 24,226 (2010), 23,200 (2011) dan 24,886 (2012).
“Manakala peratusan usia antara 35 hingga 44 tahun adalah paling tinggi bercerai iaitu 31.4 peratus berbanding kumpulan usia lain berdasarkan Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2010.
“Kebiasaannya punca perceraian berdasarkan kajian 10 tahun sekali yang pihak kami lakukan ialah tiada persefahaman dan tidak bertanggungjawab malah, berdasarkan satu kajian di Barat menunjukkan 70 peratus orang tidak mendapat pelukan dalam hidup mereka,” katanya kepada pemberita selepas Forum ‘10 Saat Pelukan Keluarga’ di Bangunan LPPKN di sini, semalam.
Barisan panel dalam forum itu ialah Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Pengasuhan Positif Datuk Dr Zulkifli Ismail, Kolumnis Smart Parents Network Sdn Bhd Zaid Mohamad dan Panel Program Tanyalah Ustazah TV9 dan Tiga Ustazah Astro Oasis Ustazah Noor Laila Aniza Zakaria.
Dr Anjli berkata, atas dasar tanggungjawab untuk memberi kesedaran kepada orang ramai, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menerusi LPPKN mengadakan inisiatif melancarkan kempen ‘10 Saat Pelukan Keluarga’ pada Ahad ini sebagai memupuk budaya meluangkan masa berkualiti bersama keluarga.
“Pada hari berkenaan setiap rakyat Malaysia digalakkan memeluk anak dan pasangan masing-masing sekurang-kurangnya dalam tempoh 10 saat di rumah.
“Kami berharap kempen ini akan menjadi budaya yang mengingatkan setiap lapisan masyarakat mengenai amalan utamakan keluarga dalam pelbagai perspektif kerana kasih sayang adalah tunjang kesejahteraan negara,” katanya.
Sementara itu, Zaid berkata, kempen ini adalah langkah proaktif untuk mencegah masalah seperti keretakan dalam hubungan kekeluargaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan