Rabu, 1 Oktober 2014

Jangan impikan bahagia

SERING kita dengar setiap perbuatan yang kita lakukan di dunia ini sekarang akan dibayar tunai oleh Tuhan. Pun demikian, manusia tidak pernah gentar atau takut dengan hukuman yang dijanjikan. Mungkin mereka beranggapan apa dilakukan betul dan Tuhan tidak akan menghukum mereka.

Namun siapa kita untuk mengatakan bahawa tindak tanduk kita betul. Walaupun di sudut hati terdapat perasaan bersalah atas perbuatan yang kita lakukan namun kerana nafsu ia diketepikan.

Farah (bukan nama sebenar) dalam sepucuk surat yang dihantar kepada saya menyatakan kekesalannya atas perbuatan yang pernah dilakukan kira-kira 20 tahun lalu. Walaupun terasa berat di hati untuk membuka pekung di dada namun katanya dia perlu juga menulis surat tersebut supaya boleh dijadikan pengajaran oleh para gadis yang sanggup menjalin hubungan dengan suami orang demi mendapatkan kesenangan hidup.



Menurut Farah yang berasal dari sebuah negeri di utara tanah air, dia datang ke ibu negara untuk mencari pekerjaan. Walaupun berasal daripada keluarga senang dan dia sendiri merupakan anak bongsu namun keinginan untuk bekerja di Kuala Lumpur berkobar-kobar.

Katanya, seperti gadis-gadis lain, dia juga teringin memakai pakaian yang cantik, kasut bertumit tinggi dan bergaya ke pejabat. Semua itu dapat dimilikinya setelah mendapat pekerjaan di sebuah firma milik usahawan Timur Tengah.

Di Kuala Lumpur, Farah menyewa rumah bersama kawan-kawan yang seramai enam orang. Jika di kampung dia bertudung tetapi setelah bekerja di Kuala Lumpur, tudung bukan lagi berada di atas kepalanya tetapi hanya tersangkut di dalam almari.

“Di pejabat, saya berkenalan dengan seorang lelaki yang merupakan salah seorang pengurus di situ. Walaupun saya tahu dia sudah berkahwin dan mempunyai lima orang anak namun saya amat tertarik padanya kerana sikapnya yang pandai mengambil hati ditambah dengan kata-katanya yang manis.

“Lagi pun dia amat memewahkan saya dengan barangan dan pakaian yang cantik serta berjenama. Walaupun pada mulanya saya hanya sekadar jinak-jinak burung tetapi lama-kelamaan hati saya semakin berjaya dicurinya. Saya semakin sukakannya dan hubungan kami menjadi semakin rapat.

“Sejujurnya sebelum berkawan dengan suami orang ini yang kini sudah menjadi suami , saya telah mempunyai seorang teman lelaki dan kami pernah bercadang untuk berkahwin. Bagaimanapun saya memutuskan hubungan dengan teman lelaki saya ini kerana saya berasa lebih seronok dan gembira dihadiahkan dengan bermacam-macam barang yang pernah saya inginkan sebelum ini oleh suami orang ini," kata Farah.

Tambahnya, walaupun mengetahui kekasihnya itu telah berkahwin dan mempunyai anak-anak, namun hatinya tetap mahukan lelaki itu. Kekasihnya itu juga sanggup menceraikan isterinya untuk berkahwin dengannya. Beliau sedikit pun tidak berasa sedih mengenangkan anak-anak kekasihnya itu yang masih kecil dan isteri kekasihnya yang tidak bekerja.

Bagi Farah, dia tidak mahu memikirkan hal lain asalkan hidupnya senang. Ibu bapanya termasuk kakak dan abang sudah puas menasihati supaya meninggalkan kekasih yang juga suami orang. Oleh kerana halangan keluarga, mereka bernikah di tempat lain.

Selepas berkahwin, ujar Farah, suaminya berhenti kerja di firma tersebut dan mencari pekerjaan lain. Mereka turut berpindah ke negeri lain di Malaysia juga.

Bagaimanapun suaminya hanya bertahan selama beberapa bulan sahaja dan kemudian mencari pekerjaan lain pula. Mujur suaminya mudah mendapat kerja kerana kebolehannya berkomunikasi dan mempunyai kepakaran tertentu.

“Saya pula telah berhenti kerja kerana mengikut suami. Tetapi apa yang saya lihat, suami sering berpindah kerja dan tidak pernah lama bekerja di satu-satu tempat walaupun untuk setahun. Kehidupan kami sering berpindah-randah. Anak pun semakin bertambah.

“Saya rasa balasan Tuhan telah mula dirasai. Suami daripada seorang yang berjawatan tinggi dan kami pernah tinggal di rumah besar, mempunyai orang gaji, memiliki dua buah kereta mewah tetapi perlahan-lahan satu demi satu nikmat tersebut ditarik.

“Suami sekarang sudah tidak bekerja lagi. Umurnya pun sudah melebihi setengah abad. 

Anak kami sudah enam orang. Oleh kerana sudah tiada lagi pendapatan, kami pulang ke kampung saya dan menumpang di rumah ibu bapa. Tetapi lama mana kami boleh bertahan dengan hidup menumpang, anak-anak ramai dan apabila adik-beradik lain pulang ke kampung, memang terasa serba salah dan malu.

“Kami kemudian membuat sebuah rumah kayu di tanah ibu saya. Cukuplah untuk tempat berteduh bagi kami sekeluarga. Bagi menyara kehidupan, saya membuat nasi lemak dan kuih. Anak-anak turut bangun awal pagi membantu saya. Kehidupan memang perit. Hendak beri anak belanja sekolah pun tidak ada duit.

“Anak saya pernah memberitahu saya bahawa dia mahu berhenti sekolah kerana malu tidak dapat membayar yuran dan tidak ada belanja sekolah. Luluh rasa hati. Saya beritahu supaya dia mesti bersekolah. Fasal yuran akan saya usahakan.

“Hendak meminjam wang daripada ibu bapa dan adik beradik memang tidak sanggup lagi. Hutang yang lama pun tidak berbayar. Kakak selalu memulangkan paku buah keras dan mengatakan inilah akibat kerana meruntuhkan rumahtangga orang.

“Kalau hujung tahun lebih parah kerana perbelanjaan baju sekolah, buku sekolah, yuran dan sebagainya. Begitu juga apabila tiba hari raya.

“Saya mula teringatkan perbuatan saya dahulu dan suami yang sanggup meninggalkan isteri dan anak-anak kerana saya. Inikah balasan yang Tuhan telah berikan semasa di dunia lagi? Ini belum lagi di akhirat. Kita boleh memohon ampun daripada Allah tetapi dosa kepada manusia, kita sendiri harus memohon maaf kepada orang yang telah kita aniayai.

“Walau bagaimanapun, sehingga ke hari ini, saya masih belum memiliki kekuatan untuk meminta maaf kepada bekas isteri suami saya. Saya tidak tahu bila saya akan memiliki kekuatan itu. Harapan saya semoga suatu hari nanti saya dapat berjumpa dengan wanita yang pernah saya sakiti hatinya untuk memohon seribu kemaafan atas kesilapan saya terhadapnya," kata Farah mengakhiri catatannya.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Talian NUR 15999

Hubungi Talian Nur (15999) oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Masyarakat untuk kes penderaan, kes keganasan rumahtangga, kes-kes domestik dan kebajikan yang lain termasuk penderaan wanita, pembantu rumah dan lain-lain.

Halaman