Ahad, 12 Oktober 2014

Berpisah kerana perbezaan agama

Oleh : Prof Dr Najibah bt Mohd Zin
Sumber : Kosmo - Varia
Tarikh : 10/10/2014

DALAM masyarakat majmuk, pertukaran agama boleh berlaku dan banyak kes berlaku disebabkan mendirikan rumah tangga.
Lazimnya, ia melibatkan orang bukan Islam yang memeluk Islam. Bagi orang Islam, perbuatan menukar agama adalah dilarang sama sekali kerana menjadi kesalahan di sisi undang-undang.
Undang-undang di negara ini melarang perkahwinan antara orang Islam dan bukan Islam. Jika pihak bukan Islam yang masih dalam perkahwinan memeluk Islam, maka perkahwinan tersebut hendaklah dibubarkan mengikut prosedur yang telah ditetapkan dalam undang-undang.
Pada dasarnya, undang-undang Syariah di Malaysia membenarkan perceraian melalui fasakh kerana keluar daripada Islam atau pertukaran agama kepada Islam daripada agama lain.

Pihak yang telah memeluk Islam hendaklah membuat permohonan untuk membubarkan perkahwinan tersebut manakala yang tidak memeluk Islam hendaklah membuat permohonan di mahkamah sivil.
Ulama Islam bersepakat bahawa pasangan perlu berpisah kerana undang-undang yang menentukan kesahihan sebuah perkahwinan bagi orang Islam adalah berdasarkan kepada agama.
Bagaimanapun, mereka berbeza pendapat sama ada perpisahan itu berlaku secara automatik atau memerlukan perintah hakim.
Undang-undang di negara ini juga menetapkan bahawa pertukaran agama tidak menamatkan suatu perkahwinan secara automatik sehingga hakim mahkamah syariah memutuskan bahawa pembubaran perkahwinan perlu dilakukan setelah beberapa prosedur dipatuhi seperti yang diperuntukkan dalam undang-undang Keluarga Islam Negeri-negeri.
Mahkamah akan memaklumkan pasangan yang tidak menukar agama agar menukar agamanya atau perkahwinan boleh dibubarkan selepas tempoh tiga bulan atau 90 hari sebagaimana yang telah diterima pakai dalam beberapa keputusan kes di Mahkamah Syariah.
Kepentingan peruntukan ini adalah untuk memberi peluang kepada isteri atau suami untuk mengikut jejak langkah pasangannya supaya perkahwinan tidak perlu ditamatkan.
Mahkamah bertanggungjawab memaklumkan pihak yang tidak menganut agama Islam tentang akibat kegagalannya menganut Islam.
Sebaliknya, tanpa makluman dan penjelasan daripada mahkamah, perkahwinan tidak boleh ditamatkan selepas tempoh 90 hari tamat kerana alasan kurang pengetahuan.
Kegagalan mematuhi prosedur ini tidak menyebabkan perkahwinan tamat secara automatik kerana tuntutan memaklumkan pihak yang satu lagi adalah wajib sebelum hakim boleh memutuskan untuk menamatkan perkahwinan tersebut.
Undang-undang memperuntukkan bahawa pembubaran hanya boleh berlaku dengan perintah daripada hakim.
Akibat pembubaran tersebut, jika pihak yang beragama Islam adalah isteri, maka dia perlu menjalani tempoh idah tiga kali suci bagi memastikan dirinya tidak mengandungkan anak daripada bekas suaminya.
Bagi yang tidak memeluk Islam, proses pembubaran perkahwinan hendaklah berlaku melalui petisyen pembubaran perkahwinan kerana pertukaran agama.
Konflik
Jika pasangan tersebut tidak membuat permohonan pembubaran perkahwinan, maka perkahwinan itu masih wujud dan keadaan ini boleh menyebabkan konflik perundangan terutamanya jika pasangan tersebut mempunyai tuntutan lain seperti nafkah, harta dan hak jagaan anak.
Namun, kesukaran juga dialami oleh Mahkamah Syariah di Malaysia kerana ia tidak mempunyai bidang kuasa terhadap orang bukan Islam.
Sebaliknya, Mahkamah Sivil di bawah Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976. Ia adalah undang-undang Persekutuan yang berkuasa ke atas orang bukan Islam dalam menyelesaikan konflik kedua-dua pihak sekiranya pihak yang tidak menganut Islam itu membuat petisyen untuk bercerai.
Jika tidak, perkahwinan tersebut terus kekal walaupun pasangan tidak lagi tinggal sebumbung.
Satu-satunya penyelesaian untuk masalah ini adalah dengan meminda Akta Membaharui Undang-Undang dengan membenarkan kedua-dua pihak untuk membuat tuntutan pembubaran perkahwinan di Mahkamah Sivil.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Talian NUR 15999

Hubungi Talian Nur (15999) oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Masyarakat untuk kes penderaan, kes keganasan rumahtangga, kes-kes domestik dan kebajikan yang lain termasuk penderaan wanita, pembantu rumah dan lain-lain.

Halaman